Soalan:
Ustaz... saya hanya hendak menanyakan satu soalan : dulu
saya kerap sembahyang tiba saya rasa sembahyang itu leceh. Sudah banyak kali
saya berjanji pada diri saya untuk sembahyang tanpa meninggalkan dengan sengaja
tetapi saya tetap ulang tabiat lama. Tetapi kali ini saya rasa saya betul-betul
hendak bertaubat tetapi saya tidak tahu sama ada Allah terima atau tidak taubat
saya. Apa cadangan ustaz atau saranan ustaz?
Jawapan:
Soal ibadah atau mengerjakan perkara yang makruf ini bukan
perkara yang dianggap suka-suka, bila rajin buat apabila tidak rajin kita
tinggalkan. Kalau ibadah sunat itu tidak mengapalah sebab kalau kita tidak buat
dia tidak mendapat apa-apa pahala dan dosa. Tetapi kalau perkara yang wajib
kalau kita tinggalkan dia mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah.
Saya umpamakan diri kita sebagai hamba Allah kepada seorang
pelancong yang masuk ke dalam sesebuah negara. Syarat untuk memasuki sesebuah
negara mestilah dengan menggunakan pasport dan juga visa, kalau tidak ada
pasport dan visa pelancong tersebut dianggap sebagai pendatang tanpa izin.
Apabila dokumen sudah diluluskan oleh pihak imengration, maka pelancong
tersebut sudah boleh bergerak bebas dalam negara tersebut dengan beberapa
syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa negara tersebut. Jika ia
melakukan kesalahan atau melanggar syarat yang ditentukan, dia boleh didakwa
dan boleh juga ditamatkan masa melancongnya dengan serta merta.
Berdasarkan perumpamaan di atas ini adalah apabila kita
disahkan atau diluluskan sebagai seorang muslim dengan pasport atau visa kita
iaitu syahadah, maka kita kena mentaati segala undang-undang atau syariat yang
terdapat dalam agama Islam. Jika kita gagal mematuhinya nescaya kita mengundang
kemurkaan dan dosa daripada Allah. Bila tamat sahaja pasport dan visa yang
diberikan Allah kepada kita iaitu mati, sudah pasti di akhirat nanti kita
menghadapai satu siksaan yang sangat dahsyat dari Allah atas segala kegagalan
yang telah kita lakukan.
Kalau kita hitungkan balik jumlah waktu solat dan masa yang
diperlukan untuk mengerjakan solat itu sangat sedikit dan tidak sampai suku
masa dari jumlah 24 jam. Bagaimana anda boleh anggap solat ini satu perkara
yang susah. Inilah yang dikatakan tipu daya syaitan yang sentiasa mencari jalan
untuk memutar belitkan pemikiran manusia dengan menganggap solat itu satu
perkerjaan yang sangat susah berbanding dengan kerja lain. Firman Allah yang bermaksud :
"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan
Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati
daku.”
(At-Taha : 14)
Semua makhluk adalah hak milik Allah, jadi
terpulanglah kepada Allah untuk buat apa sekalipun kepada makhluknya. Kita tidak
boleh berbantah dan mempertikaikan segala suruhan Allah. Setiap amal kebajikan
yang kita buat ada balasannya dan ganjarannya. Buatlah ibadah dengan penuh
keikhlasan dan kesabaran.
Satu lagi saya hendak ingatkan kepada yang bertanya, sebagai
seorang muslim, kita tidak boleh anggap solat itu membebankan dan menyusahkan
kita, sebab solat ini adalah perintah Allah dan kita tidak boleh mempersenda segala
suruhan Allah dan jika kita mempersenda, maka sudah pasti ia mengundang
kemurkaan Allah, segala amal dan pahalanya akan ditolak oleh Allah, boleh
merosakkan akidahnya dan akan diazab dengan siksaan yang sangat pedih di hari
akhirat kelak. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan
ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan
oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) Dengan Al-Quran itu supaya
tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke Dalam azab neraka)
Dengan sebab apa Yang ia telah usahakan (dari perbuatan Yang buruk dan keji).
tidak ada baginya Pelindung dan tidak juga pemberi syafaat Yang lain dari
Allah. dan jika ia hendak menebus (dirinya) Dengan Segala jenis tebusan,
(nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. mereka itulah
orang-orang Yang dijerumuskan (ke Dalam azab neraka) Dengan sebab apa Yang
telah mereka usahakan. bagi mereka disediakan minuman dari air panas Yang
menggelegak, dan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka
kufur ingkar (semasa hidupnya).” (Al-An’am : 70)
Manusia adalah makhluk yang lemah dan mudah untuk lupa
segala suruhan dan larangan Allah. Jadi sebab itulah Islam diturunkan untuk
mengajak dan mengingati manusia akan perintah Allah. Sebab itulah Islam
mewajibkan solat 5 waktu, ini bertujuan untuk menghidupkan hati manusia dari
terus leka dengan tipu daya syaitan. Bila kita solat, kita akan ingat segala
kesilapan yang telah dilakukan oleh kita, dari kesalahan yang dilakukan mohon
ampun kepada Allah melalui doa-doa yang terdapat dalam solat dan selepas solat.
Allah itu Maha pengampun dan Maha Penyayang..Kalau
kita bertubat dengan sepenuh hati dan berikrar tidak melakukan lagi dosa
tersebut, nescaya Allah akan menerima taubat kita. Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai
hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan
perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah,
kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua
Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar : 53)
Tidak ada alasan lagi bagi sesiapa yang melakukan dosa
untuk bertaubat, kerana Allah sentiasa membuka bintu taubat seluas-luasnya
kepada sesiapa yang ingin bertaubat. Ini peluang yang Allah berikan kepada
kita, jangan kita lengah-lengahkan taubat, sebab ajal maut kita tiada siapa pun
tahu melainkan Allah sahaja. Kalau tidak disegerakan taubat, takut-takut nanti
kita tidak sempat untuk bertuabat kepada Allah.
Dalam taubat ini juga ada beberapa syarat yang telah
ditetapkan seperti kata Imam Qurtubi Rahimahullah “Taubat itu mempunyai empat perkara iaitu istiqfar
dengan lidah, meninggalkan dengan badan, menyembunyikan keinginan untuk kembali
semula dan meninggalkan keburukan”. Taubat ini bukan hanya dilafazkan dimulut
sahaja atau menangis dengan air mata berdarah sekalipun, taubatnya tidak akan
diterima oleh Allah sebab dia masih lagi mempunyai keinginan untuk melakukan
dosa itu kembali.