Bersama rakannya, Mehmet Volkan Atay, 32, Ibrahim menerbitkan majalah Ala yang digambarkan sebagai penerokaan baru terhadap fesyen bertudung. Ala - bermaksud “paling cantik” - hanya memaparkan model bertudung dan mengiklankan pakaian yang bersesuaian dengan kehendak Islam. Menurut Ibrahim, majalah Barat seperti Cosmopolitan, Elle, Vogue dan Marie Claire hanya memaparkan isu seks dan gambar lucah.
“Slogan mereka ialah: Seks boleh melariskan. “Bagaimanapun, kami dan jutaan wanita di seluruh dunia percaya, fesyen tidak semestinya begitu,” katanya.
Walaupun baru mengeluarkan enam edisi, majalah Ala begitu berjaya dan Ibrahim, 31, dan rakannya memutuskan untuk meningkatkan pengedaran beberapa kali ganda. Ketika ini, Ala mempunyai edaran 30,000 naskhah setiap edisi dan kira-kira 5,000 dilanggan dari luar Turki. Mehmet berkata, mereka tidak mempunyai pengalaman menerbitkan majalah sebelum ini.
“Kami berkecimpung dalam bidang pemasaran. Kami mahir memahami kehendak pasaran,” katanya kepada SpiegelOnlilne, semalam.
Menurut Mehmet, 1,500 langganan itu dihantar ke Jerman dan mendapat sambutan hangat di kalangan penduduk keturunan Turki. Menyedari keadaan itu, Ibrahim dan Mehmet bercadang untuk menerbitkan Ala edisi Jerman pada masa depan.
“Ia bukan produk untuk Muslim saja, sebaliknya akan dipasarkan kepada wanita pelbagai agama kerana gerakan ‘memerangi kelucahan’ penting kepada wanita,” katanya.
Dijual pada harga 9 lira (RM15.30), Ala dianggap sebagai majalah Vogue untuk wanita bertudung oleh majalah Radikal Jerman.