Ramai wanita yang menggunakan perkhidmatan komuter rimas apabila ada
warga asing yang bukan hanya menggunakan koc yang dikhaskan untuk
mereka, tetapi juga mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak
senonoh.
Pemantauan Metroplus selama dua minggu terhadap perkhidmatan
komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mendapati lebih separuh
pengguna perkhidmatan itu rakyat asing manakala warga tempatan ramai
menggunakannya pada waktu puncak iaitu ketika orang ramai pergi dan
pulang daripada bekerja.
Perkara itu diakui Pegawai Operasi Utara Wilayah Tengah KTMB,
Mohammad Fudzi Othman, yang berkata hampir 30 peratus pengguna tetap
komuter ialah warga asing.
“Kami tiada masalah untuk memberikan
perkhidmatan ini kepada sesiapa saja termasuk warga asing, namun kerap
kali aduan diterima mengenai perilaku tidak sopan warga siang.
“Seperti sekarang kemudahan koc wanita disalah guna lelaki yang
kebanyakannya warga asing dan alasan mereka, tidak sedar atau terlepas
pandang notis arahan yang ditampal,” katanya.
Pengangkutan awam terutama bas dan komuter menjadi pilihan
utama warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Vietnam dan Afrika
disebabkan ia murah dan mudah untuk sampai ke destinasi.
Pengguna, Nurul Izzah Wahidul Azam, 23, berkata dominasi warga asing
dalam penggunaan pengangkutan awam mungkin memberi keuntungan kepada
penyedia pengangkutan, tetapi masalah yang ditimbulkan mereka perlu
diberi perhatian.
“Bagi wanita, berhimpit dengan mereka ketika
menggunakan komuter kadangkala merimaskan dan boleh membuat saya hilang
sabar apabila ada di antara mereka yang suka melakukan perkara tidak
senonoh seperti mencabul dan meraba,” katanya.
Mohd Rabiq Abdullah, 24, pula berkata ramai warga asing yang memilih menggunakan perkhidmatan awam kerana tambang murah.
“Saya terkilan kemudahan yang sepatutnya disediakan untuk kami menjadi
pilihan warga asing, malah mereka lebih ramai yang menggunakan
perkhidmatan ini sehingga kami berasa terpinggir.
“Saya
berharap akan ada kelainan caj tambang terhadap warga tempatan dan warga
asing supaya kemudahan ini dapat terus digunakan orang yang
sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Kerja Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd Mustaffa Hamzah, berkata perlunya
pengasingan kemudahan pengangkutan bagi warga tempatan dan warga asing
dalam usaha menggalakkan kemudahan itu terus digunakan rakyat Malaysia.
“Tidak dinafikan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan yang
diberikan kerana mereka mengambil kesempatan terhadap wanita setiap kali
keadaan di dalam koc atau bas sesak dengan cubaan mencabul dan meraba.
“Selain pengasingan koc untuk wanita, koc bagi warga tempatan juga ada
baiknya diasingkan bagi memberi keselesaan terhadap mereka yang
dibimbangi boleh menimbulkan masalah dengan sikap biadab segelintir
warga asing,” katanya ketika dihubungi.
Ketua Pegawai Operasi
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), Azhar Ahmad, ketika
dihubungi berkata masalah pengangkutan awam yang banyak digunakan warga
asing di luar bidang kuasa pihaknya untuk menghalang.
“Kami
sedar masalah ini banyak mengganggu pengguna warga tempatan yang tidak
selesa kehadiran mereka, namun ini kemudahan paling cepat dan senang
untuk mereka naiki kerana masing-masing tidak memiliki kenderaan.
“Perkara ini akan dibawa ke dalam kajian yang kami lakukan dengan satu
cara akan mengusulkan kepada pengusaha pengangkutan awam untuk
mengenakan tambang berlainan di antara warga asing dan tempatan dengan
pengwujudan pas bulanan yang turut boleh mengesan data status seseorang.
“Selain itu, kajian mengenai kadar tambang yang digunakan sekarang
juga dijalankan berikutan peredaran zaman kini dengan semua kadar
barangan dan kemudahan semakin meningkat,” katanya.