PMS Automech Racing Team Raih Tempat Ke-5!

Politeknik Muadzam Shah telah berjaya mencatat kedudukan di tempat ke-5 dari 36 jentera yang dipertandingkan merangkumi 24 institusi pendidikan IPTA dan IPTS seluruh Malaysia.

Pelajar Politeknik Muadzam Shah Cipta E-Tajwid Untuk Android!

Boleh dikatakan terdapat pelbagai aplikasi bercorak pembelajaran agama untuk para pengguna Android, dan salah satunya adalah aplikasi E-Tajwid untuk Android.

Pekan Sungai Lembing Bakal Bandar Pelancongan!

"Pekan Sungai Lembing Bakal Bandar Pelancongan" berjaya memasuki ruangan Berita Harian pada 22 Mac 2013 yang lalu.

Program Imam Muda Musim 1 Politeknik Muadzam Shah!

Sekalung tahniah kepada penganjur program yang begitu bermanfaat ini.

Malam Sejuta Bintang PMS Berlangsung Meriah!

Malam Sejuta Bintang Berlangsung Meriah

Edisi Agama! Kiamat memang menunggu kita!

Oleh Kaki Wayang on


PENULIS buku terkenal, Muhammad Alexander Wisnu Sasongko yang begitu mendalami persoalan hari kiamat dalam sebuah buku karya terbaru beliau iaitu Armagedon 2012 - Bencana Akhir Zaman yang setebal 558 muka turut meminta umat Islam tidak tersesat dengan dakwaan 2012 merupakan tahun yang mengakhiri usia dunia ini.

Beliau mengulas bahawa ramalan bencana besar yang akan berlaku pada 2012 dan apa juga bentuk ramalan yang seumpama itu adalah bahaya kepada orang yang tidak memiliki iman yang kuat kerana dikhuatiri mereka akan mempercayainya.

Di samping itu, ia juga sangat bertentangan dengan akidah Muslim, kata penulis buku-buku bestseller seperti Yakjuj dan Makjud: Bencana Di Sebalik Gunung (2010) dan Alexander adalah Zulqarnain (2009) yang meraih jumlah cetakan melebihi 20,000 naskhah di negara ini

Walaupun kita tidak pernah menemui para peramal bagi mendapatkan ramalan-ramalan mengenai bila akan berlakunya kiamat itu, tetapi jika kita sekadar mempercayai melalui apa yang kita dengar, baca dan lihat juga dikhuatiri boleh merosakkan iman dan akidah.

Sedangkan Islam telah menegaskan bahawa hukum mempercayai ramalan terutama dari tukang-tukang ramal adalah haram. Umat Islam sama sekali ditegah dari mempercayai sebarang ramalan terutama yang tidak bersandarkan al-Quran dan hadis.

"Sesiapa yang menemui paranormal, dukun ataupun ahli nujum (ahli astrologi) dan mempercayai apa yang mereka katakan, maka kafir atas apa yang yang diturunkan kepada Muhammad," (riwayat Tirmidzi dan Abu Daud)

Menurut Muhammad Alexander, melalui teks al-Quran dan hadis telah membuktikan tarikh hari kiamat adalah rahsia Allah.

"Hari kiamat termasuk dalam kategori perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah. Manusia termasuk Nabi Muhammad dan Malaikat Jibrail pun tidak mengetahui akan tarikh berlakunya kiamat itu," katanya.

Tetapi Allah memberitahu tanda-tanda kiamat. Tanda-tanda besar sebagai memberitahu Kiamat benar-benar sudah hampir, seperti:

1) Kemunculan atau keluarnya asap putih yang menyelubungi seluruh atmosfera bumi,
2) Kemunculan Dajjal, bermata satu yang bertujuan untuk menyesatkan manusia termasuk dengan mengaku bahawa dirinya Allah.
3) Turunnya Nabi Isa AS bagi menyelamatkan manusia dari fitnah dajjal tersebut.
4) Munculnya juga bangsa atau kaum Yakjud dan Makjud
5) Dan apabila matahari tidak lagi terbit dari sebelah timur tetapi mula terbit dari sebelah barat.

"Sebenarnya kiamat versi Islam juga memang ada menceritakan tentang gempa bumi yang besar sebagaimana gambaran kejadian yang menjadi ramalan para peramal barat dan lain-lain individu mengenai berlakunya kiamat tersebut.

