Di Pusat Akuatik Jakabaring di sini, Cai Lin menggondol pingat perak dengan catatan masa empat minit 16.54 saat, sekali gus mengatasi masa kelayakan Sukan Olimpik kategori B iaitu 4:18.75s.
Ini merupakan aksi kali kedua bagi perenang berusia 23 tahun itu pada temasya Sukan Olimpik selepas mengambil dalam acara 400m dan 800m gaya bebas pada Sukan Olimpik Beijing pada 2008.
"Saya bangga dengan keputusan ini dan inilah yang saya inginkan," katanya.
Sebelum ini, Cai Lin sudah layak ke Sukan Olimpik London dalam acara 800m gaya bebas di bawah kategori B apabila mencatatkan masa 8:49.28s pada Kejohanan Terbuka Malaysia ke-54 pada Mei lalu.
Catatan masa itu telah mengatasi masa kelayakan kategori B iaitu 8:51.82s. Mengenai pencapaian pingat perak di sini, Cai Lin berkata beliau bangga kerana rekod Sukan SEA yang dipegangnya iaitu 4:10.75s yang dicipta pada edisi lepas di Laos pada 2009 masih kekal.
Selain Cai Lin, skuad renang wanita negara turut menyumbang sebutir lagi pingat perak menerusi Chan Kah Yan dalam acara 50m kuak lentang.
Beliau mencatatkan masa 29.55s, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan yang diciptanya iaitu 29.70s. Pingat emas acara itu dimenangi oleh perenang Singapura Shana Lim dengan masa 29.37s manakala perenang Filipina, Dorothy Grace Hong, membawa pulang pingat gangsa dengan catatan masa 29.96s.
Dalam pada itu, skuad lelaki 4x400m gaya bebas - Foo Jian Beng, Kevin Yeap, Vernon Lee dan Lim Ching Hwang - dibatalkan penyertaan selepas memulakan pertandingan lebih awal daripada isyarat lepas.