McNICHOLL menunjukkan kesan kecederaan pada badannya akibat dihentak dengan batang besi dan tukul besi.
Seorang ahli perniagaan yang dibelasah teruk oleh teman wanitanya dan
hampir kehilangan tangan akan menjalani pembedahan kosmetik bagi
menghilangkan kesan penderaan itu. Ian McNicholl, 49, dari Hull, menderita selama dua tahun akibat
didera Michelle Williamson, termasuk satu daripadanya disembur dengan
cecair peluntur pada mata.
McNicholl juga menderita retak
tengkorak, rahang, hidung dan tiga rusuknya patah, selain kesan melecur
pada tangan akibat ditekap dengan seterika panas oleh teman wanitanya
yang hanya mempunyai ketinggian 1.5 meter. Tidak cukup dengan itu, McNicholl juga diseksa dengan puntung rokok pada hidungnya kerana disyaki bercinta dengan wanita lain.
Michelle kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun kerana menyebabkan kecederaan ke atas McNicholl. Dalam
satu kejadian, Michelle, 34, mencurah dua cerek air mendidih ke atas
McNicholl dan pernah menyerang teman lelakinya itu dengan pencuci hampa
gas. Bersedia menjalani pembedahan kosmetik, McNicholl berkata dia mula
disyaki berlaku curang di antara sambutan Krismas dan tahun baru pada
2006.
“Ketika itu Michelle mencederakan saya kali pertama dengan menumbuk muka sehingga menyebabkan mata saya lebam,” katanya.
Menurut McNicholl, Michelle kemudian meminta maaf dan berjanji insiden itu tidak berulang lagi. Percaya dengan janji itu, McNicholl membenarkan Michelle berpindah ke rumahnya di Grimsby. Bagaimanapun, beberapa minggu kemudian Michelle sekali lagi menyerangnya dengan pencuci hampa gas. Kata McNicholl, Michelle mula merungut dan mengungkit hubungannya dengan pasangan sebelum ini. Pengalaman paling perit dialami McNicholl berlaku apabila Michelle mencurahkan secerek air mendidih ke ribaannya.
“Ketika
saya menjerit kesakitan, Michelle mengisi semula cerek berkenaan,
memanaskan air dan mencurahnya untuk kali kedua,” katanya.
McNicholl berkata, Michelle juga suka menunjuk-nunjuk kesan kecederaan dialami kepada rakannya. Ditanya
mengapa dia tidak cuba melarikan diri, McNicholl berkata, dia takut
kerana Michelle pernah mendakwa keluarganya terbabit dalam kegiatan
jenayah dan tidak teragak-agak membunuhnya. Sejurus sebelum
ditahan polis, Michelle sempat menyerang McNicholl dengan batang besi
dan tukul besi dalam kejadian selama hampir tujuh jam. Michelle ditahan selepas polis menerima maklumat daripada pihak tidak dikenali.