RAKAM...rakaman CCTV menunjukkan dua suspek sebelum menculik mangsa. 
“Kepala saya dipijak bertubi-tubi, badan saya dipukul dan tangan 
kanan  digores dengan pisau,” kata pekerja restoran, Mohd Akhtar, 20 
yang diculik sekumpulan gengster selama tiga jam kerana majikannya 
enggan membayar wang perlindungan RM5,000.
  Detik ngeri Mohd Akhtar bermula jam 3 pagi Sabtu lalu selepas 
terpedaya helah dua ahli kumpulan gengster terbabit yang meminta 
pertolongannya, kononnya kenderaan pacuan empat roda milik mereka yang 
diletakkan depan restoran di Jalan Ipoh, di sini, rosak.
SAKIT...Mohd Akhtar menunjukkan luka pada lengannya. 
  
“Saya mengekori mereka ke kereta, tapi sebaik sampai, saya ditolak masuk
 ke dalam kereta. Ada seorang wanita dalam kereta itu dan mungkin dia 
ketua mereka.
   “Mereka mengacukan pisau dan memberitahu mahu membunuh saya jika 
majikan tidak mahu membayar wang perlindungan,” katanya ketika ditemui, 
semalam.
  Menurutnya, dia diarah menghubungi majikannya yang 
hanya mahu dikenali sebagai Mohd Ramzan, 35, selain diberi tempoh lima 
minit untuk menyerahkan wang.     “Sekiranya gagal mereka akan membunuh 
saya, tapi majikan enggan memberikan wang menyebabkan mereka memecut 
kereta dan membawa saya ke sebuah rumah.
  “Selepas lebih tiga
 jam diseksa, mereka menarik saya masuk ke dalam kereta sebelum 
mencampak saya di depan sebuah pusat beli-belah di Kepong pada jam 6 
pagi,” katanya.     Mohd Akhtar meminta bantuan seorang lelaki yang 
berada di kawasan berhampiran menghubungi Mohd Ramzan.
  Sementara itu, Mohd Ramzan berkata, kumpulan  terbabit datang ke 
restorannya pada petang Jumaat dan memeras ugut supaya dia membayar wang
 perlindungan.
  “Bagaimanapun, saya enggan menyebabkan 
berlaku pertengkaran antara kami sebelum mereka beredar. Sangkaan saya 
perkara itu selesai namun tidak menyangka mereka datang lagi dan 
menculik pekerja saya.
  “Bimbang mereka  mengapa-apakan Mohd Akhtar, saya bersama isteri membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi,” katanya.
  Mohd Ramzan berkata, tidak lama selepas itu, kumpulan terbabit sekali lagi menghubunginya.
  “Saya berkeras dan memberitahu sudah membuat laporan polis, malah 
memberitahu wajah mereka sudah dirakam  kamera litar tertutup (CCTV) 
sebelum mereka mematikan talian,” katanya.