SOALAN
SAYA seorang gadis yang berusia 18 tahun. Saya mempunyai satu masalah yang amat mengganggu hidup saya iaitu langsung tidak terangsang. Saya pernah terbaca mengenai mati putik, adakah ia ada kaitan dengan mati putik?
Untuk pengetahuan, saya pernah cuba melakukan onani dan menonton
video lucah tetapi saya langsung tidak terangsang. Saya bimbang ia akan
mempengaruhi kehidupan saya selepas berumah tangga kelak. Saya juga
sering mengalami senggugut teruk. Ibu saudara saya mencadangkan
mengambil pil perancang. Adakah ia memberikan kesan sampingan?
* Yang tak mampu,
Terengganu
JAWAPAN
Tidak pelik jika saudari tidak mengetahui apakah sebenarnya 'mati
putik'. Saya amat yakin hanya segelintir sahaja yang mengetahuinya.
Mungkin juga perkataan ini baharu pertama kali didengari oleh segolongan
masyarakat kita. 'Mati putik' ini adalah sama dengan 'mati pucuk' yang
dialami oleh lelaki. 'Mati putik' atau disfungsi seksual wanita bakal
menjadi mimpi ngeri buat segolongan wanita kita. Apatah lagi apabila
mereka mula menunjukkan tanda-tanda kelewatan mengalami klimaks serta
gagal untuk menghayati rangsangan seks ketika bersama suami. Bermakna
seseorang wanita tidak mempunyai perasaan ghairah. 'Mati putik'
disebabkan gangguan urat saraf dalam pengaliran darah ke faraj terutama
kelentit menyebabkan ia tidak menegang. Walaupun dirangsang, ia tetap
kendur dan tiada rasa ghairah menyebabkan wanita itu sukar mengalami
klimaks dan kurang berminat pada hubungan seks.
Jangan malu
Saudari tidak perlu gusar kerana tidak memerlukan apa-apa rawatan
bagi masalah ini selagi belum berumah tangga. Tak usah malu jika saudari
tidak terangsang. Belum sampai masanya untuk anda mudah terangsang atau
didiagnosis dengan masalah ini. Perkara utama yang saudari perlu ambil
berat adalah memberi sepenuh tumpuan kepada pelajaran. Ini yang akan
menjamin masa depan saudari. Elakkan diri daripada melihat video lucah
atau melakukan onani yang boleh memburukkan lagi keadaan ini. Salah satu
punca wanita mengalami 'mati putik' adalah terlalu kerap melakukan
onani semasa muda. Wanita yang gemar beronani akan mudah merasa letih
dan tidak bertenaga serta tertekan dengan persekitaran apabila tidak
mendapat kepuasan yang dihajati. Rawatan bagi masalah 'mati putik' yang
saudari alami akan doktor berikan setelah saudari berkahwin nanti.
Senggugut
Berbalik kepada masalah senggugut yang saudari alami. Masalah ini
tidak ada kaitan langsung dengan 'mati putik'. Setiap bulan wanita akan
mengalami satu kitaran haid yang normal selama 28 hari hingga 35 hari.
Haid tersebut biasanya berlangsung selama seminggu. Kesakitan yang
dialami semasa haid dipanggil senggugut atau 'dysmenorrhea'.
Senggugut sering menyerang wanita pada hari pertama dan kedua haid. Ia
turut menjadi petanda penting supaya wanita yang mengalaminya menjalani
pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan endometriosis atau penyakit
inflamasi pada bahagian pelvik.
Bagi mengurangkan senggugut, saudari boleh mengambil ubat penahan
sakit yang boleh dibeli di farmasi. Pil perancang juga diguna untuk
mengurangkan senggugut dan meregulasikan kitaran haid untuk mereka yang
haidnya tidak teratur atau mengalami pendarahan yang banyak. Jika
masalah senggugut masih tidak keruan dengan ubat penahan sakit maka,
saudari perlu diperiksa dengan teliti untuk mendapat diagnosis yang
tepat. Dengan itu rawatan yang sewajarnya dapat diberikan secepat
mungkin.