Edisi Hangat! Kisah Hidup Whitney Houstan sejak kecil!

Oleh Kaki Wayang on


DILAHIRKAN pada 9 Ogos 1963 di New Jersey, Amerika Syarikat (AS), permulaan kerjaya seni Whitney Houston adalah dengan menyanyi di gereja dan kelab-kelab kecil bersama ibunya, Cissy Houston.
Houston boleh dikatakan agak bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga seni kerana sepupunya, Dionne Warwick juga merupakan seorang penyanyi terkenal.

Di zaman remajanya, Houston juga pernah menjadi penyanyi pengiring bagi artis-artis popular antaranya Chaka Khan dan Jermaine Jackson. Bukan hanya berbakat besar dalam bidang nyanyian, Houston juga dikurniakan dengan wajah jelita yang jarang ada pada wanita kulit hitam yang lain. Tidak hairanlah atas faktor itu, Houston mendapat peluang menjadi gadis penghias kulit majalah dengan salah satunya adalah majalah Seventeen dan dianggap sebagai salah seorang wanita kulit hitam untuk mendapat penghargaan setinggi itu.

Kehidupannya berubah pada tahun 1983 apabila mogul muzik, Clive Davis yang menjadi ketua syarikat rakaman, Artista Records di bawah syarikat BMG Music ketika itu hadir menonton persembahan Houston di salah sebuah kelab malam di New York, AS. Terpukau dengan vokal Houston yang menakjubkan dan segar, Davis tidak menunggu lama untuk menjadikan Houston sebagai artis rakaman di bawah Arista.

Pada tahun 1985, Houston muncul dengan album perdananya, Whitney Houston yang serta-merta mendapat sambutan luar biasa dan kritikan positif daripada pengkritik muzik malah membolehkannya meraih anugerah Grammy pertamanya bagi Vokal Pop Wanta Terbaik. Memuatkan lagu-lagu popular seperti How Will I Know, All At Once, Saving All My Love For You dan Greatest Love Of All, ia dengan pantas meletakkan nama Houston sebagai bintang baru yang wajar diberi perhatian ketika itu. Perlahan-lahan dia mendaki puncak populariti sehingga menjadi bintang pop pujaan ramai dek kemantapan dan kehebatan vokal yang sukar ditandingi.

Sehinggakan Davis sendiri pernah memberitahu bahawa suara Houston telah mengubah dunia. Meneruskan legasinya, Houston muncul dengan dua album selepas itu, Whitney (1987) dan I'm Your Baby Tonight (1990) yang menampilkan banyak lagu-lagu popular serta hits di seluruh dunia.

Antaranya I Wanna Dance with Somebody (Who Loves Me), Where Do Broken Hearts Go, So Emotional, Didn't We Almost Have It All, I'm Your Baby Tonight, All The Man That I Need dan Miracle telah meletakkan nama Houston di mercu kejayaan. Menyedari popularitinya yang luar biasa itu, Houston mengorak langkah sebagai seorang pelakon dengan membintangi filem semi muzikal, The Bodyguard bersama Kevin Costner pada tahun 1992.

Impak yang terhasil daripada filem itu cukup besar apabila album runut bunyinya menjadi fenomena di seluruh dunia. Semuanya gara-gara lagu I Will Always Love You yang menjadi lagu tema filem tersebut. Rata-rata pengkritik dan pencinta muzik dunia bersetuju bahawa nyanyian dan penyampaian Houston dalam lagu itu cukup memukau dan luar biasa sekali.

Penangan populariti lagu itu juga telah menjadikan album runut bunyi The Bodyguard sebagai album runut bunyi terlaris sepanjang zaman dengan penjualan sebanyak 17 juta unit di AS dan 44 juta salinan di seluruh dunia. Malah album itu juga telah memenangi tiga anugerah Grammy termasuk Album Terbaik serta Rakaman Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Terbaik untuk Houston bagi lagu I Will Always Love You.

Ekoran daripada kejayaan lagu itu juga, kontroversi mula tercetus apabila Houston telah mengeluarkan kenyataan yang telah menyinggung perasaan komposer dan penyanyi asal lagu itu, Dolly Parton. Houston dikatakan telah membuat kenyataan yang menyatakan dia menyanyikan lagu itu jauh lebih baik daripada Parton di mana kebenaran itu memang jelas terbukti. Namun Houston menafikan perkara itu dengan memuji Parton sambil menyatakan lagu itu telah ditulis begitu indah oleh Parton.

Begitu juga Parton yang berterima kasih kepada Houston yang telah memperkenalkan lagu itu kepada masyarakat dengan lebih meluas selain dapat meningkatkan royaltinya. Selepas itu, Houston telah membintangi dua buah filem lagi iaitu Waiting To Exhale (1995) dan The Preacher's Wife (1996) dengan album runut bunyinya juga sukses biarpun tidak sehebat The Bodyguard.

Pada ketika dia berada di kemuncak kegemilangan itulah juga Houston mula terlibat dengan dadah dan alkohol. Dua kali memasuki pusat pemulihan, Houston membuat pengakuan terbuka kepada Oprah Winfrey mengenai keadaan dirinya yang sudah bebas pengaruh tersebut pada 2010.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment