“Semua yang berlaku sudah suratan takdir dan isteri sekadar menjadi
penyebabnya,” kata Mahyuddin Abdullah, 47, yang menjadi mangsa simbahan
cuka getah oleh isterinya dalam kejadian di Kampung Kok Lanas, di sini,
Ogos lalu. Akibat kejadian itu, Mahyuddin yang sebelum ini berniaga murtabak di
pasar malam sekitar Kok Lanas, dekat sini, menanggung azab apabila muka
dan separuh badannya melecur, manakala mata kanannya pula buta.
Difahamkan,
sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan II
(HRPZ II), sudah tiga pembedahan dilakukan termasuk pembedahan
pemindahan kulit dan telinga, sebelum disusuli pembedahan mata kanan
oleh pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.Mahyuddin berkata, kehidupannya berubah selepas kejadian berkenaan
kerana selain cacat, pergerakannya terbatas sehingga terpaksa
mendapatkan bantuan keluarga dalam menguruskan dirinya.
“Saya
tidak pernah menyimpan dendam terhadap isteri walaupun terseksa
menanggung derita akibat perbuatannya. Sebagai suami, saya tidak berhak
membalas perbuatannya dan biarlah Tuhan mengadilinya.
“Saya
juga perlu muhasabah diri untuk menjadi insan lebih baik. Dalam keadaan
sekarang, hanya keluarga menjadi punca kekuatan saya untuk meneruskan
hidup,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Sireh Bawah
Lembah, dekat sini.
Ditanya mengenai hubungan dengan isterinya, sehingga hari ini,
Mahyuddin mengakui mereka masih suami isteri tetapi tidak pasti apa akan
berlaku pada masa akan datang.
“Selepas kejadian itu, kami
tidak pernah berjumpa dan saya hanya berkesempatan bertemu seorang anak
perempuan berusia 15 tahun,” katanya yang mengakui dirinya tidak membuat
sebarang laporan polis atas tindakan isterinya.