Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) kekal dengan pendirian
mahu mendengar kes tatatertib terhadap penuntutnya Adam Adli Abdul
Halim, yang menurunkan banting berupa bendera Datuk Seri Najib Razak
bulan lalu, 9 Januari ini.
Walaupun didesak pelbagai pihak supaya Adam Adli tidak diambil tindakan
tatatertib oleh Upsi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan
Alumni, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata, ia akan tetap diadakan jam 3
petang, 9 Januari.
Menurutnya, meskipun perhimpunan di pekarangan Upsi awal pagi semalam
bertujuan mendesak supaya Adam Adli dibebaskan, pihaknya tidak
berganjak dengan keputusan tindakan tatatertib terhadapnya.
“Adam Adli sedia maklum bahawa pendengaran hukuman akan diadakan pada 9
Januari ini atas tindakannya menurunkan bendera, namun penyertaannya
pada demonstrasi di hadapan perkarangan Upsi juga akan dikenakan
tindakan tatatertib sekali lagi oleh pihak Upsi ,” katanya.
Bagaimanapun katanya, notis tindakan tatatertib kepada Adam Adli akibat
penyertaannya pada demonstrasi itu akan diserahkan dalam tempoh 10
hingga 14 hari lagi.
Junaidi berkata, selain Adam Adli, seorang lagi mahasiswi Upsi, yang
turut ditahan polis pada malam kejadian itu, Siti Nurul Piteriah Abdul
Halim, pelajar tahun ketiga juga tidak terlepas dengan tindakan
tatatertib.
Dalam pada itu katanya, Upsi kini sedang menyiasat pembabitan beberapa
mahasiswanya pada demonstrasi menuntut pembebasan Adam Adli dan
penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) semalam.
Junaidi berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman video dalam kejadian
terbabit bagi memastikan identiti mahasiswa yang terlibat.
“Kami dimaklumkan terdapat beberapa mahasiswa Upsi yang terlibat. Jika
terdapat bukti sahih pembabitan itu, mereka juga tidak akan terlepas
dengan tindakan tatatertib oleh pihak Upsi,” katanya.