PMS Automech Racing Team Raih Tempat Ke-5!

Politeknik Muadzam Shah telah berjaya mencatat kedudukan di tempat ke-5 dari 36 jentera yang dipertandingkan merangkumi 24 institusi pendidikan IPTA dan IPTS seluruh Malaysia.

Pelajar Politeknik Muadzam Shah Cipta E-Tajwid Untuk Android!

Boleh dikatakan terdapat pelbagai aplikasi bercorak pembelajaran agama untuk para pengguna Android, dan salah satunya adalah aplikasi E-Tajwid untuk Android.

Pekan Sungai Lembing Bakal Bandar Pelancongan!

"Pekan Sungai Lembing Bakal Bandar Pelancongan" berjaya memasuki ruangan Berita Harian pada 22 Mac 2013 yang lalu.

Program Imam Muda Musim 1 Politeknik Muadzam Shah!

Sekalung tahniah kepada penganjur program yang begitu bermanfaat ini.

Malam Sejuta Bintang PMS Berlangsung Meriah!

Malam Sejuta Bintang Berlangsung Meriah

Edisi Agama! Jauhi enam sifat mazmumah!

Oleh Kaki Wayang on

SECARA umumnya, manusia memiliki dua jenis keperibadian iaitu; positif dan negatif yang tercermin pada tingkah laku dalam setiap gerak geri kehidupan seharian. Sikap positif menjelma dalam tindakan kepatuhan, mencari kebenaran, muhasabah diri, bekerja dengan amanah dan bermuamalah dengan jujur dalam semua lapangan kehidupan.

Sikap negatif pula terlihat pada penentangan, cenderung kepada perbuatan maksiat, malas bekerja serta melakukan kerosakan terhadap diri sendiri, keluarga mahupun masyarakat. Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Ada enam perkara yang menyebabkan amal kebajikan menjadi sia-sia (tidak mendapat pahala); iaitu sibuk mencari keaiban orang lain, keras hati, terlalu cinta kepada dunia, kurang rasa malu, panjang angan-angan dan orang yang berterusan melakukan kezalimannya". (riwayat Dailami)

Pertama, orang yang lebih suka mencari dan menyebarkan keburukan yang terdapat pada orang lain lalu membesar-besarkannya, sementara aibnya sendiri tidak pernah diperiksanya sesuai dengan pepatah lama "Kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak."

Terdapat sebuah riwayat mengisahkan seorang khalifah yang melakukan rondaan dan lawatan terhadap rakyatnya pada waktu tengah malam, lalu dia menemui dalam sebuah rumah seorang lelaki dan wanita serta minuman khamar yang dihidangkan, dia masuk ke rumah itu dengan memanjat dinding, terus menerjah masuk dan terjadilah dialog.

Khalifah: Hai musuh Allah, apakah kau menyangka bahawa Allah akan menutupi kesalahan kau ini?
Lelaki: Tuan sendiri jangan tergesa-gesa, tuan juga telah melakukan kesalahan.
Khalifah: Kesalahan apa yang saya perbuat?
 Lelaki: Kesalahan saya hanya satu iaitu apa yang Khalifah lihat sekarang, sedangkan tuan telah melakukan tiga kesalahan iaitu; mencari dan mendedahkan keburukan orang lain, padahal Allah melarang perbuatan itu, masuk ke dalam rumah orang dengan memanjat dinding, bukankah ada pintu yang harus dilalui dan masuk rumah tanpa izin tuan rumah.

Kedua, sikap keras hati bermaksud tidak mahu menerima pengajaran yang baik dan nasihat ke arah kebaikan ditolaknya. Dia tidak suka segala kesalahannya dikritik apatah lagi dipersalahkan, kerana dia yakin bahawa dialah yang paling benar, di samping itu hatinya pula tidak tersentuh oleh penderitaan dan kesedihan orang lain.

Sewaktu hayat Rasulullah SAW, terdapat suatu kejadian yang membuat semua sahabat bersedih kerana matinya seorang anggota keluarga daripada mereka.

