Seorang lelaki Itali semalam mencampak anak lelakinya berusia 16
bulan ke dalam sungai dari jambatan di bandar raya ini ekoran perebutan
hak jagaan sebelum ditahan polis ketika melarikan diri, lapor media.
Bapa berusia 26 tahun itu mengaku kepada polis dia mencampakkan anak
lelakinya ke dalam air beku Sungai Tiber selepas bertengkar dengan ibu
bayi terbabit.
Dia dilihat melakukan perbuatan itu oleh pegawai penjara yang lalu di situ. Pegawai itu berkata, lelaki berkenaan kelihatan tertekan dan menjerit sebelum mencampakkan bayi malang itu ke dalam sungai. Lelaki yang menganggur dan mempunyai rekod jenayah dadah itu cuba melarikan diri tetapi ditahan polis sejurus selepas itu. Penyelam daripada jabatan bomba melakukan operasi mencari bayi terbabit di sungai itu tetapi usaha mereka terhalang akibat arus deras dan keadaan cuaca buruk.
“Kami masih mencari dan akan terus mencari sedaya yang mampu, tetapi
salji dan hujan yang turun menyebabkan air sungai melimpah dan
menyukarkan usaha mencari,” kata jurucakap Jabatan Bomba Rome.
Timbalan
Datuk Bandar Rome, Sveva Belvisio berkata, tragedi itu adalah kisah
yang mengejut dan memilukan. Ia adalah satu perbuatan kejam,” katanya.