SEBELUM menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) pada Oktober
tahun lalu, Os merupakan pemandu teksi sepenuh masa di sekitar Lembah
Klang sejak enam tahun lalu.
Selepas menjuarai MLM anjuran Astro Warna bersama pasangannya, Abon
dan meraih hadiah wang tunai RM350,000 hujung Disember lalu, pelawak,
pelakon dan pengacara itu masih meneruskan kerjaya tersebut.
Menurut Os atau nama sebenarnya Mohd. Yusof Abdul Hamid, dia tidak
rambang mata dengan hadiah wang tunai yang diterimanya itu, malah akan
menggunakan dengan sebaik mungkin wang kemenangan tersebut.
“RM350,000 itu bunyinya memang besar tetapi ia juga perlu dibahagi
dua antara saya dan Abon. Jadi, setiap seorang dapatlah RM175,000.
Jumlah itu tidaklah sebesar mana pun kalau hendak dibandingkan dengan
taraf hidup sekarang yang semakin meningkat.
“Kalau beli sebuah rumah pun dapatlah yang kecil. Saya belum ada
perancangan dengan duit itu tetapi saya akan gunakannya untuk keperluan
keluarga saya. Saya tidak mahu boros kerana rezeki seperti ini bukannya
datang selalu,” katanya kepada Mega sewaktu ditemui di Sri Gombak,
Selangor, baru-baru ini.
Meskipun bergelar pemandu teksi tetapi pada masa sama Os yang
mencipta zaman kegemilangannya pada tahun 1980-an masih belum bersara
daripada bidang nyanyian, lakonan dan lawak jenaka yang diminatinya.
Bagaimanapun, bekas pelakon watak Mr. Os dalam sitkom Santan Berlada
ini, nama dan rezekinya semakin melonjak selepas dia menjuarai MLM
dengan mengalahkan tiga lagi finalisnya iaitu kumpulan Boboi, Saehu dan
Syok.
“Selepas menang MLM saya dapat banyak panggilan telefon mengucapkan
tahniah. Daripada kawan-kawan yang sama-sama bawa teksi dan juga para
penumpang saya sehinggakan dalam sehari saya dapat lebih 10 mesej dalam
telefon bimbit saya.
“Kebanyakan kawan-kawan saya ahli Petra (Persatuan Pemandu Teksi
Terminal Putra LRT Gombak). Saya juga menerima banyak panggilan daripada
penerbit dan pengarah yang mahu menawarkan saya berlakon filem atau
drama sejak akhir-akhir ini.
“Walau bagaimanapun, buat masa ini saya sedang memikirkan
tawaran-tawaran tersebut supaya ia bukan sahaja berbaloi dengan
pengalaman saya tetapi juga tidak menjejaskan jadual kerja saya sebagai
pemandu teksi,” ujarnya.
Sewaktu ditanya apakah yang akan digunakan pada wang hadiah
kemenangan Osbon itu, Os berkata, dia akan menggunakannya bagi menambah
baik teksi miliknya selain sebagai belanja bagi memenuhi keperluan
anggota keluarganya seharian.
Katanya, dia tidak sekali-kali akan membazirkan wang kemenangan yang
diterimanya itu kerana beranggapan rezeki bergolek seperti itu bukannya
datang selalu dalam hidupnya biarpun sudah 27 tahun bergelar artis di
negara ini.
“Saya bercadang mahu menggunakan duit kemenangan ini bagi menambah
baik teksi saya supaya ia kelihatan lebih solid dan menarik demi
keselesaan penumpang. Saya tidak akan tukar teksi saya kerana keadaannya
masih elok lagi.
“Apatah lagi, permit teksi saya hanya akan mati pada tahun 2015.
Selain itu, saya akan gunakan wang kemenangan ini bagi menyara keluarga
saya. Anak-anak pula ramai, jadi kos sara hidup tentunya agak tinggi,”
jelasnya.
