Edisi Agama! Jom Belajar Tentang Tayamum!

Oleh Kaki Wayang on


Tayamum  pada bahasa adalah qasad yang bermaksud sengaja atau tuju. Manakala dari segi istilah syarak pula ialah menyampaikan tanah yang suci ke muka dan kedua tangan sebagai pengganti kepada wuduk dengan niat atau cara tertentu. Firman Allah SWT:
 
“Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih, iaitu sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu.” (Al-Maidah : 6)


Waktu Yang Diharuskan Tayamum
  1. Apabila seseorang tidak mampu menggunakan air kerana mengalami kecederaan dan bimbang kecederaan itu bertambah sakit atau lambat sembuh. 
  2. Air yang ada hanya cukup untuk dijadikan minuman bagi dirinya atau keluarganya pada masa itu dan masa akan datang. 
  3. Seseorang yang takut kepada musuh yang terdiri dari manusia atau binatang buas yang boleh mengancam nyawanya semasa dia pergi untuk  mencari air. 
  4. Air yang ada hanya cukup untuk minuman haiwan peliharaannya sahaja seperti kambing, kuda atau lembu. 
  5. Bekalan air hanya cukup untuk digunakan pada masakan sahaja seperti menguli tepung atau memasak nasi. 
  6. Air hanya cukup digunakan untuk membasuh najis yang tidak dimaafkan seperti air kencing atau tahi.  
  7. Seseorang yang berada di negara yang mengalami kesejukan secara luar biasa dan bimbang akan berlaku musibah pada dirinya jika ia menggunakan air pada waktu tersebut. 
  8. Air terlalu jauh darinya melebihi jarak 2 ½ km dan tidak wajib baginya berusaha mendapatkan air tersebut.
Syarat-syarat Tayamum
  1. Mengetahui terlebih dahulu masuknya waktu solat.   
  2. Mencari air dahulu selepas masuk waktu solat.
  3. Menghilangkan najis terlebih dahulu sebelum tayamum.
  4. Tanah yang suci lagi menyucikan dan tidak bercampur dengan tepung atau simen.
  5. Berijtihad menentukan arah kiblat dahulu sebelum tayamum.
Rukun Tayamum

  1. Niat tayamum “Sahaja aku tayamum kerana mengharuskan fardu solat”. 
  2. Meletakkan kedua tapak tangan ke atas tanah yang suci yang mempunyai debu, kemudian menyapu ke seluruh bahagian mukanya. 
  3. Meletakkan tangan ke atas tanah debu di bahagian yang belum disentuh, sapukan kedua tangan hingga ke siku seperti tangan kiri menyapu tangan kanan dan tangan kanan menyapu tangan kiri. 
  4. Tertib (teratur) sebagaimana yang telah disebutkan di atas. Tayamum adalah ganti kepada wuduk dan tertib juga adalah sebahagian dari rukun tayamum sepertimana terdapat pada wuduk.
Sunat Tayamum
  1. Sunat pada tayamum adalah semua perkara yang disunatkan ketika melakukan wuduk  seperti membaca bismillah, menyapu bahagian atas pada muka atau mendahulukan anggota kanan dari anggota kiri.
  2. Membuka atau merenggangkan jari-jari tangan semasa menepuk tanah agar debu dapat sampai ke seluruh bahagian tapak tangan atau jari. Ini bertujuan untuk mengenakan tanah debu ke seluruh anggota tayamum.
  3. Mengetuk tangan selepas menepuk tanah debu agar tanah yang berlebihan dapat dikurangkan dan ini merupakan perbuatan Rasulullah SAW.
Perkara yang membatalkan Tayamum

  1. Segala perkara yang membatalkan wuduk.
  2. Ada air atau memperoleh air sebelum memulakan solat.
  3. Orang yang uzur mampu menggunakan air.
  4. Murtad.
Cara Bertayamum
Diwajibkan bagi seseorang berniat terlebih dahulu semasa hendak melakukan tayamum. Kemudian hendaklah dia membaca bismillah dan meletakkan kedua tapak tangan ke atas tanah debu dan menyapukannya ke seluruh bahagian mukanya. Setelah itu diletakkan semula tangannya ke tanah debu dan disapu pada kedua tangannya hingga ke siku. Hal ini juga telah dibicarakan pada perbahasan di atas.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...