TAK LAYAK...Dayoub tidak melalui tempoh ‘cooling-off’ selama dua tahun yang ditetapkan FAM.
Dayoub yang sebelum ini mewakili kelab Myanmar, Magway pada 2011, sepatutnya tidak layak bermain di negara ini kerana tidak melalui tempoh ‘cooling-off’ selama dua tahun yang ditetapkan FAM untuk pemain beraksi dalam mana-mana liga di negara Asean.
Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Hamidin Mohd Amin yang ditanya perkara itu berkata, walaupun Dayoub beraksi dalam liga Asean, pemain itu dibenarkan bermain untuk Selangor kerana dia mewakili skuad kebangsaan negara asalnya yang mempunyai ranking lebih tinggi berbanding Malaysia.
“Dalam peraturan ada klausa yang seseorang pemain itu dibenarkan beraksi jika pasukan negara asalnya mempunyai ranking lebih tinggi berbanding Malaysia. Dalam hal ini, Lubnan menduduki ranking lebih tinggi berbanding Malaysia.
Bagaimanapun apa yang mengelirukan, perkara 5.3 FAM pula menyatakan hanya pemain kebangsaan dari negara yang menduduki ranking lebih tinggi berbanding Malaysia setakat 24 Ogos 2011 dibenarkan beraksi dalam Liga-M 2012.
Jika perkara 5.3 itu turut dikenakan kepada semua pemain import, sudah pasti ia turut membabitkan rakan senegaranya, Ghaddar yang beraksi dengan Kelantan walaupun dia beraksi dalam liga divisyen satu Asia sebelum ini, bersama kelab Al-Jaish dari Syria.
Ternyata isu terbaru ini juga perlu diberikan penjelasan oleh JKPT yang akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat khas hari ini memandangkan masih ada perkara berbangkit dalam pengambilan pemain import bagi mengelakkan sebarang salah faham.