Kalau benar seperti yang didakwa, penyanyi terkenal, Allahyarham
Izwan Pilus adalah selebriti kedua tanah air yang meninggal dunia kerana
dijangkiti virus kencing tikus atau leptospirosis. Seorang penyampai radio popular yang juga personaliti televisyen,
Mior Ahmad Fuad atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi juga sebelum
ini meninggal dunia kerana disyaki dijangkiti virus yang sana. Sebenarnya kita sebelum ini jarang mendengar jangkitan sebegitu kerana ia jarang berlaku. Tetapi hakikatnya, penulis difahamkan yang ia bukanlah asing kepada penduduk negara ini.
Kita pernah dikejutkan dengan jangkitan leptospirosis membabitkan
enam tahanan warga Myanmar di Depoh Tahanan Imigresen, Juru Pulau
Pinang. Ia turut dikenali dengan pelbagai nama seperti Penyakit Weil, Demam
Icterohemorrhage, Penyakit Swineherd’s, Demam pesawah (Rice-field
fever), Demam Pemotong tebu (Cane-cutter fever), Demam Swamp, Demam
Lumpur, Jaundis berdarah, Penyakit Stuttgart, Demam Canicola.
Menerusi sebuah artikel yang pernah penulis baca, leptospirois
berpunca daripada pendedahan terhadap bakterium ‘leptospira
interrogans.’ Jangkitan terhadap manusia selalunya melalui air yang dicemari kuping kulit dan lendir hidung, mulut dan mata tikus.
Bagaimanapun, leptospirosis tidak menyebabkan jangkitan daripada manusia kepada manusia. Jangkitan ini berlaku di seluruh dunia terutama di negara beriklim tropika.
Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan Amerika Syarikat misalnya
merekodkan 100 ke 200 kes leptospirosis setahun di negara maju itu
dengan dengan 50 peratus daripadanya berlaku di Hawaii. Kes leptospirosis biasanya meningkat apabila musim hujan atau banjir.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada rekod jumlah kes sebenar leptospirosis yang berlaku di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebaliknya cuma memberi anggaran
kes antara 0.1 atau 1 kes per 100 000 penduduk setahun di kawasan
tropika.
Tanpa alasan yang kukuh, leptospirosis selalu terlepas pandang dan tidak banyak laporan mengenainya dibuat.
Kerap kali, mereka yang terbabit dengan aktiviti luar atau petani lebih berisiko terhadap leptospirosis. Komplikasi jangkitan ini termasuk jangkitan kuman di otak
(meningitis), pendarahan yang teruk, kegagalan fungsi hati dan buah
pinggang.
Di antara faktor risikonya adalah:
1) Pekerjaan yang terdedah kepada persekitaran – misalnya
petani, peladang, tentera, pesawah, pekerja sistem pembetungan atau
doktor haiwan.
2) Aktiviti rekreasi seperti berenang dalam air yang dicemari bakterium leptospira atau berkayak.
3) Terdedah kepada peralatan di rumah yang digunakan untuk
penyembelihan, peliharaan anjing atau makanan yang digigit binatang
seperti tikus, tupai dan arnab.
Gejala:
1) Leptospirosis tiada gejala yang khusus.
2) Umumnya masa pengeraman kuman itu di antara dua hingga 26 hari.
3) Pada peringkat awal ia akan membuat tubuh menggigil dan demam. Gejala ini membabitkan 75 – 100 peratus pesakit.
4) Batuk tidak berkahak ( 25 – 35 peratus pesakit)
5) Loya, muntah, cirit-birit, sakit sendi, sakit tulang,
sakit tekak, sakit perut. Bagaimanapun ia gejala yang kurang berlaku
6) Radang selaput mata
7) Antara tujuh hingga 40 peratus pesakit mungkin mengalami
sakit otot, limpa atau hati membengkak, bengkak kelenjar, otot mengeras
dan ruam. (Sumber – Infosihat.gov.my)
Yang pasti, penulis berharap kita dapat mengelakkan diri daripada
mengunjungi kawasan yang ada air bertakung terutama di kawasan iklim
tropika. Penyakit ini boleh berlaku kepada mereka yang berkerja di
ladang-ladang, sawah, penternakan binatang, di kawasan setinggan, tapak
pembinaan kawasan perumahan di mana kuman itu didapati hidup di tanah
atau air kotor kerana sistem saliran yang kurang memuaskan seperti air
bertakung.
Mereka yang berkunjung di tempat-tempat air kotor seperti air sungai
atau tasik yang tercemar turut berisiko tinggi. Ia juga boleh berleluasa
semasa musim banjir apabila seseorang meredah air banjir yang telah
dicemari dengan kuman Leptospira. Kuman ini memasuki badan seseorang
jika terdapat luka di kaki atau di mana-mana bahagian badan.