"Ini termasuklah juga bumi yang bergegar, gunung ganang yang berterbangan dan hancur menjadi debu dan tsunami besar," katanya.

Ini sebagaimana yang disebut dalam al-Quran: Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya dan gunung ganang dihancur luluhkan sehancur-hancurnya maka jadilah ia debu yang berterbangan. (al-Waqiah: 4-6)

Dan apabila lautan pecah bercampur baur. (al-Infitar: 3). Dalam Islam, kiamat kubra (kiamat besar) berakhir dengan kematian seluruh umat manusia.

"Jadi bagaimana kita boleh percaya bahawa kiamat berlaku pada 2012 sebagaimana yang diramalkan dan difilemkan jika masih ada manusia yang terselamat apabila menaiki kapal-kapa laut yang dibina dengan begitu canggih dan tahan bencana," kata Muhammad Alexander.

Dengan buku Armagedon 2012 itu, Muhammad Alexander tidak sahaja menidakkan ramalan kiamat yang kononnya akan berlaku pada 2012 tetapi kajian beliau mengenai fasa demi fasa berlakunya kiamat itu mengikut al-Quran, hadis dan bukti dari aspek sains moden yang pada akhirnya pembaca mampu menelah sendiri akan bila dikatakan kiamat itu akan berlaku.

Sementara seorang lagi penulis Islam terkenal, Adnan Oktar atau lebih dikenali sebagai Harun Yahya dalam bukunya Hari Akhir dan Imam Mahadi menjelaskan pelbagai tanda kiamat di dalam al-Quran.

Tambahan penjelasan mengenai hari akhirat dalam kitab-kitab hadis memungkinkan kita sampai pada sebuah kesimpulan yang penting, iaitu terdapat dua tahap atau fasa berlakunya kiamat.

Tahap pertama adalah tempoh di mana seluruh manusia mengalami pelbagai masalah material dan spiritual (kerohanian dan jiwa).

Setelah itu bumi akan memasuki tempoh selamat yang disebut sebagai masa keemasan yang ditandakan dengan kehidupan yang penuh rahmat dan berkat serta tegaknya agama Islam yang benar.

Menjelang akhir masa keemasan, akan ada keruntuhan sosial dalam masa waktu yang singkat. Di saat itulah manusia akan menunggu berlakunya kiamat dalam erti kata yang sebenar.

Ini sebagaimana yang disebut dalam al-Quran, yang bermaksud: Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan Hari Kiamat yang datangnya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedah bagi mereka kesedaran mereka itu apabila Hari Kiamat sudah datang? (Muhammad: 18)

Justeru, Hari Kiamat sememangnya sedang menunggu kita, sedangkan manusia pada hakikatnya mengetahui 'bila' akan berlakunya kiamat itu dan jika berlaku pada hari ini sekalipun, umat Islam sememangnya telah bersedia untuk menghadapinya.

Ini kerana kita telah diberikan panduan dan tanda-tanda berlakunya kiamat.

Jadi mengapa kita harus percaya pada ramalan-ramalan dan khayalan manusia yang ada kepentingan dan perjanjian dengan syaitan itu?

Sila baca selanjutnyaEdisi Agama! Kiamat memang menunggu kita!

Edisi Agama! Tarikh kiamat rahsia Allah!

Oleh Kaki Wayang on


BOLEH dikatakan semua agama di dunia mempercayai akan hari khiamat. Agama Kristian, Yahudi atau lain-lain agama di dunia ini juga dikatakan kononnya lebih 'tahu' akan tarikh berlakunya kiamat.

"Kepercayaan mengenai hari kiamat terutamanya menurut agama Kristian dan Yahudi memang ada asasnya kerana nabi-nabi mereka diterima dan diiktiraf dalam Islam. "Tetapi pada asasnya kepercayaan hari kiamat mereka adalah sebagaimana kepercayaan dalam Islam itu sendiri.

"Iaitu tidak ada tarikh tertentu diberikan sebagaimana yang ditetapkan dalam Islam. "Malah mereka percaya akan turunnya Al Masih, Nabi Isa, kerosakan yang dilakukan oleh Dajjal, kaum Yakjud dan Makjud dan sebagainya.

"Tetapi jika mereka mempergunakan agama bagi menyatakan tarikh sebenar kiamat, itu sebenarnya berlaku kesesatan dalam agama mereka sendiri. "Begitu juga kepada umat Islam yang meramalkan tarikh kiamat atas nama Islam, maka itu dikira sesat dalam agama kita," kata Dr. Danial.

