Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama 
Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah 
membincangkan mengenai Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay) . Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
  
- 
  Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang 
dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa para fuqaha’ telah 
mengklasifikasikan Cicak Gekko Geckko (Tokay) sebagai binatang yang 
haram dimakan kerana tergolong dalam kategori haiwan yang menjijikkan 
(khabis) dan mempunyai racun. Begitu juga dengan uruf masyarakat Islam 
di Malaysia yang tidak menjadikan binatang ini sebagai makanan yang 
biasa dimakan. Selain itu, sehingga kini tidak ada bukti saintifik dan 
ujian klinikal yang membuktikan bahawa Cicak Gekko Geckko (Tokay) mampu 
menjadi penawar atau mengubati penyakit-penyakit tertentu.
 - Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan Cicak Gekko Geckko (Tokay) adalah diharamkan oleh Islam. Manakala untuk tujuan perubatan, penggunaan Cicak Gekko Geckko (Tokay) diharuskan dengan syarat keberkesanannya dapat dibuktikan dari segi saintifik dan tiada alternatif ubat lain yang boleh digunakan bagi merawat penyakit berkaitan.
 