Bahkan Nabi SAW pun menitiskan air matanya, sahabat-sahabat di sekitarnya pun berlinang air matanya, tetapi ada seorang sahabat nampak biasa-biasa saja, sedikitpun dia tidak tersentuh melihat kejadian itu. Lalu dia bertanya kepada Nabi SAW, maka Rasulullah SAW menjawab, "Itu tandanya hati yang keras."

Orang yang keras hati lebih cenderung bersifat ego, sombong, takbur dan tidak mahu menerima kebenaran, kerana hatinya telah keras dan tidak terbuka untuk menerima pengajaran yang benar.

Ketiga, kehidupan dunia hanyalah sementara dan kita sebenarnya adalah seorang musafir yang berada dalam perjalanan, lalu beristirehat pada sebuah tempat untuk sementara waktu. Namun tidak sedikit pun manusia yang beranggapan bahawa tempat istirehat yang sejenak itulah matlamat dan tujuan mereka sehingga lupa akan matlamat dan tujuan sebenar mereka akan kembali kepada Allah Yang Maha Esa.

Justeru, Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa pada suatu masa nanti, umat Islam akan ditindas dan dizalimi oleh umat lain sebagaimana mereka menghadapi makanan di atas meja, padahal jumlahnya ramai tetapi kekuatannya ibarat buih di atas lautan, mudah hancur. Saat itu umat dihinggapi penyakit yang bernama al-Wahn iaitu suatu penyakit yang meracuni umat ini sehingga mereka terlalu cinta kepada dunia dan takut akan kematian.

Keempat, orang yang tiada sifat malu ini, tidak akan malu-malu untuk berbuat apa pun menurut kemahuan hawa nafsunya. Oleh itu, perbuatan dosa dan maksiat adalah agenda utama kehidupan sehariannya, manakala benar dan salah tidak lagi menjadi suatu ukuran dalam hidupnya.

Bila sifat malu tiada, maka dia akan melakukan apa sahaja menurut kehendak nafsunya dan beranggapan bahawa dirinya lebih suci daripada orang lain. Menurut Abu Hasan Al Mawardi, sifat malu itu ada tiga jenis, iaitu;
1. Malu kepada Allah
2. Malu kepada manusia
3. Malu kepada diri sendiri.

Kelima, sifat panjang angan-angan pula menunjukkan kekerdilan manusia, kemahuannya lebih tinggi, tidak sesuai dengan kemampuannya yang sebenar, malah dia suka berkhayal dan berangan-angan. Ungkapan yang biasa bermain pada lidahnya ialah seandainya, andai kata, apabila, jika, kalau dan lain lain lagi.

Bahkan, dia banyak menghabiskan waktunya untuk berangan-angan dan berkhayal pada setiap masa, tetapi dia sama sekali tidak melakukan sesuatu. Ironinya, dia beranggapan bahawa khayalan itu benar, indah dan realistik. Orang yang bersikap demikian samalah dengan ibarat pungguk merindukan bulan atau katak ingin jadi kerbau.

Akhirnya, dengan kekuasaan dan kekuatan, manusia akan melakukan eksploitasi terhadap orang lain, memeras golongan bawahan dan menindas kelompok yang lemah. Jika perbuatan ini dilakukan secara berterusan, maka akibatnya orang pun terus menerus menanggung kezaliman dan penindasannya.

Demikianlah enam sifat mazmumah yang dapat menghancurkan nilai-nilai ibadah, ia ibarat air di daun keladi, amal yang dilakukan berpahala banyak tapi tertumpah tanpa meninggalkan sebarang bekas. Jika enam sifat tercela ini terdapat dalam peribadi seseorang, maka hendaklah dia berwaspada dan berhati-hati dalam segala tindak tanduknya selaras dengan peringatan Rasulullah SAW dalam hadis di atas.

Sila baca selanjutnyaEdisi Agama! Jauhi enam sifat mazmumah!

Edisi Agam! Berhijrah daripada membuat dosa!

Oleh Kaki Wayang on

NALURI manusia yang normal sudah pasti mahukan kepada kejayaan atau pun perubahan yang lebih baik pada setiap masa. Tiada manusia yang sempurna akalnya, mahu terus hidup dalam kegelapan dan bergelumang dalam dosa dan maksiat.

