Untuk renungan bersama ......
Selama hampir sembilan tahun menetap di Mekah sambil
menguruskan jemaah haji dan umrah, saya telah melalui pelbagai pengalaman
menarik dan pelik. Bagaimanapun, dalam banyak-banyak peristiwa itu, ada satu
kejadian yang pasti tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
Ianya berlaku kepada seorang wanita yang berusia di
pertengahan 30-an. Kejadian itu berlaku semasa saya menguruskan satu rombongan
haji. Ketibaan wanita tersebut dan rombongan haji di Lapangan Terbang Jeddah
kami sambut dengan sebuah bas. Semuanya nampak riang sebab itulah kali pertama
mereka mengerjakan haji.
Iklan jap:
Sebaik sampai, saya membawa mereka menaiki bas dan dari
situ, kami menuju ke Madinah. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar
hinggalah kami sampai di Madinah. Tiba di Madinah, semua orang turun dari bas
berkenaan. Turunlah mereka seorang demi seorang sehingga tiba kepada giliran
wanita terbabit.
Tapi tanpa apa-apa sebab, sebaik sahaja kakinya
mencecahkan bumi Madinah, tiba-tiba wanita itu tumbang tidak sedarkan diri.
Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengurus jemaah
itu, saya pun bergegas menuju ke arah wanita berkenaan. "Jemaah ni sakit”
kata saya pada jemaah-jemaah yang lain. Suasana yang tadinya tenang serta merta
bertukar menjadi cemas. Semua jemaah nampak panik
dengan apa yang sedang berlaku.
"Badan dia panas dan menggigil. Jemaah ni tak
sedarkan diri, cepat tolong saya...kita bawa dia ke hospital," kata saya.
Tanpa membuang masa, kami mengangkat wanita tersebut dan
membawanya ke hospital Madinah yang terletak tidak jauh dari situ. Sementara
itu, jemaah yang lain dihantar ke tempat penginapan masing-masing. Sampai di
hospital Madinah, wanita itu masih belum sedarkan diri. Berbagai-bagai usaha
dilakukan oleh doktor untuk memulihkannya, namun semuanya gagal.
Sehinggalah ke petang, wanita itu masih lagi koma. Sementara
itu, tugas mengendalikan jemaah perlu saya teruskan. Saya terpaksa meninggalkan
wanita tersebut terlantar di hospital berkenaan.
Namun dalam kesibukan menguruskan jemaah, saya
menghubungi hospital Madinah untuk mengetahui perkembangan wanita tersebut. Bagaimanapun,
saya diberitahu dia masih tidak sedarkan diri. Selepas dua hari, wanita itu
masih juga tidak sedarkan diri. Saya makin cemas, maklumlah, itu adalah
pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi seperti itu.
Memandangkan usaha untuk memulihkannya semuanya gagal,
maka wanita itu dihantar ke Hospital Abdul Aziz Jeddah untuk mendapatkan rawatan
lanjut sebab pada masa itu hospital di Jeddah lebih lengkap kemudahannya
berbanding hospital Madinah.
Namun usaha untuk memulihkannya masih tidak berhasil.
Jadual haji mesti diteruskan. Kami bertolak pula ke
Mekah untuk mengerjakan ibadat haji. Selesai haji, sekali lagi saya pergi ke
Jeddah. Malangnya, bila sampai di Hospital King
Abdul Aziz, saya diberitahu oleh doktor bahawa wanita tersebut masih koma.
Bagaimanapun, kata doktor, keadaannya stabil. Melihat
keadaannya itu, saya ambil keputusan untuk menunggunya di hospital.
Selepas dua hari menunggu, akhirnya wanita itu membuka
matanya. Dari sudut matanya yang terbuka sedikit itu, dia memandang ke arah
saya.
Tapi sebaik saja terpandang wajah saya, wanita tersebut
terus memeluk saya dengan erat sambil menangis teresak- esak.
Sudah tentu saya terkejut sebab saya ni bukan mahramnya.
Tambahan pula kenapa saja dia tiba-tiba menangis??
Saya bertanya kepada wanita tersebut, "Kenapa Puan
menangis?"
“Ustaz….saya taubat dah Ustaz. Saya menyesal, saya takkan
buat lagi benda-benda yang tak baik. Saya bertaubat, betul-betul taubat."
"Kenapa pulak ni puan tiba-tiba saja nak
bertaubat?" tanya saya masih terpinga-pinga.
Wanita itu terus menangis teresak-esak tanpa menjawab
pertanyaan saya itu.
Seketika kemudian dia bersuara, menceritakan kepada saya
mengapa dia berkelakuan demikian, cerita yang bagi saya perlu diambil iktibar
oleh kita semua.
Katanya, "Ustaz, saya ni sudah berumah tangga,
kahwin dengan lelaki orang putih. Tapi saya silap. Saya ini cuma Islam pada
nama dan keturunan saja.
Ibadat satu apa pun saya tak buat. Saya tak sembahyang,
tak puasa, semua amalan ibadat saya dan suami saya tak buat.
Rumah saya penuh dengan botol arak. Suami saya tu saya
sepak terajang, saya pukul-pukul saja," katanya tersedu-sedan.
