Remaja bawah umur yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) didakwa mencuri wang RM500 dan sebuah telefon bimbit milik bapanya
di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Tertuduh yang berusia 17 tahun dari Taman Permint Jaya, Chendering,
di sini, mengangguk faham sebelum mengaku bersalah ketika pertuduhan
mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri dalam bangunan
dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri wang RM500 dan sebuah telefon bimbit Motorola L7 milik bapanya, semuanya bernilai RM540 di rumah mereka di Chendering, di sini, antara jam 7.10 hingga 8.30 pagi pada 17 hingga 20 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak bekerja didakwa mengikut
Seksyen 380 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan
denda jika sabit kesalahan.
Noradila menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, mangsa menyimpan wang RM500 dalam sampul dalam
sebuah rak kain di rumahnya pada jam 8 malam, 15 Januari lalu. Apabila
menyedari kehilangan itu pada jam 8.30 pagi pada 20 Januari lalu, dia
mengesyaki ia dicuri tertuduh.