“Saya bersyukur anak meninggal dalam jihad. Ketika
PENGEBUMIAN tadi
(semalam), wajahnya berseri-seri,” kata Naemah Abd Majid, 63, ibu
Noramfaizul Mohd Nor, 40, selepas majlis pengebumian, semalam.
Naemah berkata, dia dan suami, Mohd Nor Mat Yassin, 66, bangga
dengan pengorbanan anak lelaki tunggal daripada lima beradik itu bagi
membantu mangsa kebuluran di Somalia.
Menurutnya, lebih
membanggakan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganggap
anaknya sebagai wira negara kerana bersedia bertugas di luar negara,
khususnya di negara bergolak.
“Saya reda dan menyifatkan kejadian ini sebagai suratan takdir.
“Namun, naluri seorang ibu, kematian tetap diratapi kami sekeluarga
kerana arwah adalah harapan keluarga,” katanya. Sementara itu, Mohd
Nor berkata, dia tidak dapat melupakan permintaan terakhir arwah anaknya
yang mahu isterinya menyediakan sambal ikan bilis kegemarannya untuk
dibawa bersama.
“Setiap kali dia mahu bertugas di luar negara, arwah akan membawa sambal ikan bilis masakan ibunya. “Menu ini wajib dibawanya dan tak sangka ini permintaan terakhirnya,” katanya yang menyifatkan anaknya pendiam, tetapi ceria.