Persoalannya, bagaimana mahu berubah dan untuk berubah, manusia itu perlu mengorbankan banyak perkara. Antaranya adalah 'kekuatan' untuk mengorbankan rasa selesa berada pada tahap sedia ada dan berusaha atau berhijrah melaksanakan transformasi dalam diri untuk menjadi insan mukmin yang berjaya.
Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: ...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka...(ar-Ra'd: 11)

Sebagai mana kita maklum, hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat ke Madinah Al-Munawwarah menjadikan dakwah Islam berpindah ke satu tahap dakwah yang baru. Kaum muslimin juga boleh beribadah dengan lebih selamat dan terbuka berbanding tekanan dan suasana umat Islam di Mekah.

Daripada Aishah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Tidak ada hijrah selepas pembukaan (Mekah) tetapi jihad dan niat (yang baik). Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah. (riwayat Muslim)

Sememangnya tidak ada lagi hijrah selepas hijrah (perpindahan) Nabi SAW itu. Yang ada, adalah hijrah dalam segi berjihad menentang hawa nafsu yang suka mengajak manusia bergelumang dalam noda dan dosa.
Penolong Profesor Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, hijrah dalam segi bahasa bermaksud tinggal.

Justeru katanya, umat Islam masa kini perlu berusaha berhijrah dalam tiga keadaan untuk mencapai taraf hidup yang lebih baik.

Pertama, hijrah seseorang daripada melakukan dosa dan kesalahan, kedua; meninggalkan negara kufur (yang melarang umat Islam melaksanakan Islam) dan ketiga; hijrah meninggalkan tempat-tempat maksiat.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Kitab (al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekelian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahanam. (al-Nisa': 140)

Menurut Zaharuddin, maksud negara kufur di sini adalah negara yang melarang umat Islam melaksana ibadat.

"United Kingdom memang negara kufur tetapi tidak sampai menghalang umat Islam beribadat malah wujud masjid pelbagai mazhab di sana," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum bertajuk 'Hijrah: Transformasi Ke Arah Kebaikan' di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Jumaat lalu.

Seorang lagi ahli panel ialah Pengarah Eksekutif Telaga Biru Sdn. Bhd., Dr. Zahazan Mohamed. Moderator ialah guru Sekolah Menengah Agama Kuala Selangor, Ghazali Omar.

Forum yang dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang itu adalah anjuran bersama Masjid An-Nur, Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor, Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Zaharuddin menambah, antara resipi kejayaan Rasulullah SAW berhijrah dan membentuk para sahabat menjadi mukmin adalah sering membawa akhirat dalam kehidupan.

Contohnya, dalam Perang Tabuk, umat Islam diperintah berjihad menentang musuh ketika masa hasil tanaman mereka hanya menunggu masa dituai. Keadaan ketika itu, kata Zaharuddin adalah musim panas dan orang Islam perlu membelah kawasan gurun yang suhunya mencecah 50 ke 60 darjah Celsius. Di sini, menurut belau, golongan munafik awal-awal lagi mencari pelbagai helah supaya tidak ikut serta berjihad bersama Nabi SAW.

"Lebih teruk lagi, mereka cuba mempengaruhi umat Islam supaya jangan berjihad dengan alasan antaranya, sudah tentu kamu akan mati kepanasan di padang pasir yang tidak ada air dan tempat berteduh.

"Namun baginda SAW bersabda kepada umat Islam, neraka Allah adalah lebih panas daripada yang bakal dilalui di padang pasir.

"Pendek kata, para sahabat mendalami ajaran Allah sebab itu mereka berjaya," jelas beliau.
Zaharuddin juga menarik perhatian agar masyarakat membetulkan salah tanggapan dalam mengukur kejayaan kaum wanita.

Katanya, Allah mencipta kaum lelaki untuk keluar bekerja dan wanita untuk mendidik keluarga dan anak-anak.

Menurut beliau, walaupun Saidatina Khadijah bekerja iaitu sebagai usahawan tetapi beliau adalah seperti pemegang saham dan duduk di rumah.

Demikian juga dengan Aisyah, beliau bekerja mengajar para sahabat ilmu Islam baik hadis dan juga al-Quran.

