PMS Automech Racing Team Raih Tempat Ke-5!
Politeknik Muadzam Shah telah berjaya mencatat kedudukan di tempat ke-5 dari 36 jentera yang dipertandingkan merangkumi 24 institusi pendidikan IPTA dan IPTS seluruh Malaysia.
Pelajar Politeknik Muadzam Shah Cipta E-Tajwid Untuk Android!
Boleh dikatakan terdapat pelbagai aplikasi bercorak pembelajaran agama untuk para pengguna Android, dan salah satunya adalah aplikasi E-Tajwid untuk Android.
Pekan Sungai Lembing Bakal Bandar Pelancongan!
"Pekan Sungai Lembing Bakal Bandar Pelancongan" berjaya memasuki ruangan Berita Harian pada 22 Mac 2013 yang lalu.
Program Imam Muda Musim 1 Politeknik Muadzam Shah!
Sekalung tahniah kepada penganjur program yang begitu bermanfaat ini.
Home » All posts
Edisi Agama! Bertabarruk dengan kubur Rasulullah!
Oleh Kaki Wayang on
SEPERTI yang telah kita bincangkan minggu lepas, terdapat banyak
riwayat daripada Salafus Soleh yang merakamkan bahawa mereka menerima
dan beramal dengan bertabarruk dengan kesan-kesan atau bekas
peninggalan Nabi SAW dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah.
Pandangan ini turut dipegang oleh Ibnu Taimiyyah dan Imam Al-Zahabi
seperti yang kita petik di bawah. Mereka ini merupakan di antara rujukan
pilihan bagi kelompok yang cenderung anti-tabarruk pada zaman ini.
Al-Qadhi 'Iyadh berkata: "Abdullah ibn Umar SAW pernah dilihat
meletakkan tangannya di atas tempat duduk Rasulullah SAW di mimbarnya.
Kemudian dia meletakkan tangannya itu di mukanya." Diriwayatkan daripada
Ibnu Qusait dan al-'Utbi: "Apabila masjid telah kosong, para sahabat
Nabi SAW mengusap tombol mimbar yang terletak berhampiran kubur Nabi SAW
dengan tangan kanan, kemudian mereka menghadap kiblat seraya
memanjatkan doa. "Berkata al-Mulla Ali al-Qari, pensyarah kitab al-Syifa: Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Sa'ad. (Al-Shifa', 3:518)
Hadis ini juga diriwayatkan oleh Syeikh Ibnu Taimiyyah daripada Imam
Ahmad. Beliau memberi rukhsah mengenai mengusap mimbar dan tombol kayu
tersebut dan menyebut bahawa Ibnu Umar, Sa'id ibn al Musayyib, dan Yahya
ibn Sa'id RA dari kalangan fuqaha Madinah, melakukan perkara tersebut.
(Ibnu Taimiyyah, Iqtido' Sirot al-Mustaqim, H: 367)
Ketika Amir al-Mukminin, Umar ibn al-Khattab RA hampir wafat, beliau berkata kepada anaknya, Abdullah RA, Pergilah
kamu kepada Ummul Mukminin, Sayyidah 'Aisyah RA dan katakanlah, "Umar
menyampaikan salam kepadamu." Jangan kamu katakan Amir al-Mukminin,
kerana hari ini aku bukan lagi ketua kaum Mukminin. Katakan juga
kepadanya, bahawa, "Umar ibn Khattab meminta izin untuk dikebumikan
bersama (berdekatan) kedua orang sahabatnya (Rasulullah SAW dan Abu
Bakar RA)."
Maka Abdullah RA pun memberikan salam dan meminta izin untuk masuk.
Lalu dia pun masuk dan mendapati Sayyidah Aisyah RA sedang duduk
menangis. Abdullah RA berkata, "Umar menyampaikan salam kepadamu dan
meminta izin untuk dikebumikan berhampiran kedua orang sahabatnya."
'Aisyah berkata, "Sebenarnya aku menginginkan tempat itu untuk diriku.
Tetapi hari ini, aku akan mendahulukan dia (Umar RA) daripada diriku."