"Habis yang puan pergi haji ini?"
"Yalah...saya tengok orang lain pergi haji, saya
pun teringin juga nak pergi."
"Jadi apa sebab yang puan menangis sampai macam ni
sekali. Ada sesuatu ke yang puan alami semasa sakit?" tanya saya lagi.
Dengan suara tersekat-sekat, wanita itu menceritakan,
"Ustaz...Allah itu Maha Besar, Maha Agung, Maha
Kaya. Semasa koma tu, saya telah diazab dengan seksaan yang benar-benar pedih
atas segala kesilapan yang telah saya buat selama ini.
"Betul ke puan?" tanya saya, terkejut.
"Betul Ustaz. Semasa koma itu saya telah
ditunjukkan oleh Allah tentang balasan yang Allah beri kepada saya. Balasan
azab Ustaz, bukan balasan syurga.
Saya rasa seperti diazab di neraka. Saya ni seumur hidup
tak pernah pakai tudung. Sebagai balasan, rambut saya ditarik dengan bara api.
Sakitnya tak boleh nak saya ceritakan macam mana
pedihnya. Menjerit-jerit saya minta ampun minta maaf kepada Allah."
"Bukan itu saja, buah dada saya pula diikat dan
disepit dengan penyepit yang dibuat daripada bara api, kemudian ditarik ke
sana-sini...putus, jatuh ke dalam api neraka.
Buah dada saya rentung terbakar, panasnya bukan main.
Saya menjerit, menangis kesakitan. Saya masukkan tangan ke dalam api itu dan
saya ambil buah dada tu balik."
Tanpa mempedulikan pesakit lain dan jururawat
memerhatikannya wanita itu terus bercerita.
Menurutnya lagi, setiap hari dia diseksa, tanpa henti,
24 jam sehari.
Dia tidak diberi peluang langsung untuk berehat atau
dilepaskan daripada hukuman sepanjang masa koma itu dilaluinya dengan azab yang
amat pedih.
Dengan suara tersekat-sekat, dengan air mata yang makin
banyak bercucuran, wanita itu meneruskan ceritanya,
"Hari-hari saya diseksa. Bila rambut saya ditarik
dengan bara api, sakitnya terasa seperti nak tercabut kulit kepala. Panasnya
pula menyebabkan otak saya terasa seperti menggelegak.
Azab itu cukup pedih...pedih yang amat sangat...tak
boleh nak diceritakan."
Sambil bercerita, wanita itu terus meraung, menangis
teresak-esak. Nyata dia betul-betul menyesal dengan kesilapannya dahulu.
Saya pula terpegun, kaget dan menggigil mendengar
ceritanya.
Begitu sekali balasan Allah kepada umatnya yang ingkar.
"Ustaz...saya ni nama saja Islam, tapi saya minum
arak, saya main judi dan segala macam dosa besar.
Kerana saya suka makan dan minum apa yang diharamkan
Allah, semasa tidak sedarkan diri itu saya telah diberi makan buah-buahan yang
berduri tajam.
Tak ada isi pada buah itu melainkan duri-duri saja, tapi
saya perlu makan buah-buah itu sebab saya betul-betul lapar.
"Bila ditelan saja buah-buah itu, duri-durinya
menikam kerongkong saya dan bila sampai ke perut, ia menikam pula perut saya.
Sedangkan jari yang tercucuk jarum pun terasa sakitnya,
inikan pula duri-duri besar menyucuk kerongkong dan perut kita.
Habis saja buah-buah itu saya makan, saya diberi pula
makan bara-bara api.
Bila saya masukkan saja bara api itu ke dalam mulut,
seluruh badan saya rasa seperti terbakar hangus.
Panasnya cuma Allah saja yang tahu. Api yang ada di
dunia ini tidak akan sama dengan kepanasannya.
Selepas habis bara api, saya minta minuman, tapi...saya
dihidangkan pula dengan minuman yang dibuat dari nanah.
Baunya cukup busuk. Tapi saya terpaksa minum sebab saya
sangat dahaga. Semua terpaksa saya lalui...azabnya tak pernah rasa, tak pernah
saya alami sepanjang saya hidup di dunia ini."
Saya terus mendengar cerita wanita itu dengan tekun.
Terasa sungguh kebesaran Allah.
"Masa diazab itu, saya merayu mohon kepada Allah
supaya berilah saya nyawa sekali lagi, berilah saya peluang untuk hidup sekali
lagi.
Tak berhenti-henti saya memohon. Saya kata saya akan
buktikan bahawa saya tak akan ulangi lagi kesilapan dahulu.
Saya berjanji tak akan ingkar perintah Allah dan akan
jadi umat yg soleh.
Saya berjanji kalau saya dihidupkan semula, saya akan
tampung segala kekurangan dan kesilapan saya dahulu, saya akan mengaji, akan
sembahyang, akan puasa yang selama ini saya tinggalkan."
Saya termenung mendengar cerita wanita itu. Benarlah,
Allah itu Maha Agung dan Maha Berkuasa.
Kita manusia ini tak akan terlepas daripada balasannya.