"Malangnya, media kini mencanangkan wanita yang hebat dan berjaya itu adalah wanita yang berkerjaya. "Bukan saya suruh para isteri berhenti kerja tetapi tugas utama isteri adalah di rumah iaitu menjaga 'sarangnya'. "Sebabnya, keluarga yang pincang akan melahirkan golongan pembunuh, perompak dan sebagainya," tegas beliau.

Sila baca selanjutnyaEdisi Agam! Berhijrah daripada membuat dosa!

Edisi Agama! Syarat untuk bebas dari belenggu dosa!

Oleh Kaki Wayang on

ALLAH SWT menyebut bahawa Dia yang memiliki tangga dan darjat yang tinggi serta nikmat-nikmat yang melimpah ruah yang dikurniakan kepada sekalian hamba-Nya yang terpilih. Kemudian Allah SWT menambah lagi dengan menyebut syarat untuk sampai kepada martabat yang tinggi itu dengan menjauhkan daripada kegelapan yang dapat memasukkan jiwa ke dalam neraka yang menyala-nyala sehingga dapat mengelupaskan kulit kepala.

Seterusnya, Allah SWT menjelaskan 10 syarat yang mampu membebaskan manusia daripada belenggu yang mengikat nafsu syahwat, antaranya:

*Sembahyang.
*Sentiasa mengerjakan sembahyang secara istiqamah pada waktu yang ditetapkan.
*Mendirikan sembahyang dengan cara yang paling sempurna dengan menghadirkan hati, khusyuk kepada Allah SWT di samping menjaga sunah-sunah serta peraturan sembahyang.
*Membenarkan kedatangan hari kiamat dengan melahirkan di dalam dirinya sama ada dalam bentuk iktikad atau amal perbuatan.
*Mengeluarkan sedekah dengan harta benda mereka kepada golongan fakir dan orang yang memerlukan.
*Menepati janji.
*Menunaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya.
*Memelihara faraj (kemaluan) mereka daripada melakukan perbuatan yang haram.
*Menyempurnakan kesaksian dengan menepati syarat-syaratnya.
*Takut terhadap azab Allah SWT.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah. Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. (al-Maarij: 19-21).

Muqatil berkata: Ayat ini ditujukan kepada Umayyah bin Khalaf al-Jumahi. Adapun perkataan halu' terdapat tujuh pandangan:

*Seperti yang disifatkan dalam ayat-ayat selepas ini. Inilah riwayat Atiyah daripada Ibn Abbas dan pendapat Abu Ubaidah dan al-Zajjaj.
*Orang yang loba dan tamak dengan harta yang tidak halal baginya seperti riwayat Abu Soleh daripada Ibn Abbas.
*Orang yang bakhil. Inilah pendapat al-Hasan dan al-Dahak.
*Orang yang amat kedekut. Inilah pendapat Ibn Jubair.
*Orang yang jahat. Inilah pendapat Mujahid.
*Orang yang kasar lagi ganas. Inilah pendapat Ikrimah, Qatadah, Muqatil dan al-Farra'.
*Mereka yang keras lagi samseng. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.

Syed Qutub berkata: Tiga ayat yang pendek ini memberi gambaran yang jelas bahawa manusia amat gelisah dan cemas apabila ditimpa kesusahan seolah-olah ia adalah untuk selamanya. Ia menggambarkan manusia yang kedekut dan bakhil apabila mendapat kekayaan dan kesenangan. Dia menganggap hasil usahanya sendiri dan mengabaikan orang sekeliling tanpa berbakti kepada Allah dengan kekayaan yang dianugerahkan.

Apabila kekayaannya ditarik dan dirampas, maka mereka kegelisahan dan cemas tanpa pedoman. Itulah gambaran manusia yang sungguh malang dan menderita apabila hatinya kosong dari iman. Firman Allah SWT: Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya. (al-Maarij: 21-22)

Ibn Kathir berkata: Manusia disifatkan dengan sifat yang keji kecuali Allah memeliharanya memberi taufik dan hidayah ke arah kebaikan. Begitu juga mereka menjaga waktu solat dan segala yang wajib. Inilah juga pendapat Ibn Mas'ud, Masruq dan Ibrahim al-Nakaie.