Setelah kembali, maka dikatakan, "Ini Abdullah ibn Umar RA telah
kembali." Umar ibn Khattab RA berkata (kepada para sahabat), "Angkatlah
aku." Lalu beliau disandarkan oleh salah seorang sahabatnya kepada
Abdullah RA. Umar RA berkata, "Apakah berita yang kamu bawa?" Dia
berkata, "Berita yang kamu suka, wahai Amir al-Mukminin! Kamu telah
diizinkan." Umar RA berkata, "Alhamdulilah, tidak ada sesuatu yang lebih
penting bagiku selain daripada itu. Sekiranya aku telah wafat, bawalah
aku dan ucapkanlah salam kepada 'Aisyah, dan katakanlah, "Umar meminta
izin." Jika dia mengizinkan aku, maka masukkanlah aku. Tetapi jika dia
menolakku, kembalikanlah aku ke perkuburan kaum Muslimin. (riwayat
Bukhari dalam kitab Janaiz)
Pandangan Imam Al-Zahabi
Berkata al Imam Syamsuddin Muhammad ibn Ahmad al-Zahabi:
Telah mengkhabarkan kepada kami Ahmad ibn Abdul Mun'im lebih daripada
sekali, telah menyampaikan kepada kami Abu Ja'far al-Soidalani secara
bertulis, telah menyampaikan kepada kami Abu Ali al-Haddad secara
berdepan, telah menyampaikan kepada kami Abu Nu'aim al-Hafiz, telah
menyampaikan kepada kami Abdullah ibn Ja'far, telah menyampaikan kepada
kami Muhammad ibn 'Asim, telah menyampaikan kepada kami Abu Usamah,
daripada Ubaidillah, daripada Nafi' daripada Ibnu Umar RA, "Sesungguhnya
dia membenci perbuatan mengusap kubur Nabi SAW." Saya berpendapat: Ibnu
Umar RA membenci perbuatan tersebut kerana melihat ketiadaan adab dan
ketidaksopanan orang yang berkunjung ke kubur Nabi SAW.
Imam Ahmad RA pernah ditanya tentang hukum mengusap kubur Nabi SAW
dan mengucupnya. Maka dia tidak berpendapat, perbuatan tersebut adalah
salah. Telah meriwayatkan daripadanya anaknya, Abdullah ibn Ahmad.
Justeru, sekiranya ditimbulkan persoalan: Kenapa sahabat tidak
melakukan perbuatan tersebut? Maka dijawab: Kerana mereka dapat melihat
dan bertemu dengan Rasulullah SAW dengan mata kepala mereka sendiri
semasa Baginda SAW masih hidup. Mereka bergaul dengannya dan mencium
tangannya. Nyaris-nyaris mereka berbunuh-bunuhan untuk mendapatkan air
wuduknya.
Mereka mengagih-agihkan rambutnya yang suci pada musim haji yang
agung. Apabila Baginda SAW berludah, belum pun sempat ludahnya jatuh ke
tanah, ia telah disambut oleh tangan seorang sahabat, lalu dia menyapu
mukanya dengan air ludah tersebut.
Adapun kami, disebabkan kami tidak berpeluang mendapat tuah atau
keuntungan yang begitu sempurna dan indah, maka kami lebih sepatutnya
mengunjungi kuburnya dengan penuh iltizam, penghormatan, penyerahan dan
mengucupnya. Adakah kamu tidak melihat, bagaimana Thabit al-Bunani telah
melakukannya? Beliau telah mengucup tangan Anas ibn Malik RA dan
meletakkan tangannya ke mukanya sambil berkata, "Ini adalah tangan yang
pernah menyentuh tangan Rasulullah SAW." Perbuatan sebegini tidak akan
digerakkan oleh seorang Muslim kecuali kerana lonjakan kasih yang
bersangatan terhadap Rasulullah SAW.
Bahkan, sememangnya seorang Muslim itu disuruh mengasihi Allah dan
Rasul SAW melebihi kasihnya terhadap dirinya, anak-anaknya, manusia
seluruhnya, harta benda, syurga dan bidadarinya. Bahkan, terdapat
sebahagian daripada kaum Mukminin itu mengasihi Abu Bakar RA dan Umar RA
melebihi daripada kasih terhadap diri mereka sendiri.
Diceritakan kepada kami, bahawa ketika Jundar berada di bukit
al-Biqa', dia mendengar seseorang mencaci Abu Bakar RA. Lalu dia
menghunus pedangnya dan memenggal kepala orang tersebut.
