Tragedi berdarah pada 12 Ramadan tahun lalu turut mencederakan seorang lagi rakannya, Mazlan Abdullah, 30, yang cedera di mata, muka dan badan selepas stok mercun dan bunga api di rumah tinggal itu meletup sehingga dentumannya boleh didengari sejauh empat kilometer.
Mohd Asrizan yang lebih dikenali sebagai Botak di kalangan penduduk kampung berkata, Ramadan kali ini mengingatkannya dengan kejadian itu yang menyebabkannya koma tiga bulan dan terlantar di hospital, sehingga lehernya ditebuk untuk membolehkannya bernafas kerana keadaannya kritikal ketika itu.
"Selepas sedar daripada koma, saya sedih melihat kaki kanan kudung. Hanya Allah tahu pilunya perasaan saya melihat kaki kanan dipotong bermula dari bawah lutut, selain cedera teruk di kaki kiri. Saya kini, terpaksa menggunakan kaki palsu manakala kaki kiri pula sakit dan tidak boleh berdiri lama kerana buku lali beralih ke tapak kaki. "Saya bagaikan mati hidup semula. Walaupun kesal, ia tidak mampu mengubah masa lalu dan berharap, ia menjadi pengajaran kepada orang lain kerana selagi tidak kena, kita tidak serik.
"Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, pasti ramai menjual dan bermain mercun kononnya memeriahkan perayaan tetapi perlu beringat kerana menyesal kemudian tidak berguna," katanya ditemui di Kampung Seberang Baruh di sini.
Beliau kini banyak membantu ibunya menjahit di rumah sebagai punca pendapatan, selain berbasikal mengelilingi kampung untuk membiasakan pergerakan kakinya.