Al-Maghari berkata: Manusia yang memiliki sifat yang tercela layak menerima kemurkaan Allah kecuali orang yang dipelihara dan ditunjukkan Allah SWT mengerjakan amalan kebaikan dengan dipermudahkan kepada mereka bagaimana melakukan sebab kebaikan itu.

Mereka itu terdiri daripada orang yang memelihara sembahyang pada waktunya serta tidak disibukkan dengan urusan lain. Ayat di atas menjadi bukti utama agar sentiasa mengerjakan amal ibadah kepada-Nya.

Firman Allah SWT: Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu. Bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta). (al-Maarij: 24-25)

Ibn Kathir berkata: Sebahagian harta mereka diperuntukkan untuk mereka yang memerlukannya. Syed Qutub berkata: Yang dimaksudkan dengan peruntukan itu secara khususnya adalah zakat dan sedekah yang tertentu kadarnya. Peruntukan ini merupakan suatu hak dan kewajipan dalam harta kekayaan orang mukmin.

Mungkin tujuannya lebih luas dan besar iaitu mereka memperuntukkan sebahagian tertentu dari harta kekayaan mereka dengan kesedaran sebagai hak orang yang meminta bantuan dan orang yang susah. Dengan ini mereka dapat membebaskan diri mereka dari sifat kikir dan tamak di samping membuat orang yang kaya membantu orang yang miskin tanpa bersoal jawab dan sebagainya.

Sila baca selanjutnyaEdisi Agama! Syarat untuk bebas dari belenggu dosa!

Edisi Agama! Bertabarruk dengan peninggalan Nabi Muhammad SAW!

Oleh Kaki Wayang on

KITA menyambung perbincangan kita tentang bertabarruk atau mengambil berkat dengan bekas-bekas peninggalan Nabi SAW. Alhamdulillah, minggu lepas Yayasan Sofa dalam lawatan kerja ke Mesir berkesempatan melihat dan menyentuh beberapa bekas peninggalan Nabi SAW yang disimpan di Masjid Saidina Hussein r.a.

Wujud dan tersimpan baiknya bekas-bekas peninggalan nabi SAW itu hingga ke hari ini bukanlah sesuatu yang aneh jika kita melihat pelbagai laporan mengenai sikap generasi sahabat dan tabi'en dalam menghargai dan memelihara bekas-bekas peninggalan ini.

Melalui perbuatan mereka ini kita bukan sahaja mendapat pedoman bahawa bertabarruk ini dibolehkan tetapi juga mendapat gambaran tentang sikap kasih dan hormat yang begitu hebat terhadap nabi SAW yang sepatutnya tersemai di hati kita.

Imam Ahmad RH dan lain-lainnya meriwayatkan daripada Anas r.a: Nabi SAW pernah datang ke rumah Ummu Sulaim. Di dalam rumahnya terdapat qirbah (bekas air daripada kulit) yang tergantung. Lalu Rasulullah SAW minum di bahagian bibir qirbah itu sambil berdiri.

Anas r.a berkata, "Maka Ummu Sulaim memotong bibir qirbah itu dan ia ada pada kami". Maksudnya, Ummu Sulaim memotong mulut qirbah yang pernah menjadi tempat minum Rasulullah SAW. Dia menyimpan dan menjaga barang itu di rumahnya untuk bertabarruk dengan bekas atau kesan Nabi SAW.

Diriwayatkan daripada Yahya ibn al Harith al Zimari, katanya: Aku pernah bertemu dengan Wathilah ibn al Asqa', Aku berkata kepadanya, "Dengan tanganmu ini, engkau membaiah Rasulullah SAW"? Dia berkata: "Ya". Kataku, "Hulurkan tanganmu. Aku akan mengucupnya". Dia pun menghulurkan tangannya kepadaku, lalu aku mengucupnya. (riwayat At-Tabrani)

Menurut riwayat Abu Nu'aim di dalam Al-Hilyah, daripada Yunus ibn Maisarah, disebutkan bahawa beliau berkata: "Kami pernah menziarahi Yazid ibn al-Aswad”. Lalu datang Wathilah ibn al-Asqa' r.a. Ketika Yazid melihatnya, Wathilah r.a menghulurkan tangannya. Yazid pun memegang tangan Wathilah r.a, lalu disapu ke muka dan dadanya; kerana Wathilah r.a pernah membaiah Rasulullah SAW.