Tetapi jika dia mendengar orang mencaci dirinya atau bapanya belum
tentu dia akan menghalalkan darah orang tersebut. Lihatlah, seorang
sahabat yang berada dalam kecintaan yang begitu mendalam terhadap Nabi
SAW berkata, "Bolehkah kami sujud kepadamu?" Maka Baginda SAW bersabda,
"Tidak boleh."
Sekiranya mereka diizinkan, sudah pasti mereka akan sujud kepadanya
kerana membesarkan dan memuliakan Baginda SAW, bukan kerana menyembah
atau beribadat kepadanya sebagaimana sujud saudara-saudara Nabi Yusuf AS
kepadanya. Begitu jugalah dengan perbuatan, sujud seorang Muslim kepada
kubur Nabi SAW kerana membesarkan dan memuliakan Baginda SAW. Ia tidak
dikira kufur pada asalnya, tetapi dikira berdosa melakukannya. Justeru,
ketahuilah bahawa ini adalah perkara yang dilarang, begitu juga dengan
melakukan solat menghadap kubur. (Al-Zahabi, Mu'jam Al-Syuyukh, 1:73-74)
Edisi Agama! Petua Mempercepatkan Jodoh!
Oleh Kaki Wayang on
Soalan:
Saya berusia lewat 20-an. Apa yang
merisaukan, jodoh saya belum tiba. Saya ingin bertanya, ada tak apa-apa
amalan atau surah di dalam al-Quran sebagai satu usaha
untuk saya mempercepatkan jodoh dan bertemu dengan pasangan yang
sesuai?
Jawapan:
Orang yang menunggu jodohnya tiba
samalah seperti orang yang duduk menunggu nasi masuk ke dalam mulutnya.
Makanan hendaklah diusahakan, jodoh juga hendaklah
diusahakan. Amalan al-Qur’an bagi mempercepatkan jodoh tidak ada,
yang ada ialah janji Allah kepada kita di dalam al-Qur’an: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada
pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. [al-Rad 13:11]
Edisi Agam! Perlu ke Isteri Minta Izin Keluar Rumah!
Oleh Kaki Wayang on
Soalan:
Betulkah, setiap kali hendak keluar rumah isteri mesti meminta izin suami? Tidakkah syarat ini seperti merendahkan martabat
isteri di zaman serba moden ini?
Jawapan:
Pertama
sekali perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah Islam diubahsuai
mengikut zaman atau zaman yang diubahsuai
mengikut Islam? Jika kita beriman bahawa Islam adalah panduan
hidup dan Islam sesuai untuk semua zaman hingga Hari Akhirat, maka
zamanlah yang diubahsuai agar mengikuti petunjuk Islam.
Merujuk kepada isteri yang hendak keluar rumah, hendaklah disedari bahawa kedudukan asal seorang isteri adalah di dalam
rumah berdasarkan firman Allah: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu. [al-Ahzab 33:33] Apabila isteri hendak keluar rumah, sekali pun ke masjid, hendaklah dia meminta izin
suaminya. Rasulullah bersabda: Jika salah seorang dari isteri kalian meminta izin ke masjid, maka janganlah melarangnya. [Shahih al-Bukhari, no: 4837]
Lebih lanjut, keluar rumah terbahagi kepada empat kategori.
Pertama,
keluar rumah yang sudah menjadi kebiasaan seperti isteri keluar untuk
ke pejabat atau menghantar dan
mengambil anak dari sekolah. Maka untuk kategori pertama ini,
memadai mendapat izin untuk kali yang pertama daripada suami. Keizinan
daripada suami merangkumi setiap kali isteri hendak keluar
rumah atas tujuan-tujuan tersebut.
Kedua, keluar rumah yang bukan kebiasaan, seperti menziarahi rakan. Maka hendaklah meminta izin suami
Ketiga,
keluar rumah dalam keadaan terdesak, seperti ke klinik membawa anak
yang jatuh bermain basikal. Dalam kes
terpencil seperti ini, tidak perlu mendapatkan izin suami jika
masa atau keadaan tidak mengizinkan. Namun hendaklah dikhabarkan kepada
suami apabila mendapat kelapangan.
