SAMER KHAN lelaki Pakistan yang didakwa membawa lari Nurul Zakiah pada 14 Februari lalu.
Remaja hilang yang didakwa terkena ilmu pengasih Pakistan, Nurul
Zakiah Hidayah Azman, 17, telah menghubungi keluarganya kelmarin untuk
menegaskan bahawa dia melarikan diri kerana ingin hidup berdikari.
Perkara itu disahkan oleh bapanya, Azman Saad, 51, yang turut
memberitahu, Nurul Zakiah telah menghubunginya kira-kira pukul 8.30
malam kelmarin untuk menyatakan perkara tersebut kepadanya.
Selain itu, dia memberitahu, anaknya itu turut merayu agar dia
menarik semula laporan polis yang telah dibuat berkenaan kehilangannya
sejak 14 Februari lalu.
"Dia menceritakan bahawa dia tidak lagi bersama dengan kekasihnya itu
dan dia kini berhasrat untuk bekerja dan hidup sendiri," katanya kepada
Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan tentang ahli keluarga Nurul Zakiah yang
merayu agar dia pulang selepas disyaki lari dari rumah kerana mengikut
Samer Khan atau nama sebenarnya, Arsad Mohd., 20-an apabila cinta mereka
mendapat tentangan keluarga.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting,
Kuala Langat itu dikatakan telah terkena ilmu pengasih lelaki Pakistan
tersebut hingga menyebabkan dia mula berbohong dan melawan cakap orang
tua.
Mengulas lanjut, menurut Azman, walaupun hanya berbual selama
seminit, dia berjaya mendapatkan nombor telefon bimbit baharu anaknya.