Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun tergamak
melakukan jenayah dengan mengajak rakannya untuk merompak rumah ibunya
sendiri di Taman Tanjung Indah di sini. Remaja yang tidak bersekolah dan dikatakan telah lari dari rumah
ibunya sebelum ini, mengajak tiga rakannya untuk memecah masuk kediaman
ibunya yang berstatus ibu tunggal dan bekerja di sebuah kilang.
Dua daripada rakannya itu juga remaja lelaki keciciran sekolah
berusia 15 dan 17 tahun, manakala seorang lagi berusia 42 tahun yang
bekerja sebagai pemandu bas kilang, kesemua mereka menetap di Gelang
Patah, Johor Bahru. Mereka memecah masuk rumah wanita berusia 42 tahun itu pada 1
November lalu tetapi kecekapan pihak polis berjaya mengesan kesemua
suspek yang ditahan secara berasingan pada 25 November lalu di sekitar
Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa
membuat laporan rumahnya dipecah masuk setelah menyedari mangga pintu
gril hadapan rumahnya dipotong dan kehilangan wang tunai RM5,000 serta
sebuah komputer riba jenama Acer. Ketika kejadian, mangsa tiada di rumah dan hanya menyedari kejadian itu sebaik sahaja pulang bekerja pada pukul 7.40 petang.
"Hasil siasatan polis, semua wang tunai yang dicuri dibahagikan sama
rata manakala komputer riba mangsa dijual di sebuah kedai komputer di
pusat beli-belah di Plentong, Johor Bahru," katanya.
Suspek yang berusia 42 tahun dikatakan mengambil semua wang hasil
jualan komputer riba itu bernilai RM2,500, berdasarkan penemuan resit
jualan di kedai komputer tersebut. Din berkata, anak mangsa yang ditahan di sebuah restoran di Taman
Ungku Tun Aminah, Johor Bahru mengaku menjadi perancang dan terlibat
dalam jenayah pecah masuk rumah itu manakala tiga lagi rakannya mengaku
tidak bersalah.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah.