Katanya, perasaan sedih tidak dapat dibendung apabila melihat kecederaan teruk di muka, badan dan dua tangan anaknya serta berdepan kemungkinan terjejas penglihatan selepas mata kanannya kabur manakala mata kiri belum dapat dibuka.
“Ketika tiba, saya terkejut mendapati dia dalam keadaan begitu teruk. Selepas bertemu rakannya, baru saya tahu dia menjadi mangsa simbahan asid oleh orang tidak dikenali ketika sedang menunggu di dalam kereta,” katanya pada sidang media bersama Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.
Menurut Abdul Latiff, dia sekeluarga menolak kemungkinan kejadian berkenaan bermotifkan dendam kerana anak ketiga daripada empat beradik itu tidak mempunyai masalah di tempat kerja, malah dia disenangi semua orang.
Sementara itu, Muhd Khairun berkata, bironya akan menubuhkan Jawatankuasa Tabung Amanah bagi mencari dana membantu meringankan beban anggota keluarga selain menampung perbelanjaan yang mungkin diperlukan Mohd Raffie. Katanya, beliau akan mempengerusikan jawatan itu yang dianggotai seorang peguam Mahkamah Tinggi, selain ahli keluarga yang akan ditentukan kemudian bagi mencari dana untuk menampung segala kos berkemungkinan.