Kalau baik amalan kita maka baiklah balasan yang akan kita terima, kalau buruk
amalan kita, maka azablah kita di akhirat kelak.
Alhamdulillah, wanita itu telah menyaksikan sendiri kebenaran
Allah.
"Ini bukan mimpi ustaz. Kalau mimpi azabnya takkan
sampai pedih macam tu sekali.
Saya bertaubat Ustaz, saya tak akan ulangi lagi
kesilapan saya dahulu. Saya bertaubat... saya taubat Nasuha," katanya
sambil menangis-nangis.
Sejak itu wanita berkenaan benar-benar berubah. Bila
saya membawanya ke Mekah, dia menjadi jemaah yang paling warak.
Amal ibadahnya tak henti-henti. Contohnya, kalau wanita
itu pergi ke masjid pada waktu maghrib, dia cuma akan balik ke biliknya semula
selepas sembahyang subuh.
"Puan...yang puan sembahyang teruk-teruk ni kenapa.
Puan kena jaga juga kesihatan diri puan. Lepas sembahyang Isyak tu puan
baliklah, makan nasi ke, berehat ke..." tegur saya.
"Tak apalah Ustaz. saya ada bawa buah kurma.
Bolehlah saya makan semasa saya lapar."
Menurut wanita itu, sepanjang berada di dalam Masjidil
Haram, dia mengqadakan semula sembahyang yang ditinggalkannya dahulu. Selain itu dia berdoa, mohon kepada Allah supaya
mengampunkan dosanya. Saya kasihan melihatkan keadaan wanita itu, takut kerana
ibadah dan tekanan perasaan yang keterlaluan dia akan jatuh sakit pula.
Jadi saya menasihatkan supaya tidak beribadat
keterlaluan hingga mengabaikan kesihatannya.
"Tak boleh Ustaz. Saya takut...saya dah merasai
pedihnya azab tuhan. Ustaz tak rasa, Ustaz tak tau. Kalau Ustaz dah merasai
azab itu, Ustaz juga akan jadi macam saya. Saya betul- betul bertaubat."
Wanita itu juga berpesan kepada saya, katanya,
"Ustaz, kalau ada perempuan Islam yang tak pakai tudung, Ustaz ingatkanlah
pada mereka, pakailah tudung.
Cukuplah saya seorang saja yang merasai seksaan itu,
saya tak mau wanita lain pula jadi macam saya.
Semasa diazab, saya tengok undang-undang yang Allah beri
ialah setiap sehelai rambut wanita Islam yang sengaja diperlihatkan kepada orang
lelaki yang bukan mahramnya, maka dia diberikan satu dosa. Kalau 10 orang lelaki bukan mahram tengok sehelai rambut
saya ini, bermakna saya mendapat 10 dosa."
"Tapi Ustaz, rambut saya ini banyak jumlahnya,
beribu-ribu. Kalau seorang tengok rambut saya, ini bermakna beribu-ribu dosa
yang saya dapat.
Kalau 10 orang tengok, macam mana? Kalau 100 orang
tengok? Itu sehari, kalau hari-hari kita tak pakai tudung macam saya ni???
Allah..."
"Saya berazam, balik saja dari haji ini, saya akan
minta tolong dari ustaz supaya ajar suami saya sembahyang, puasa, mengaji, buat
ibadat.
Saya nak ajak suami pergi haji. Seperti mana saya, suami
saya tu Islam pada nama saja. Tapi itu semua kesilapan saya.
Saya sudah bawa dia masuk Islam, tapi saya tak bimbing
dia. Bukan itu saja, saya pula yang jadi seperti orang bukan Islam."
Sejak balik dari haji itu, saya tak dengar lagi apa-apa
cerita tentang wanita tersebut. Bagaimanapun, saya percaya dia sudah menjadi wanita yang
benar-benar solehah. Adakah dia berbohong kepada saya tentang ceritanya diazab
semasa koma?
Tidak. Saya percaya dia bercakap benar. Jika dia
berbohong, kenapa dia berubah dan bertaubat Nasuha? Satu lagi, cubalah bandingkan azab yang diterimanya itu
dengan azab yang digambarkan oleh Allah dan Nabi dalam Al-Quran dan hadith.
Adakah ia bercanggah?
Benar, apa yang berlaku itu memang kita tidak dapat
membuktikannya secara saintifik, tapi bukankah soal dosa dan pahala, syurga dan
neraka itu perkara ghaib?
Janganlah bila kita sudah meninggal dunia, bila kita sudah
diazab barulah kita mahu percaya bahawa "Oh... memang betul apa yang Allah
dan Rasul katakan. Aku menyesal..." Itu dah terlambat.
REBUTLAH 5 PELUANG INI SEBELUM TIBA 5 RINTANGAN
WAKTU KAYA SEBELUM MISKIN, WAKTU SENANG SEBELUM SIBUK,
WAKTU SIHAT SEBELUM SAKIT, WAKTU MUDA SEBELUM TUA DAN WAKTU HIDUP SEBELUM MATI
" SAMPAIKANLAH PESANKU BIARPUN SATU AYAT...."