Edisi Hangat! Siapa Aisha Azra Jemal Abdullah?

Oleh Kaki Wayang on


Aisha Azra Jemal Abdullah (tiga dari kiri) bersama saudara Muslim ketika menghadiri kursus lanjutan anjuran MAIS di Pantai Remis, Kuala Selangor.

BERGELAR Muslim, itulah hasratnya sejak di bangku sekolah menengah lagi. Ditambah faktor pergaulan dengan teman-teman sekolah yang majoritinya beragama Islam. Bahkan, nilai-nilai murni yang menjadi amalan masyarakat Islam sekitarnya, menambah keterujaan untuk memeluk Islam.



Sehinggakan laungan azan yang berkumandang, dirasakan bagai memanggil dirinya untuk melakukan syahadah. Demikian gejolak jiwa yang dirasai Lais anak Jemal sebaik dirinya bertekad untuk memeluk agama Islam. Apatah lagi, keinginannya itu diiringi restu ibu tercinta.

Lantaran itu, penantian lebih lima tahun yang berakhir dengan lafaz kalimah syahadah tidak pelik jika diiringi air mata kegembiraan, sekali gus bertukar ke nama Aisha Azra Jemal Abdullah.

"Saya mengenali Islam sejak di tingkatan empat lagi. Dalam kelas Tamadun Islam, Ustazah Syarifah Hendon yang mengajar selalu menceritakan kisah-kisah nabi. Dari situlah minat saya kepada Islam bermula.

"Saya sendiri hairan bagaimana Islam boleh menjadi pilihan kerana saya juga terlibat secara aktif dengan gerakan mubaligh remaja Kristian.

"Selain itu, saya juga jadi suka dengan agama Islam apabila melihat akhlak dan penampilan yang ditunjukkan oleh kawan-kawan yang beragama Islam.

"Mereka ini saya lihat walaupun bertudung tetapi ia bukan kekangan untuk berjaya dalam pelbagai bidang kehidupan," akui wanita dari suku kaum Iban, kelahiran Kuching, Sarawak.

Tambah Aisha, dia juga tertarik dengan Islam kerana mendapati agama tersebut mempunyai kaedah yang menarik dalam menghadapi masalah.

Tiada putus asa atau mencari jalan nekad seperti membunuh diri, kekuatan keimanan dan rasa kebergantungan kepada Allah semata-mata itulah yang kata Aisha tidak ada pada agama lain. Aisha yang mula menjejakkan kaki di Semenanjung Malaysia pada 1999 kerana menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan sains politik. Dia memeluk Islam pada 10 Disember 2002 di Majlis Agama Islam di Kuching, Sarawak dengan ditemani keluarga angkat.

Siapa sangka setahun kemudian, anak bongsu daripada empat adik-beradik ini dipertemukan jodoh dengan lelaki Melayu yang juga berasal dari Sarawak. Mereka melangsungkan pernikahan pada 2003. Pada pertemuan di Pusat Islam, baru-baru ini Aisha yang kini berusia 34 tahun membuat pengakuan dia hilang bimbingan sepanjang tempoh perkahwinannya.

Namun, bergelar ibu tunggal, ibu kepada dua cahaya mata iaitu Syahira Natasha, 8, dan Danial Mustaqim, 7, menganggap dirinya mendapat hidayah kedua. Kedua-dua anak Aisha kini menuntut di sebuah sekolah tahfiz di Jalan Kebun, Klang, Selangor sejak hampir dua tahun.

"Selepas bercerai saya mula bermuhasabah diri. Saya rasa hidup ini ada kekurangan. Ini kerana selama saya bergelar Muslim, saya tidak berpeluang mendalami agama Islam. Apatah lagi bila melihat anak-anak semakin membesar. Sampai bila saya harus Islam sekadar pada nama sahaja.

"Satu lagi yang mendorong saya mendalami ilmu agama adalah pembantu rumah yang banyak memberikan tunjuk ajar terutamanya kepada anak-anak.

"Dialah yang mengajar anak-anak saya mengaji. Dialah pembakar semangat untuk saya hijrah keluar daripada kejahilan," kata Aisha bersyukur.

Kini dia sering mengunjungi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Kata Aisha, selain mengikuti kelas-kelas pengajian pagi dan petang anjuran Jawi dan Perkim dia juga tidak akan melepaskan peluang untuk menghadiri kursus anjuran MAIS. Jelasnya, setelah belajar secara istiqamah barulah dia lebih memahami bahawa ajaran Islam itu benar-benar serta amat selari dengan fitrah manusia.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...