Biarpun mendapat banyak tawaran berlakon dan mengadakan persembahan
pentas di merata-rata tempat, namun anak seni berusia 50 tahun ini tidak
meletakan harga bayaran sesuka hati, sebaliknya ia mengikut pasaran
semasa.
Jelas Os, harga bayaran yang dikenakannya berpatutan, malah antara
yang terendah jika dibandingkan dengan kalangan pelawak generasi baru
dimana ia katanya akan memberi keuntungan kepada kedua belah pihak.
“Harga bayaran untuk saya mengadakan persembahan atau berlakon dalam
drama dan filem masih sama seperti dulu. Saya sendiri cuba membandingkan
bayaran yang diterima oleh pelawak-pelawak sekarang.
“Contohnya, pelawak seperti Nabil Raja Lawak, kumpulan Jozan atau
Saiful Apek. Saya rasa, harga saya lebih murah. Jadi, tidak timbul kata
saya demand selepas menang MLM baru-baru ini. Harga bayaran saya amat
berpatutan.
“Tetapi kalau ada pihak yang mahu menawarkan bayaran yang lebih
rendah daripada apa yang saya letakkan itu, ia suatu penghinaan buat
pelawak seperti saya. Ini kerana, saya bukannya tiada pengalaman atau
tidak ada nama dalam bidang seni di negara ini,” ulasnya.
Meskipun bergelar artis, tetapi Os tidak berasa malu atau rendah diri
bergelar pemandu teksi demi menyara isteri dan anak-anaknya yang masih
kecil kerana baginya ia suatu pekerjaan yang amat sesuai dengan dirinya.
Jelas anak seni berasal dari Kuala Kangsar, Perak ini sejak bergelar
artis pada pertengahan tahun 1980-an dia lebih banyak melakukan
kerja-kerja sendiri termasuklah sebagai pengacara, penyanyi, pelawak dan
pelakon.
“Saya tidak malu menjadi pemandu teksi walaupun pada masa sama saya
juga seorang artis. Sebagai artis, susah untuk saya bekerja makan gaji.
Ini kerana, tawaran berlakon dan mengadakan persembahan pentas, ia
datang tidak menentu masanya.
“Kalau bekerja makan gaji agak susah untuk selalu ambil cuti. Jadi,
menjadi pemandu teksi adalah antara kerja sendiri yang saya lakukan.
Sekarang ini, saya tidak fikirkan soal malu atau glamor kerana zaman itu
sudah lama berlalu.
“Saya tidak hairan dengan glamor lagi kerana saya harus berpijak di
bumi nyata di mana apa yang saya lakukan kini adalah kerana mahu
menjalankan tanggungjawab saya terhadap keluarga. Saya gunakan bakat
saya untuk tujuan itu,” katanya bersungguh-sungguh.
Sungguhpun dengan pendapatan yang tidak menentu setiap hari, Os yang
telah terbabit dalam bidang seni hampir tiga dekad berkata, dia tetap
berpuas hati dengan rezeki yang diperolehinya itu.
Apatah lagi, dia kini tidak lagi dibebani dengan sewa kerana teksi
yang digunakannya sekarang ini adalah miliknya sendiri selepas tiga
tahun dia menyewa dengan kadar sewaan RM44 sehari.
“Teksi yang saya gunakan sekarang ini bukan sahaja milik saya sendiri
tetapi saya juga ada permit sendiri sejak setahun lalu. Saya bersyukur
dengan apa yang ada di mana kalau saya mahu duit lebih maka saya akan
bawa teksi lama sikit. Ia bergantung pada keperluan saya.
“Dalam masa tiga jam misalnya, saya boleh mendapat tambang penumpang
sekitar RM40. Saya boleh dapat RM100 sehari selepas ditolak dengan duit
minyak. Cuma saya tidak suka bawa teksi pada waktu malam sejak
kebelakangan ini.
“Antara sebabnya, saya tidak mahu terbabit dalam kejadian-kejadian
yang tidak diingini. Maklumlah, membawa penumpang pada waktu malam
cabaran dan masalahnya lebih besar. Biarlah waktu malam saya berehat
sahaja di rumah,” jelasnya.