TAKZIAH...orang ramai meletakkan jambangan bunga di luar rumah Jobs di Palo Alto, California.
Pengasas Apple Computer, Steve Jobs, meninggal dunia akibat kanser
pankreas pada usia 56 tahun semalam, selepas dia berjaya merevolusikan
budaya moden dan mengubah selama-lamanya perhubungan teknologi melalui
pelbagai inovasi. Antara sumbangan Jobs kepada dunia ialah mencipta iPad dan iPhone.
Dalam kenyataan lembaga pengarah Apple semalam, syarikat gergasi itu mengesahkan kematian Jobs dan bersedih atas kehilangan itu.
“Jobs seorang pintar, bersemangat dan bertenaga menjadi sumber
pelbagai inovasi yang memperkaya dan meningkatkan kualiti hidup kita.
“Dunia ini menjadi lebih baik kerana Jobs,” kata kenyataan itu.
Lahir di San Francisco pada 24 Februari 1955, Jobs lahir tanpa bapa dan dijadikan anak angkat kira-kira seminggu selepas itu. Dibesarkan di kawasan Mountain View - sebuah kawasan pertanian yang
kemudian menjadi hab teknologi dunia dikenali sebagai Lembah Silicon. Jobs
juga menjadi pengasas bersama pengeluar filem dihormati, Pixar, pada
1986 selepas dia membeli unit komputer grafik penerbit Star Wars, George
Lucas. Semalam, Jobs meninggal dunia di kelilingi ahli keluarganya.
Kematian
Jobs turut dirasakan di seluruh dunia, dengan peminat Apple membanjiri
laman sesawang sosial dengan menyatakan ucapan dan penghargaan
masing-masing. Orang biasa - kebanyakannya tahu berita
kematian itu melalui iPhone dan iPad mereka - menggunakan Twitter
menyatakan penghargaan.
Jobs hanya berusia 21 tahun ketika dia
mengasaskan Apple Computer bersama rakannya, Steve Wozniak - ketika itu
berusia 26 tahun - pada 1976. Daripada syarikat sederhana, Apple berkembang menjadi satu daripada firma paling bernilai di dunia kini.
Pada Julai lalu, perolehan keuntungan separuh kedua Apple mencapai RM23.2 bilion. Presiden
Barack Obama turut memberi penghormatan ke atas Jobs dengan
menggelarnya sebagai “pakar inovasi terhebat” yang mengubah hidup
manusia dan memberi makna baru kepada keseluruhan industri.
“Dia
mengubah cara setiap kita melihat dunia,” katanya. Jobs meletak
jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Apple enam minggu lalu.
Jobs
meninggal dunia sehari selepas Apple melancarkan produk terbarunya,
iPhone 4S, tetapi gagal menarik sambutan seperti diharapkan. Dia
meninggalkan isteri, Laurene, bersama tiga anak mereka, selain seorang
anak perempuan hasil hubungan Jobs dengan seorang wanita lain sebelum
dia berkahwin.