Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza
Tarudin turut berasa sedih dan simpati dengan kematian Nurul Nadirah Abdullah,
5, atau lebih dikenali sebagai Dirang yang dibakar selepas dilaporkan hilang
pada 1 Mac lalu.
Siti berkata, walaupun beliau tidak memiliki
cahaya mata tetapi nalurinya sebagai seorang wanita turut tersentuh memikirkan
perasaan keluarga kanak-kanak malang itu menghadapi ujian yang menimpa apabila
insan tidak berdosa diperlakukan sedemikian rupa.
"Sejak berita kehilangan Dirang tersebar di
akhbar saya sentiasa mengikuti perkembangan berita itu dan amat terkejut
apabila pihak polis mengesahkan mayat yang dijumpai adalah Dirang.
"Ia adalah saat menyedihkan bukan sahaja
saya tetapi seluruh rakyat Malaysia yang memikirkan bagaimana seorang manusia
berakal dapat melakukan perbuatan kejam terhadap kanak-kanak tersebut,"
ujarnya.
Siti ditemui selepas menjadi tetamu segmen Ceria
Pagi di Suria di studio Suria FM di sini pada Khamis bagi mempromosikan
single terbarunya, Remember You yang dimuatkan dalam album Inggeris
pertama milik beliau berjudul All Your Love.
Dalam lagu tersebut Siti turut berduet dengan
penyanyi antarabangsa, Sean Kingston.
Pada 8 Mac lalu, Ketua Polis Daerah Seri Alam
Supt Roslan Zainuddin mengesahkan mayat rentung ditemui di Nusa Damai, dekat
Seri Alam di Johor Bahru adalah Dirang selepas hasil ujian DNA dijalankan
terhadap mayat berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kimia mengesahkannya.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah
Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai kira-kira 1.30 tengah hari Rabu.
Dalam pada itu, Siti berkata, dia berharap pihak
polis dapat menyelesaikan kes berkenaan secepat mungkin supaya pihak berkenaan
dapat didakwa dan diberi hukuman setimpal dengan perbuatannya.
Menurut Siti, perbuatan yang dilakukan terhadap
Dirang adalah cukup kejam dan tidak berperikemanusiaan dan patut diberi hukuman
setimpal.
"Apa yang dilakukan oleh penjenayah itu
kepada Dirang adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima akal dan ia
cukup menyedihkan mengetahui ada manusia sanggup membakar seorang kanak-kanak
yang hanya berusia lima tahun," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Siti berkata, ibu bapa
perlu lebih peka terhadap pergerakan anak-anak mereka dan mengambil kejadian
ngeri itu sebagai pengajaran.
Ibu bapa tidak boleh terlalu mengharapkan pihak
lain menjaga keselamatan anak-anak mereka sebaliknya mereka sendiri perlu
memberi perhatian supaya kejadian serupa tidak berulang.
"Ibu bapa tidak boleh leka dengan membiarkan
anak-anak mereka keluar bersendirian ke tempat awam dan perlu memastikan mereka
mempunyai kawalan daripada orang dewasa jika hendak ke mana-mana. "Ini kerana jika berlaku apa-apa kita tidak
boleh nak menyalahkan orang lain jadi kesedaran pada diri sendiri perlu
ada," katanya.