SERAMAI 2.8 juta penonton di Malaysia terpaku di depan kaca
televisyen menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea yang
menemukan Malaysia dan Indonesia. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar
Musa berkata, daripada jumlah itu, 1.4 juta menonton menerusi saluran
televisyen berbayar Astro Arena, 1.1 juta menerusi stesen swasta TV3 dan
300,000 melalui TV1 Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).
“Jumlah
ini menunjukkan bola sepak kembali menarik minat penonton di Malaysia,”
katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011,
semalam.
Annuar berkata, kejayaan skuad kebangsaan dan Harimau Muda bermula 2009, jumlah kehadiran penonton di stadium turut meningkat.
Beliau
berkata, bagi musim 2011, jualan tiket bagi perlawanan Liga Malaysia
naik 14.8 peratus berbanding 1.3 juta keping tiket yang dijual pada
musim 2010.
“Berbanding 1.3 juta pada 2010, sebanyak 1.5 juta tiket dijual pada musim 2011,” katanya. Beliau berkata, perlawanan akhir Piala FA antara Terengganu dan
Kelantan disaksikan sejuta penonton manakala final Piala Malaysia antara
Negeri Sembilan dan Terengganu disaksikan 1.7 juta penonton.
Annuar
berkata, minat penonton kembali ke stadium dan menonton televisyen
adalah berdasarkan rentetan kejayaan skuad kebangsaan dan Harimau Muda
bermula dengan meraih emas Sukan Sea di Vientiane, Laos pada 2009,
menjuarai kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pada 2010
dan mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Indonesia, baru-baru ini.