Edisi Khas Soal Jawab Agama! Hukum Mencintai Pengkid!

Oleh Kaki Wayang on


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjGpe6Vx_P8ojWpGSREV9yYXDGhEJhhPR8rScTbFpPXTb36NLtFepZVPCs8oPwKzASr8i9Iijut8vP2sCghqDJBg6h8mqVtPpdMh9Bf_sLSwx6QHNp-nprcEndkBclEpdQefdKl5QpIl0pL/s1600/shamkepong.jpg
Apakah hukum mencintai seorang pengkid? Ini adalah soalan yang bagus, menyentuh suasana kehidupan muda-mudi zaman kini. Pertamanya mari kita kenali golongan-golongan yang berkaitan dengan tajuk ini:
  1. Transgender: Lelaki yang tingkah lakunya seperti wanita dan wanita yang tingkah lakunya seperti lelaki.
  2. Tranvestit: Lelaki yang berpenampilan seperti wanita dan wanita yang berpenampilan seperti lelaki.
  3. Transeksual: Lelaki yang merasakan dia seorang wanita dan wanita yang merasakan dia seorang lelaki. Ada yang membuktikan perasaan itu dengan melakukan pembedahan bagi menukar alat kelamin.
  4. Homoseksual: Orang yang melakukan hubungan seksual dengan jantina sejenisnya. Lelaki yang membuat hubungan seks dengan lelaki disebut sebagai Gay manakala wanita yang membuat hubungan seks dengan wanita disebut Lesbian. Lawannya ialah Heteroseksual, iaitu lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita dan wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki. Ini adalah hubungan yang betul lagi normal dan dihalalkan oleh Islam melalui pernikahan yang menepati rukun-rukunnya.
  5. Bi-Seksual: Lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita dan lelaki. Juga wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki dan wanita.
  6. Tri-Seksual: Lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita, lelaki dan transeksual. Juga wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki, wanita dan transeksual.
  7. Pengkid: Wanita yang mencintai wanita seumpama pasangan hidupnya. Di kalangan Pengkid ada yang berpenampilan sebagai lelaki.    
Hukum Mencintai Jantina Sejenis Sebagai Pasangan Hidup. 

Menyebut tentang cinta, asas pertama yang perlu diketahui oleh semua umat Islam ialah cinta yang paling unggul hendaklah ditujukan kepada Allah. Allah menegaskan hal ini dalam firman-Nya: Dan di antara manusia ada yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah; sedangkan orang-orang yang beriman itu lebih cinta kepada Allah (berbanding selainnya). [al-Baqarah 2:165]

Cinta kepada Allah ialah mentaati segala perintah larangan-Nya, mencari keredhaan-Nya dan melaksanakan kehidupan di dunia ini sebagaimana yang Dia kehendaki. Cinta kepada Allah juga dibuktikan dengan mentaati segala perintah larangan, nasihat dan teguran Rasulullah. Fakta terakhir ini ditekankan sendiri oleh Allah: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu (umat Islam) mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Ali Imran 3:31]

Termasuk pembuktian kecintaan kepada Allah ialah seseorang itu hanya mencintai jantina yang berbeza sebagai pasangan hidupnya. Ini kerana Allah sejak dini telah menciptakan manusia dalam jantina yang berpasangan, lelaki dan wanita: Dan bahawa sesungguhnya, Dialah (Allah) yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan. [al-Najm 53:45]

Justeru apabila ingin mencintai seseorang sebagai pasangan hidupnya, hendaklah ia dalam bentuk pasangan lelaki dan wanita, iaitu lelaki yang mencintai wanita dan wanita yang mencintai lelaki. Pasangan ini seterusnya menghalalkan percintaan mereka melalui ikatan nikah yang menepati rukun-rukun nikah dalam syari’at Islam. Allah berfirman: 

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (pasangan suami isteri) perasaan cinta (kasih sayang) dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [al-Rum 30:21]
Individu yang mencintai jantina sejenis untuk dijadikan pasangan hidup, dia sebenarnya mencintai nafsunya melebihi cintanya kepada Allah. Atas dasar inilah dia berani mengarahkan cintanya kepada sesuatu yang berbeza daripada apa yang disusun, diperintah dan diredhai oleh Allah. Nah! Jika mencintai sesuatu seumpama mencintai Allah sudah cukup untuk dikira sebagai perbuatan syirik (rujuk ayat 165 surah al-Baqarah di atas), maka bagaimana pula tindakan mencintai sesuatu melebihi cintanya kepada Allah? Sudah tentu ia adalah syirik yang lebih besar, lebih dahsyat.

Sebagai kesimpulan, cinta ialah gerak hati untuk cenderung kepada seseorang. Cinta juga ialah keterpautan hati kepada seseorang. Cinta boleh diarah, maka hendaklah ia diarah kepada apa yang selari dengan ciptaan dan perintah Allah. Cinta sukar dikawal, maka sebelum bercinta hendaklah dipastikan empunya hati sudah bersedia untuk bercinta, memiliki ilmu untuk bercinta dan melaksanakan cintanya itu berdasarkan syari’at Islam. 

Mencintai pengkid untuk dijadikan pasangan hidup bukanlah sesuatu yang selari dengan Islam, maka jauhilah ia. Pun begitu, boleh mencintai pengkid kerana Allah, iaitu dengan menasihati masing-masing agar menjalani kehidupan ini berdasarkan ciptaan, aturan dan perintah-larangan Allah. Sesiapa yang benar-benar mencintai seseorang yang lain kerana Allah akan bersungguh-sungguh menasihatinya ke arah keimanan, ketaqwaan, kebaikan dan kehidupan yang Islami.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...