“Saya mohon maaf jika ada yang tersinggung dengan cara pemakaian saya.
Saya hanya mengikut tema pada majlis berkenaan dan tidak berniat
‘mengganggu’ sesiapa,” kata aktres jelita, Rozita Che Wan mengulas
tindakannya memakai skirt pendek paras lutut ketika menghadiri majlis
hari jadi seorang pelakon di restoran The Ship, Bukit Bintang, baru-baru
ini.
SEKSI... gambar kontroversi Rozita tersebar di Internet.
Pemakaian skirt yang dikatakan seksi hingga menampakkan paha pelakon ini
turut diperdebatkan di beberapa ruangan hiburan media cetak dan laman
blog hiburan.
Malah, beberapa keping gambar yang dipaparkan di laman blog itu turut mencetuskan reaksi kurang senang peminatnya.
Sebelum ini, beberapa keping gambarnya berpakaian seksi yang turut
menampakkan paha pernah tersebar di Internet. Antaranya, ketika
menyaksikan Konsert Akhir Akademi Fantasia Kelapan (AF8).
Menurut Rozita, bukan dia seorang berpakaian ‘seksi’ pada malam itu.
Katanya, dia hanya mengikut tema K-Pop diberikan penganjur majlis, malah
semua tetamu dan beberapa pelakon lain, sama ada lelaki dan wanita,
turut hadir dengan tema sama.
“Saya hanya mengikut trend dan tema diberikan. Janggal pula jika saya
hadir di majlis itu dengan berpakaian berbaju kurung. Lagipun, ia majlis
hari jadi, bukan kenduri kahwin.
“Yang peliknya, kenapa mesti saya yang menjadi sasaran pada hal ramai lagi yang berpakaian sama?” katanya.
“Memang sukar mahu puaskan hati semua orang. Lagipun, ia hak
masing-masing. Saya juga tidak kisah dengan komen dan penerimaan mereka
yang tidak puas hati dengan saya,” katanya.
Rozita berkata, dia “tidak pernah bermusuh dengan sesiapa tetapi kenapa
ada yang mahu bermusuh dan tidak boleh melihatnya senang.
“Saya terima dengan hati terbuka jika mereka mahu memberi nasihat. Namun
bila menggelar saya tidak sedar diri, tidak takut tuhan, perasan
remaja, ia bukan lagi nasihat.
“Tidak ada yang sempurna di muka bumi ini. Lebih baik jaga hal sendiri
dan cermin diri dulu sebelum mahu menghukum orang lain. Cukup-cukuplah
mengaibkan orang lain. Lagipun, pakaian saya itu bukan untuk disebarkan
di Internet,” katanya.
Ibu kepada dua anak, Ammar Effendy, 14, dan Aniq Ezzra, 12, ini turut
berharap perkara itu tidak diperbesarkan atau disensasikan.