Gadis yang didakwa putus tunang selepas jatuh cinta dengan Khairul
Fahmi Che Mat atau Apek, semalam tampil membuat penjelasan dengan
menafikan dirinya ada kaitan dengan penjaga gol skuad bola sepak negara
itu.
Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, berkata, dia hairan bagaimana nama
Apek boleh terkait dalam masalah dia putus tunang sedangkan dia langsung
tidak pernah bercakap dengan atlet dikagumi ramai itu. “Saya
hairan bagaimana masalah saya ini dikaitkan dengan Apek sedangkan kami
tidak pernah bercakap, apatah lagi keluar bersama,” katanya ketika
ditemui, di sini, semalam.
Dia yang lebih mesra dengan
panggilan Leuniey berkata, pertunangannya putus disebabkan masalah
peribadi dan langsung tidak ada kena-mengena dengan Apek.
“Sebab itulah saya berasa perlu tampil memberi penjelasan kerana
segala dakwaan mengenai Apek menjadi punca saya putus tunang semuanya
fitnah yang bertujuan memburuk-burukkan namanya.
“Saya
berharap penjelasan saya ini menjernihkan keadaan dan membersihkan nama
Apek daripada kontroversi berkaitan hal ini,” katanya.
Leuniey juga berharap pihak yang menyebar fitnah itu berhenti
melakukannya kerana ia turut menjejaskan nama baiknya serta keluarga.
“Saya memutuskan ikatan pertunangan kerana menganggap kami sudah
tiada jodoh,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut mengenai punca sebenar
dia putus tunang dengan pasangannya.
Anak pertama daripada
lima beradik itu berkata, pertunangannya diputuskan dengan cara baik,
malah bapanya, Nazri Adnan, 40, sendiri yang menghantar kembali cincin
pertunangan kepada keluarga bekas tunang.
Katanya, dia terkilan dengan dakwaan pemilik akaun twitter yang menggunakan nama MahsiH2 menyebarkan fitnah berkenaan.
“Kedua-dua keluarga menyelesaikan masalah ini dengan baik dan tidak
mahu diperbesarkan, namun saya tidak faham kenapa tiba-tiba masalah kami
dikaitkan dengan Apek.
“Saya tumpang simpati dengan
keluarga Apek yang terheret sama dalam masalah ini dan kepada penyebar
fitnah, berhentilah mengaibkan orang lain,” katanya.
Difahamkan, Apek mengenali bapa saudara Leuniey, Mohd Irwan Azni Mohd
Azmi yang menjadi kontraktor pembinaan rumah banglonya pemberian
kerajaan negeri. Mohd Irwan juga adalah Pengarah Urusan Khairul Fahmi
Resources (KFR) Sdn Bhd iaitu syarikat milik Apek.
Sementara
itu, ibu Leuniey, Noor Laila Abu Bakar, 43, berkata dia harap isu itu
tidak berpanjangan bagi membolehkan anaknya menumpukan perhatian
terhadap perniagaan keluarga mereka.
“Saya tidak sangka soal dia putus tunang menjadi perhatian. Apa pun, saya harap ia tidak berpanjangan,” katanya.
Dakwaan Apek kononnya dikatakan menjadi punca pertunangan Leuniey
putus mula tersebar melalui satu akaun twitter individu yang menggunakan
MahsiH2 sebelum ia dijadikan bahan bertita di beberapa blog hiburan di
Internet.
Harian Metro Sabtu lalu menyiarkan kenyataan
bekas tunang Leuniey yang menafikan Apek menyebabkan pertunangannya
putus dan dia turut menganggap berita itu sekadar fitnah untuk
memburuk-burukkan nama Apek.