Edisi Terkini! Akhirnya Jenazah Dirang Selamat Dikebumikan - Al-Fatihah!

Oleh Kaki Wayang on


Jenazah kanak-kanak mangsa bunuh dan bakar Nurul Nadhirah Abdullah, 5, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai, di sini kira-kira 1.30 tengah hari ini.

Keadaan hujan renyai-renyai dengan cuaca mendung mengiringi pengebumian kanak-kanak itu, seolah-olah turut sama menangisi pemergian Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang, yang menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh manusia berhati haiwan.

Selain ibu mangsa Roselyn Alan, 25, bapa tirinya Lima Medang, 25, dan kaum keluarga terdekat, hampir 100 orang terdiri daripada jiran dan masyarakat setempat yang simpati dengan nasib insan kerdil yang tidak berdosa itu turut sama menghadiri pengebumian itu.

Ada dalam kalangan mereka tidak dapat menahan sedih dan turut menitiskan air mata apabila melihat keadaan Roselyn yang menangis pilu apabila talkin dibacakan oleh Imam 1 Masjid Nur Hidayah, Jalan Tasek Bandar Seri Alam, Abdul Rahman Ismail.

Dirang ditemui mati dalam keadaan rentung terbakar dalam sebuah lubang di kawasan perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai, di sini pada 8 Mac lalu.

Dia sebelum itu dilaporkan hilang pada 1 Mac ketika keluar membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit di kawasan flat kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

Terdahulu, Roselyn yang memakai baju dan tudung berwarna merah jambu, tiba bersama ibunya, Milnah Jul, 52, dan anggota keluarga lain di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Baharu kira jam 9.50 pagi untuk melihat kali terakhir jenazah anaknya.

Roselyn kemudian ditemani ibunya masuk ke bilik mayat kira-kira 20 minit sebelum keluar dalam keadaan menangis dan tidak bermaya.

Selepas Roselyn keluar, seorang lelaki berusia 30-an berpakaian baju lokap dan bergari dipercayai bapa kandung mangsa memasuki rumah mayat HSA dengan diiringi tiga anggota polis.

Dia sebelum itu dilihat tiba lebih awal, namun menunggu dalam kenderaan polis sementara menanti giliran untuk menziarahi kali terakhir jenazah anak perempuannya itu.

Setelah hampir 10 minit, lelaki berkenaan kemudian keluar dalam keadaan sugul sebelum dibawa beredar dengan menaiki kenderaan polis.

Jenazah Dirang dituntut oleh keluarganya kira-kira 11.45 pagi selepas selesai urusan memandi dan mengkafan dilakukan oleh Majlis Agama Islam Johor.

Jenazah kemudian disembahyangkan di Masjid Al Muhajirin Masai sebelum dibawa menaiki van jenazah menuju ke tanah perkuburan.

Kronologi Pembunuhan Dirang dan Punca serta Motif Penculik Membunuh Dirang Part 1!
Kronologi Pembunuhan Dirang dan Punca serta Motif Penculik Membunuh Dirang Part 2!

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...