Keasyikan seorang pemandu lori pasir menonton cakera padat video
(VCD) lucah pada skrin mini kenderaannya ketika memandu dikatakan
menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan lain dan
mengorbankan sepasang suami isteri di Kilometer 19.5, Jalan
Pontian-Johor Bahru, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lori berkenaan dalam perjalanan ke
Singapura sebelum kecuaian pemandunya menyebabkan ia hilang kawalan lalu
terbabas dan berlanggar dengan sebuah lori lain, dua kereta serta dua
motosikal, termasuk motosikal dinaiki pasangan suami isteri yang maut
itu.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir
tiga jam manakala usaha mengeluarkan mayat pasangan suami isteri
terbabit dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan
Hassan berkata, suami isteri yang terbunuh itu dalam perjalanan ke
tempat kerja dan mereka mati di tempat kejadian manakala seorang
penunggang motosikal lain parah.
Menurutnya, mangsa yang
terbunuh dikenali sebagai K Vijaya, 34, dan isterinya, S Hemalatha, 27,
dari Bukit Indah, di sini, manakala mangsa yang parah, lelaki berusia 32
tahun belum dikenal pasti identitinya dan kini dirawat di Hospital
Sultanah Aminah (HSA).
“Lori pasir yang dipandu lelaki itu
mempunyai skrin mini LCD dan kita sedang menyiasat dakwaan dia memandu
sambil menonton VCD lucah. Kami sedang mengesan VCD lucah yang didakwa
berada dalam lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Ruslan, pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu
siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan
Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan
kematian dan beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.
Sementara itu, bapa mangsa yang dikenali sebagai Muruandy, 54,
berkata, kejadian yang menimpa Vijaya dan menantunya adalah tragedi
buruk bagi keluarganya kerana kedua-duanya maut sekelip mata.
“Setiap hari mereka ke tempat kerja dengan menaiki motosikal dan
saya tidak menyangka rutin harian itu menjadi tragedi. Saya sedih
mengenangkan nasib tiga cucu yang masih kecil, berusia bawah 12 tahun,”
katanya.