Keempat,
keluar rumah untuk tujuan maksiat, seperti menyertai kumpulan
rakan-rakan yang dikenali suka bergossip dan
menyebarkan aib tentang orang lain. Maka tidak perlu keluar rumah,
tidak perlu minta izin suami dan tidak perlu mematuhi meski pun suami
mengizinkannya.
Edisi Al-kisah! Kisah Ali dan Fathimah!
Oleh Kaki Wayang on
Kali
ini saya ingin menyentuh tentang poligami. Bukan hukumnya mahupun
suka-duka poligami, akan tetapi
tentang sebuah hadis yang kerap digunakan sebagai hujah untuk
menolak poligami. Hadis yang saya maksudkan merujuk kepada tindakan Ali
bin Abi Thalib – semoga Allah meredahinya –
yang melamar puteri Abu Jahal sebagai isteri keduanya, dengan
memadukan Fathimah binti Muhammad, semoga Allah meredhainya juga.
Apabila hajat Ali untuk berpoligami ini sampai kepada Rasulullah, baginda melarangnya. Ini boleh dilihat
dalam hadis berikut:
al-Miswar
bin Makhramah berkata: Sesungguhnya Ali bin Abu Thalib pernah meminang
puteri Abu Jahal
dengan memadukan Fatimah. Lalu aku mendengar Rasulullah berkhutbah
di atas mimbar ini mengenai hal itu, yang pada waktu itu aku sudah
baligh. Baginda bersabda: “Sesungguhnya
Fatimah adalah bahagian daripadaku. Sesungguhnya aku takut terjadi fitnah pada agamanya.” [Shahih al-Bukhari, no: 3110 (Kitab Fard al-Khumus, Bab berkenaan baju besi
Nabi, tongkat, pedang…)]
Edisi Agama! Nasihat kepada yang belum sedia tampil bertudung
Oleh Kaki Wayang on
SAYA wanita berumur 21 tahun. Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM), saya tidak lagi memakai tudung dan menunaikan solat.
Saya ingin bertaubat, tetapi akibat pengaruh rakan dan fesyen semasa
membuatkan saya tidak dapat meneruskan niat itu.
Dahulunya saya seorang yang gemar bersosial bersama teman lelaki
dan perempuan hingga lewat malam dan berpakaian seksi. Saya takut Allah
tidak mengampunkan dosa malah pernah terlanjur beberapa kali.
Saya hanya mampu menunaikan solat, tetapi tidak memakai tudung ke
tempat kerja kerana belum bersedia melakukan perubahan diri secara
mendadak.
Adakah solat saya diterima kerana tidak bertudung terutama keluar ke tempat kerja?
Adakah solat saya diterima kerana tidak bertudung terutama keluar ke tempat kerja?
Jawapan:
SOLAT tetap sah apabila ditunaikan menurut rukun dan syaratnya. Islam melihat solat lima waktu sangat penting dalam kehidupan seseorang Muslim dan Muslimah. Solat itu tiang agama. Orang Islam yang meninggalkan solat dilihat seperti meruntuhkan agama. Solat juga dapat mencegah seseorang dari melakukan perkara keji dan mungkar seperti zina dan pergaulan bebas.
Memakai tudung pula sebahagian ajaran Islam bagi mana-mana wanita Islam yang ingin keluar rumah atau bekerja. Memakai tudung dapat menutup aurat atau kecantikan seseorang yang perlu dijaga daripada bukan mahram.
Ia ibarat menjaga barang yang berharga dan ia sudah tentu dijaga rapi. Dengan sebab itu saudari dinasihatkan berubah demi menjaga maruah dan kecantikan diri.
Janganlah kata-kata teman dan rasa malu atau ego menghalang kita daripada menjalankan suruhan Allah. Kita hendaklah belajar untuk tunduk kepada perintah-Nya.
Seterusnya, kita perlu berubah daripada sifat dan perbuatan yang tidak baik kepada yang baik dan mulia. Sememang ia sangat sukar, tetapi membawa kebaikan untuk diri sendiri.
Pergaulan dengan teman yang baik dapat mengubah diri menjadi baik. Meneruskan pergaulan dengan teman liar tidak dapat menolong melakukan perubahan diri.