Mujur kekecewaan itu hanya bersifat sementara apabila Siri, iaitu pembantu peribadi maya yang didatangkan bersama-sama iPhone 5 mengubah cara peminat teknologi menggunakan iPhone mereka. Siri tercetus hasil daripada teknologi kepintaran tiruan atau artificial intelligence (AI) yang dikatakan berasal daripada salah sebuah penyelidikan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) hampir 10 tahun lalu.
Pengguna boleh memberikan arahan secara lisan kepada Siri untuk melaksanakan sesebuah tugasan. Sebagai contoh, pengguna boleh mengarahkan gajet itu untuk mengingatkan sesuatu temu janji beberapa jam sebelum ia berlangsung atau bertanyakan ramalan cuaca untuk sepanjang minggu.
Sungguhpun teknologi pengecaman suara telah wujud sejak lebih sedekad yang lalu, namun ia agak terbatas kepada kawalan aplikasi tertentu.
Kehebatan pembantu peribadi maya Siri terbukti dengan kemampuannya menganalisis perkataan dalam bahasa Inggeris dan seterusnya melaksanakan arahan. Siri juga boleh menghantar e-mel, membuat carian Google, membuat panggilan telefon dan menjadi rujukan pandu arah dengan bantuan aplikasi peta digital. Semua itu boleh dilakukan dengan hanya ‘bercakap’ dengan Siri.
Pengguna boleh memanfaatkan lebih dari 10 aplikasi yang terdapat pada iPhone menggunakan aplikasi suara Siri. Teknologi kawalan berasaskan suara itu benar-benar mengungkap kembali nostalgia penulis sekitar tahun 1980-an yang ketika itu obses dengan siri drama aksi Knight Rider lakonan David Hasselhoff yang mengetengahkan teknologi mempunyai ciri mirip siri yang dinamakan KITT.
Bagaimanapun buat masa ini, maklumat yang dipadatkan pada Siri lebih berkisar kepada AS, negara ia dibangunkan. Tidak mustahil jika sedikit masa lagi, Siri mampu berfikir dan memberikan cadangan yang selari dengan kedudukan geografinya dan memahami perkataan-perkataan slanga setempat yang mungkin tidak terdapat pada enjin carian web.