JAMBATAN Story yang merintasi Sungai Brisbane menjadi tempat Lees mencampak anaknya sebelum dia sendiri membunuh diri, semalam.
Pengetua sekolah itu, Jonathan Hensman, berkata Lees seorang guru dihormati dan disayangi.
Sementara itu, jurucakap polis Queensland berkata, Lees menunggang basikal dan memasuki laluan pejalan kaki di sisi jambatan berkenaan pada awal pagi. Lees kemudian mencampak anaknya melepasi palang keselamatan jambatan.
Kejadian itu sama dengan insiden pada 2009 apabila Arthur Freeman, 37, mencampak anak perempuannya - berusia empat tahun - dari Jambatan Westgate di Melbourne. Bagaimanapun, Freeman tidak membunuh diri, sebaliknya menyerah diri kepada polis sebelum dihukum penjara seumur hidup. Saksi berkata, Lees membunuh diri kira-kira jam 3.30 pagi. Katanya, orang awam menghubungi polis dan pasukan keselamatan berkejar ke tempat kejadian.
“Tetapi tiada apa yang dapat dilakukan terhadap Lees atau anaknya,” katanya.
Difahamkan, Lees berasal dari Kanada. Polis yakin bayi malang itu tidak terbabit dalam pertikaian hak penjagaan kerana siasatan mendapati, keluarga Lees hidup bahagia sebelum ini. Ia berbeza seperti insiden membabitkan Freeman. Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif kejadian.