Edisi Sentap! Upsi tetap dengar kes tatatertib Adam Adli 9 Januari!

Oleh Kaki Wayang on


Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) kekal dengan pendirian mahu mendengar kes tatatertib terhadap penuntutnya Adam Adli Abdul Halim, yang menurunkan banting berupa bendera Datuk Seri Najib Razak bulan lalu, 9 Januari ini.
 
Walaupun didesak pelbagai pihak supaya Adam Adli tidak diambil tindakan tatatertib oleh Upsi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Datuk  Dr Junaidi Abu Bakar berkata, ia akan tetap diadakan jam 3 petang, 9 Januari.
 
Menurutnya, meskipun perhimpunan di pekarangan Upsi awal pagi semalam bertujuan  mendesak supaya Adam Adli dibebaskan, pihaknya tidak berganjak dengan keputusan tindakan tatatertib terhadapnya.
 
“Adam Adli sedia maklum bahawa pendengaran hukuman akan diadakan pada 9 Januari ini atas tindakannya menurunkan bendera, namun penyertaannya pada demonstrasi di hadapan perkarangan Upsi juga akan dikenakan tindakan tatatertib sekali lagi oleh pihak Upsi ,” katanya.
 
Bagaimanapun katanya, notis tindakan tatatertib kepada Adam Adli akibat penyertaannya pada demonstrasi itu akan diserahkan dalam tempoh 10 hingga 14 hari lagi.
 
Junaidi berkata, selain Adam Adli, seorang lagi mahasiswi Upsi, yang turut ditahan polis pada malam kejadian itu, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim, pelajar tahun ketiga juga tidak terlepas dengan tindakan tatatertib.
 
Dalam pada itu katanya, Upsi kini sedang menyiasat pembabitan beberapa mahasiswanya pada demonstrasi menuntut pembebasan Adam Adli  dan penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) semalam.
 
Junaidi berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman video dalam kejadian terbabit bagi memastikan identiti mahasiswa yang terlibat.
 
“Kami dimaklumkan terdapat beberapa mahasiswa Upsi yang terlibat. Jika terdapat bukti sahih pembabitan itu, mereka juga tidak akan terlepas dengan tindakan tatatertib oleh pihak Upsi,” katanya.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...