“Kering air mata kerana menangis, tiada apa yang boleh dilakukan
kerana anak tersayang pergi selama-lamanya,” kata Cassindra Gelungan,
24, selepas bayi perempuannya, Angel Cassandra yang berusia enam hari
meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di Hospital Sultanah
Aminah (HSA), di sini, kelmarin.
Lebih menyayat hati, Angel yang meninggal dunia tepat jam 4.20
petang di unit rawatan rapi (ICU) HSA baru beberapa jam diberikan nama. Menurut Cassindra, hatinya luluh setiap kali melihat pakaian serta
kelengkapan disiapkan untuk menyambut anak sulung itu yang langsung
tidak disentuh berikutan pemergian Angel.
Yang membuatkan dia lebih terkilan, kejadian itu didakwa berlaku
akibat kelalaian kakitangan HSA yang diamanahkan menjaga Angel.
“Saya melahirkan Angel ketika usia kandungan hanya lapan bulan pada
jam 7.49 pagi, 4 Februari lalu di HSA dengan berat 1.85 kilogram. “Bagaimanapun, saya tidak dibenarkan membawanya pulang berikutan Angel mengalami demam kuning tapi tidak serius,” katanya.
Menurut Cassindra yang berasal dari Gelang Patah, dia akur dengan
arahan itu dan dijanjikan boleh membawa bayinya pulang pada 7 Februari. Bagaimanapun, katanya, ia sekali lagi ditangguh pada keesokan hari berikutan Angel belum pulih sepenuhnya akibat demam kuning.
“Saya datang semula ke HSA, Rabu lalu dan terkejut mendapati Angel
tidak bertindak balas ketika saya memegang kakinya dan pada masa sama
ada kesan susu kering pada bibir dan mulutnya sebelum memaklumkan
kejadian itu kepada pihak hospital.
“Saya memang kecewa,
kami faham petugas perlu jaga ramai lagi bayi lain tetapi pada masa
sama, mereka boleh melakukan pemeriksaan sekali lalu. “Jika
ada yang tidak kena, pasti mereka boleh segera mengambil tindakan. Ini
tidak, saya yang datang dari rumah terlebih dulu mengesan kejadian itu,”
katanya.
Cassindra turut mendakwa, kakitangan HSA
menyusukan bayi mereka menggunakan gelas kecil dan ia dipercayai punca
Angel tersedak. Selain itu, Cassindra mendakwa, bayinya
tidak ditempatkan di dalam inkubator walaupun dilahirkan tidak cukup
bulan, malah Angel hanya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas
kejadian terbabit. Sementara itu, bapa Angel, Jacbelin
Jemmy, 23, berkata dia kecewa apabila kakitangan HSA gagal memberikan
sebab terperinci bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Jacbelin yang bertugas sebagai jurukimpal berkata, dia tidak
mengharapkan pampasan tinggi, sebaliknya mahukan keadilan supaya perkara
sama tidak menimpa pasangan lain.
“Nilai nyawa manusia
tidak boleh disamakan dengan wang ringgit, yang pergi tidak akan
kembali, tetapi kami harap perkara ini tidak berulang. Cukuplah hanya
kami yang merasai kesedihan akibat kehilangan insan tersayang.
“Kami juga bercadang mengambil tindakan undang-undang tetapi buat masa
sekarang, kami perlu menguruskan soal pengebumian anak,” katanya.
Mayat Angel disempurnakan di Tanah Perkuburan Selesa Jaya, pagi
semalam. Jacbelin turut membuat laporan berkaitan kejadian di Balai
Polis Sentral Khamis lalu, untuk tindakan selanjutnya.