Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat menasihati penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat
cepat mendirikan rumah tangga supaya kehidupannya lebih sempurna. Nik Abdul
Aziz berkata, Islam menggalakkan orang yang mampu supaya cepat berkahwin.
“Ini penting untuk mengawal kita daripada melakukan dosa dan apabila berkahwin,
ia lebih selamat untuk menjaga masuah. “Khairul Fahmi merupakan penjaga gol
terbaik Asia menjadi idola rakyat Kelantan, saya juga berbangga dengannya
apatah lagi dia berada dalam kawasan pilihan raya saya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah
Kepada Khairul Fahmi di Taman Kurnia Jaya, Kemumin, Pengkalan Chepa dekat sini,
semalam. Kerajaan negeri Kelantan kata beliau, memberi hadiah kepada rakyat
yang cemerlang dalam apa jua bidang sebagai rangsangan.
“Mereka yang berbakat dan cemerlang ini perlu menunjukkan contoh baik, bebas
salah laku sosial dan pengaruh dadah kerana dadah boleh memusnahkan kehidupan,”
katanya.
Khairul Fahmi yang mesra dikenali sebagai Apex berkata, beliau menyerahkan soal
jodoh kepada Allah SWT dan tidak mahu terlalu memikirkannya.
“Soal jodoh ni kena tengok 'rezeki' la, kalau tahun ni (kahwin) maka tahun ni
la, kalau tahun depan atau tiga tahun lagi pun saya terima,” katanya.
Sementara itu, bapa Apex, Che Mat Hussin, 59, ketika ditemui berkata, dia
menyerahkan soal perkahwinan sepenuhnya kepada penjaga gol Kelantan itu. Katanya,
Apex mungkin mahu menumpukan perhatian kepada karier terlebih dauhulu.
“Saya sedia menerima siapa saja wanita pilihan dia, yang penting ialah
matlamatnya dalam bidang sukan tidak terganggu kerana dia masih muda,” katanya.
Apex yang menerima anugerah Pemain Muda Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik pada
Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2011 November lalu tersenarai
bersama Fadhli Shas dan Safee Sali dalam kesebelasan terbaik Asia pilihan laman
web terkenal dunia, Goal.Com.
Sila baca selanjutnya → Edisi Gempak! Nik Aziz nasihat Apex cepat kahwin!