Wathilah berkata kepadanya: "Wahai Yazid! Bagaimana prasangkamu terhadap Tuhanmu"? Dia menjawab: "Baik". Dia berkata: "Maka bergembiralah kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya Allah SWT berfirman: "Aku mengikut prasangka hambaKu terhadapKu. Jika sangkaannya baik, maka Aku menilainya baik. Jika sangkaannya buruk, maka Aku menilainya buruk". (Al-Hilyah, 9: 306)

Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam Al-Adab al-Mufrad, daripada Abdul Rahman ibn Razin, katanya: Ketika kami melalui daerah Rabzah, ada yang berkata kepada kami, "Di sinilah tempat Salamah ibn al Akwa' r.a berada". Kami pun menemuinya dan mengucapkan salam kepadanya. Lalu dia mengeluarkan kedua-dua belah tangannya seraya berkata: "Aku pernah membaiah Nabi Allah SAW dengan kedua-dua tangan ini".

Kemudian, dia mengeluarkan telapak tangannya yang gemuk dan kasar seperti telapak kaki unta. Maka kami pun berdiri mendekatinya dan mengucupnya. (ms. 144)

Ibnu Saad juga meriwayatkan hadis seperti itu daripada Abdul Rahman ibn Zaid al 'Iraqi. (Tabaqat Ibn Saad, 4: 39)

Demikian juga Imam Bukhari di dalam Al-Adab al-Mufrad meriwayatkan daripada Ibnu Jad'aan: Thabit berkata kepada Anas r.a: "Apakah engkau pernah menyentuh Nabi SAW dengan tanganmu"? Dia menjawab: "Ya, pernah". Lalu Thabit mengucup tangan Anas. (ms. 144)

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan dalam kitab yang sama daripada Suhaib, katanya: "Aku pernah melihat Saidina Ali r.a mengucup tangan al-Abbas r.a dan kedua-dua belah kakinya". (ms. 144)
 
Diriwayatkan daripada Thabit, katanya: “Dahulu, jika aku datang kepada Anas r.a, dia akan diberitahu mengenai kedudukanku. Lalu, aku masuk kepadanya dan memegang kedua-dua belah tangannya serta mengucupnya”. Aku berkata: "Demi ayahku! Kedua-dua belah tangan ini pernah menyentuh Nabi SAW". Aku juga mengucup kedua-dua belah matanya, dan aku berkata: "Demi ayahku! Kedua-dua mata ini pernah melihat Rasulullah SAW". (Disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam al-Matolib al-'Aliyyah (4: 111).

Sila baca selanjutnyaEdisi Agama! Bertabarruk dengan peninggalan Nabi Muhammad SAW!

Edisi Sentap! Jawapan Ibu Nur Amalina mengenai kontroversi anaknya!

Oleh Kaki Wayang on

“Semua itu tidak benar! Anak saya masih meneruskan pengajian di tahun akhir dalam bidang perubatan,” kata Sabariah Hassan, 52, ibu pelajar genius, Nur Amalina Che Bakri.

Sabariah berkata demikian ketika mengulas dakwaan anaknya gagal dalam pengajian kerana mengamalkan gaya hidup bebas seperti tersiar dalam sebuah blog dan kini tersebar luas di Internet termasuk menerusi laman sosial facebook.

Menurut Sabariah, Nur Amalina, 23, yang menuntut di Universiti Edinburgh, Scotland, United Kingdom (UK) baru menamatkan pengajian dalam bidang farmakologi dan kini meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di tahun akhir.

“Nur Amalina sedang menjalani latihan praktikal di sebuah pusat perubatan di sana (UK) dan dijangka menamatkan pengajian pada Mei 2013 sebelum kembali ke Malaysia.


“Malah, dia kini bertungkus-lumus menyiapkan sebuah buku perubatan yang akan dijadikan rujukan kepada pensyarah, pelajar dan pengamal perbuatan. Buku itu dalam proses akhir untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sila baca selanjutnyaEdisi Sentap! Jawapan Ibu Nur Amalina mengenai kontroversi anaknya!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...