Edisi Ngeri! Atlet basikal terpelanting!

Oleh Kaki Wayang on

TENANG...Abdul Aziz diberi rawatan sementara sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya.
“Ketika itu, Mariana berada di kedudukan paling depan. Tiba-tiba sebuah kereta datang dari arah kanan dan merempuhnya hingga dia terpelanting ke atas bumbung kereta sebelum terjatuh ke jalan raya.”
Demikian kata pelumba basikal wanita kebangsaan, Masziyaton Mohd Radzi, 24, ketika menceritakan bagaimana rakan sepasukannya, Mariana Mohamad, 34, dirempuh sebuah Perodua Kancil ketika berlangsung perlumbaan membabitkan 50 pelumba negara di sini, semalam.

Ketika kejadian pada jam 10.30 pagi di simpang empat berhampiran Istana Kehakiman itu, seramai 50 pelumba membabitkan kategori elit, bawah 23 tahun, remaja dan wanita bersaing untuk sesi pemilihan ke Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 pada 8 Februari depan.

Akibat kemalangan itu, Mariana patah tangan kiri, lutut kanannya berlubang, selain bengkak di dagu serta pipi. Selain Mariana, tiga lagi pelumba termasuk Masziyaton turut cedera. Dua pelumba skuad remaja iaitu Mohd Azri Ahmad, 17, dan Abdul Aziz Mohd Zahit, 17, masing-masing patah tangan kanan dan jari manakala Masziyaton hanya cedera ringan.

Masziyaton yang ditemui di Hospital Putrajaya berkata, Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita itu merempuh pelumba selepas lampu isyarat di persimpangan berkenaan bertukar hijau dan dia mungkin tidak menyedari kehadiran polis mengawal perlumbaan yang berlangsung.

Tiga pelumba yang cedera kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya sebelum dibenarkan pulang, namun Mariana dipindahkan ke Hospital Pakar Damansara bagi rawatan lanjut. Sementara itu, jurulatih berbasikal negara, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan berkata, kemalangan itu berlaku ketika perlumbaan yang keseluruhannya membabitkan 10 pusingan baru memasuki pusingan kedua.


Menurutnya, ia sama sekali tidak dijangka kerana segala langkah keselamatan sudah diambil termasuk kehadiran anggota polis bagi mengawal lalu lintas. “Bagi saya, semua ini takdir dan saya yakin ada hikmah di sebaliknya. Saya anggap kejadian ini sebagai ujian sejauh mana tahap kesabaran kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Biarpun sedih dengan apa yang berlaku, beliau turut lega kerana kemalangan itu tidak membabitkan skuad elit lelaki negara yang bakal bersaing di ACC untuk mendapat mata kelayakan ke Sukan Olimpik akan datang dan Le Tour de Langkawi (LTdL) hujung bulan depan. Menurutnya, Mariana sebelum ini turut terbabit dengan kemalangan ketika menyertai Sukan Asia di Guangzhou, China, pada 2010. Dia yang ketika itu berusia 32 tahun patah tulang bahu dan cedera di dagu akibat kemalangan yang dialaminya ketika menyertai acara ujian masa lebuh raya 35.6 kilometer di venue triatlon, Bandar Mega Universiti, China. “Mariana antara pelumba yang berpotensi untuk beraksi di ACC, tapi apa yang berlaku ini kita harus terima. Saya harap semangat Mariana akan ditanam dalam diri semua pelumba wanita untuk berusaha memberikan terbaik buat negara biarpun ditimpa kejadian tidak diingini,” katanya.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd Wahab yang dihubungi pula berharap orang ramai tidak menganggap insiden ini satu kelalaian PKBM kerana pihaknya sudah bekerjasama dengan polis, hospital dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mengawasi pelumba sepanjang perlumbaan pemilihan itu.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...