Edisi Informasi! Bertindik Telinga, Lidah dan Pusat!

Oleh Kaki Wayang on


Hukum asal bagi perhiasan sama ada yang berada pada tubuh badan, pakaian atau tempat tinggal adalah halal dan dibenarkan. Ini berdasarkan kepada dalil-dalil yang menyatakan tentang nikmat kurniaan Allah kepada hamba-hambaNya. Dalam surah al-Baqarah ayat 29 :
“(maksudnya): Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu apa yang ada di bumi kesemuanya”
Antara salah satu contoh perhiasan yang diamalkan ialah menindik anggota badan dengan meletakkan barang perhiasan, samada berbentuk emas, perak berlian dan sebagainya.

Amalan bertindik merupakan satu amalan yang mula menjadi trend remaja masakini. Kebiasaan masyarakat Melayu di Malaysia sejak dahulu mengenali amalan bertindik ini hanya terbatas di bahagian telinga. Namun, masa merubah segala dengan perkembangan teknologi dan pengaruh budaya luar membuatkan semakin ramai yang bertindik di bahagian selain dari telinga, seperti di pusat, lidah, bibir dan kening. Malah ianya sudah mula melarat kepada golongan lelaki.

Sebenarnya perbuatan bertindik ini merupakan suatu amalan yang sudah dikenali pada zaman Rasulullah SAW. Ini dapat dilihat pada hadis riwayat al-Bukhari daripada Ibn Abbas katanya :
Pada suatu hari raya, selepas baginda Nabi SAW solat dan berkhutbah, Baginda SAW pergi menuju ke kawasan perempuan dan memberi tazkirah khas kepada golongan wanita. Sambil Baginda SAW menyeru supaya mereka semua bersedekah. Ibn Abbas mengatakan bahawa : Aku melihat mereka mengisyaratkan kepada telinga-telinga mereka dan leher mereka. Lalu menyerahkan ( barang perhiasan mereka ) kepada Bilal RA.
Di dalam hadis berkenaan, isyarat yang diberikan oleh wanita-wanita (sahabiyyah ) berkenaan adalah anting-anting. Ianya merupakan perhiasan yang sudah diketahui umum merupakan perhiasan sejak dari zaman awal Islam. Dan perhiasan ini merupakan perhiasan khusus kepada golongan wanita.

Disebabkan itulah golongan lelaki dilarang dari menindik telinga mereka kerana ianya dengan jelas menyalahi kebiasaan perhiasan bagi lelaki. Kerana anting-anting itu sudah menjadi perhiasan khusus kepada wanita. Penyerupaan lelaki dengan mengenakan perhiasan wanita adalah suatu yang dilarang di dalam Islam. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW riwayat al-Bukhari dari Ibnu Abbas mengatakan: “Nabi SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” Pendapat ini juga disokong oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitab karangan beliau Tuhfatul Muhtaj yang mana beliau mengharuskan tindik itu bagi perempuan dan haram bagi lelaki.

Begitu juga pandangan ulama kontemporari seperti Dr Mustafa al-Khin dan Dr Mustafa al-Bugha dalam kitab mereka Fiqh Manhaji ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafie’, yang meletakkan contoh khusus perbuatan lelaki menyerupai wanita adalah dengan mengenakan anting-anting di telinga.

Itu permasalahan menindik telinga. Bagaimana pula dengan keadaan orang yang menindik di kawasan selain telinga? Boleh atau tidak.

Perbuatan menindik selain dari kawasan telinga tidak pernah didengari pada zaman Nabi dan Salafussaleh. Namun ianya bukanlah jawapan yang menunjukkan keharusan amalan ini. Walaupun ianya tidak dibincangkan secara khusus didalam nas yang jelas, namun perkembangan fiqh Islam tetap berkembang dalam menjawab setiap persoalan baru yang timbul hasil ijtihad para ulama semasa.

Islam mendatangkan kaedah umum dalam etika berhias. Antaranya ialah, perhiasan yang dikenakan oleh mana Muslim mestilah tidak digambarkan seolah-olah ianya meniru atau menyerupai orang kafir atau golongan fasiq.
Dalil bagi syarat ini ialah sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
“Sesiapa yang menyerupai suatu golongan itu, maka ia tergolong dari golongan tersebut”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar r.a.)
Menurut Imam Ibnu Kathir, hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam).
Ia bukan sahaja mengkhususkan kepada penyerupaan dengan orang kafir sahaja. Namun termasuk juga disini dalam meniru perbuatan orang yang fasiq (iaitu orang yang biasa dalam melakukan maksiat). Jelasnya disini, amalan bertindik selain anggota telinga ini merupakan amalan yang diambil bukan daripada golongan para solehin. Apatah lagi ianya hasil dari ikutan budaya negatif remaja di barat yang jelas jauh dari adat budaya tatasusila seorang Muslim.

Islam melarang kita untuk meniru kebiasaan dan gaya hidup tertentu yang dilakukan oleh orang lain tanpa membawa manfaat yang jelas. Apatah lagi ianya menyeksa diri dan juga dibuktikan boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan tubuh badan dan mampu mendekatkan si pelaku dengan jangkitan Hepatitis B (rujuk ; http://www.bphealthcare.com, 2 Mac 2007 )

Sebenarnya permasalahan ini sudahpun dijawab dalam Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, terbitan Bahagian Pengurusan Fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Cetakan Pertama 2009, hal. 51, dengan menyatakan bahawa : “Perbuatan berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain daripada cuping telinga adalah dilarang oleh Islam.

Apapun di sini, etika berhias yang terbaik adalah pakaian taqwa. Semoga dengan mengikut suri teladan terbaik iaitu baginda Nabi SAW, maka membuatkan kita terselamat dari segala kecintaan melebihi dari cinta kepada Baginda.

Sumber: http://www.imamudasyraf.com/

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
2 Comments

{ 2 Komen Membina!... read them below or add one }

Cikrosecute said...

seramnya tengok...

Kaki Wayang said...

Tau takpe...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...