TIDAK PEDULI...penumpang lelaki seringkali memberi alasan tidak nampak tanda koc untuk wanita.
Pemantauan Metroplus selama dua minggu terhadap perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mendapati lebih separuh pengguna perkhidmatan itu rakyat asing manakala warga tempatan ramai menggunakannya pada waktu puncak iaitu ketika orang ramai pergi dan pulang daripada bekerja.
Perkara itu diakui Pegawai Operasi Utara Wilayah Tengah KTMB, Mohammad Fudzi Othman, yang berkata hampir 30 peratus pengguna tetap komuter ialah warga asing.
“Kami tiada masalah untuk memberikan perkhidmatan ini kepada sesiapa saja termasuk warga asing, namun kerap kali aduan diterima mengenai perilaku tidak sopan warga siang.
“Seperti sekarang kemudahan koc wanita disalah guna lelaki yang kebanyakannya warga asing dan alasan mereka, tidak sedar atau terlepas pandang notis arahan yang ditampal,” katanya.
Pengangkutan awam terutama bas dan komuter menjadi pilihan utama warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Vietnam dan Afrika disebabkan ia murah dan mudah untuk sampai ke destinasi.
Pengguna, Nurul Izzah Wahidul Azam, 23, berkata dominasi warga asing dalam penggunaan pengangkutan awam mungkin memberi keuntungan kepada penyedia pengangkutan, tetapi masalah yang ditimbulkan mereka perlu diberi perhatian.
“Bagi wanita, berhimpit dengan mereka ketika menggunakan komuter kadangkala merimaskan dan boleh membuat saya hilang sabar apabila ada di antara mereka yang suka melakukan perkara tidak senonoh seperti mencabul dan meraba,” katanya.
Mohd Rabiq Abdullah, 24, pula berkata ramai warga asing yang memilih menggunakan perkhidmatan awam kerana tambang murah.
“Saya terkilan kemudahan yang sepatutnya disediakan untuk kami menjadi pilihan warga asing, malah mereka lebih ramai yang menggunakan perkhidmatan ini sehingga kami berasa terpinggir.
“Saya berharap akan ada kelainan caj tambang terhadap warga tempatan dan warga asing supaya kemudahan ini dapat terus digunakan orang yang sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd Mustaffa Hamzah, berkata perlunya pengasingan kemudahan pengangkutan bagi warga tempatan dan warga asing dalam usaha menggalakkan kemudahan itu terus digunakan rakyat Malaysia.
“Tidak dinafikan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan yang diberikan kerana mereka mengambil kesempatan terhadap wanita setiap kali keadaan di dalam koc atau bas sesak dengan cubaan mencabul dan meraba.
“Selain pengasingan koc untuk wanita, koc bagi warga tempatan juga ada baiknya diasingkan bagi memberi keselesaan terhadap mereka yang dibimbangi boleh menimbulkan masalah dengan sikap biadab segelintir warga asing,” katanya ketika dihubungi.
Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), Azhar Ahmad, ketika dihubungi berkata masalah pengangkutan awam yang banyak digunakan warga asing di luar bidang kuasa pihaknya untuk menghalang.
“Kami sedar masalah ini banyak mengganggu pengguna warga tempatan yang tidak selesa kehadiran mereka, namun ini kemudahan paling cepat dan senang untuk mereka naiki kerana masing-masing tidak memiliki kenderaan.
“Perkara ini akan dibawa ke dalam kajian yang kami lakukan dengan satu cara akan mengusulkan kepada pengusaha pengangkutan awam untuk mengenakan tambang berlainan di antara warga asing dan tempatan dengan pengwujudan pas bulanan yang turut boleh mengesan data status seseorang.
“Selain itu, kajian mengenai kadar tambang yang digunakan sekarang juga dijalankan berikutan peredaran zaman kini dengan semua kadar barangan dan kemudahan semakin meningkat,” katanya.