Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron (gambar) menafikan laporan media
yang beliau ditangkap khalwat bersama isteri orang di Hotel Swiss
Garden, Kuantan awal pagi semalam.
Malah beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Agama
Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohd. Ghazali Abdul Aziz yang mengesahkan
tangkapan khalwat itu sebagai tidak benar serta menyifatkan kejadian
tersebut sebagai satu tindakan terancang untuk memerangkap dan
mengaibkan beliau.
Pengarah Komunikasi Pejabat Menteri Besar Selangor itu mendakwa,
beliau hanya ditahan oleh pegawai JAIP untuk membantu siasatan selepas
hampir 20 minit dipukul dan dikurung dalam bilik hotel oleh sekumpulan
lelaki yang diketuai oleh suami wanita berkenaan.
Menurut Badrulamin, beliau membantu wanita tersebut mendapatkan bilik
penginapan di hotel itu atas rasa tanggungjawab selepas melihat wanita
berkenaan yang didakwanya menghadapi masalah rumah tangga, datang
menemuinya pada pukul 2 pagi bersama anak yang masih kecil.
"Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa saya
ditangkap khalwat oleh pegawai JAIP. Saya ke Kuantan untuk menghadiri
Temurapat Pemimpin PKR pada 24 hingga 26 Februari dan saya mengambil
peranan aktif dalam majlis itu.
"Pada petang 24 Februari, wanita tersebut menghubungi saya dengan
nada cemas dan menyatakan hasrat untuk melarikan diri dari rumah kerana
bimbang keselamatan diri. Saya dengan tegas menasihatkan supaya jangan
berbuat demikian.
"Bagaimanapun pada pukul 2 pagi 25 Februari, beliau menghubungi saya
memaklumkan berada di lokasi Temurapat Pemimpin PKR dan atas rasa
tanggungjawab, saya membantu mendapatkan bilik penginapan," katanya
dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Badrulamin memberitahu, beliau mengenali pasangan
suami isteri tersebut sejak lebih setahun lalu, semasa wanita berkenaan
bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah dan sejak itu, sering
berhubung kerana mereka menghadapi masalah rumah tangga.
Jelasnya, dalam usaha membantu pasangan tersebut, beliau dan isteri pernah menziarahi keluarga itu di Rompin, Pahang.
"Saya berharap dengan penjelasan ini, semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya,'' katanya.
Menurut Badrulamin, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadapnya.