Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr.
Badrulamin Bahron memberi keterangan mengenai dakwaan kes khalwatnya
dengan seorang wanita berstatus isteri orang selama dua jam setengah
di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini semalam.
Beliau dilihat tiba di pekarangan bangunan JAIP dengan menaiki
kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam pada pukul 2.40 petang dengan
ditemani isteri pertamanya, Zumrah Husni serta tiga peguam iaitu Mohamad
Sazali Abdul Aziz, Muhamad Irfan Abdullah dan Ahmad Nizam Abd. Hamid.
Soal siasat dikatakan bermula pada pukul 2.50 petang dan berakhir pada pukul 5.25 petang.
Dr. Badrulamin yang berbaju-T putih, memakai jaket hitam serta
kopiah dilihat tenang dan sempat melambai tangan kepada para pemberita
yang menunggu kehadiran beliau sejak pukul 8 pagi di pekarangan bangunan
JAIP.
Turut hadir ialah wanita berumur 28 tahun yang didakwa berkhalwat dengan Dr. Badrulamin. Wanita yang merupakan isteri orang itu tiba pada pukul 3.05 petang dan selesai memberi keterangan pada pukul 6.20 petang.
Kedua-dua mereka memberi keterangan secara berasingan bagi membantu
siasatan selepas didakwa berkhalwat di sebuah hotel di Balok di sini
dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi Sabtu lalu.
Ketua peguam yang mewakili Dr. Badrulamin dan wanita itu, Mohamad
Sazali berkata, pihaknya berpuas hati dengan proses siasatan tersebut.
“Kita sudah beri kerjasama penuh dan yakin sejak dua tiga hari lalu,
isu ini digembar-gembur oleh media adalah lebih kepada fitnah dan
spekulasi.