Tambah beliau, atas nama agama, manusia akan mencipta segala macam ramalan yang bukan-bukan yang tidak masuk akal. Semua itu sebenarnya jika tidak berhati-hati merupakan permainan syaitan dan iblis.

Golongan yang membuat ramalan akan hari khiamat itu sebenarnya ada kepentingan tertentu yang bukan sahaja membawa faedah kepada diri mereka tetapi memberikan kemenangan kepada kuasa-kuasa jahat iblis dan syaitan yang suka menyesatkan manusia.

Sehingga berlaku penyembahan, sanggup melakukan korban supaya terselamat jika berlaku kiamat dan sanggup membunuh diri bagi mengelakkan azab ditimpa kiamat. Semua itu, kata Dr. Danial adalah kesesatan kesan mempercayai kepada segala macam ramalan tersebut.

Mungkin tarikh kiamat yang kononnya berlaku hujung tahun hadapan sedikit sebanyak akan memberi iktibar dan satu peringatan keras yang membuatkan manusia supaya bersedia menghadapinya.

Ini termasuklah melakukan amal kebaikan, bertaubat, tidak melakukan maksiat, kuat beribadat dan sebagainya lagi. Namun seperti yang ditegaskan oleh Dr. Danial, bagaimana jika selepas Disember 2012 itu, tidak berlaku kiamat? Bagaimana keadaan manusia yang telah melakukan pelbagai persediaan untuk menghadapi kiamat itu?

"Manusia pastinya akan gembira, mencampakkan segala amalan kebaikan untuk kembali berfoya-foya, tidak ingat Tuhan kerana kiamat tidak jadi.

"Seperti ada sambutan meriah apabila kiamat tidak berlaku," tegas beliau.

Sedangkan kata Dr. Danial, agama Islam telah lengkap dalam memperkatakan hari kiamat. Hikmah tarikh kiamat dirahsiakan supaya manusia sentiasa bersedia secara jujur, ikhlas kerana percaya hidup di dunia hanya sementara kerana yang kekal adalah di akhirat.

"Justeru kehadiran 2012 esok lusa ini hendaklah 'disambut' dengan penuh keinsafan terutamanya semakin dekatnya kita kepada tanah perkuburan, persemadian abadi yang memutuskan segala amalan kita di dunia kecuali bekalan yang kita bawa akhirat kelak.

"Sama ada tahun hijri mahupun masihi hendaklah disambut dengan ibadah bukannya dengan keseronokan dan hiburan yang melampau kerana umur semakin meningkat dan kematian akan menjemput kita tanpa mengira masa dan keadaan.

"Bertambahnya tahun untuk kita hidup, bermakna Allah memberikan 'bonus', kelebihan masa dan waktu untuk kita menambahkan amalan kebaikan dan kebajikan. Malangnya sekalipun ada peringatan kononnya Kiamat tetapi saya yakin yang bakal di sambut sempena tahun baru 2012 adalah tetap mengikut nafsu," katanya.

Manusia harus menyedari kini bahawa masa kian dan semakin pantas berlalu. Setahun 2011 yang berlalu begitu cepat sehinggakan manusia tidak sempat menyempurnakan pelbagai azam dan cita-cita.

"Jadi adakah masanya lagi untuk membuang-buang masa untuk perkara yang tidak berfaedah?

"Sekalipun kita merasakan kita begitu sibuk sehingga menyebabkan masa dirasakan begitu pantas berlalu, namun kebanyakan kita sibuk dengan aktiviti yang tujuannya adalah salah kerana kita mempunyai misi hidup yang salah," katanya.

Sedangkan manusia hendaklah istiqamah dalam perkara kebaikan dan konsisten dalam ibadah dengan misi hidup adalah mencari kemuliaan dan ketaqwaan di sisi Allah. Bukan meletakkan sasaran kemuliaan di sisi manusia dengan mengejar pangkat, harta dan sebagainya. Benarlah manusia itu kerugian dari aspek masa.

Sehinggalah Allah bersumpah sebagaimana dalam surah al-Asr: 1-3: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Sila baca selanjutnyaEdisi Agama! Tarikh kiamat rahsia Allah!

Edisi Agama! Ramalan tarikh kiamat jejas akidah!

Oleh Kaki Wayang on


BOLEH dikatakan seluruh penduduk dunia menjadi enigma dan mimpi ngeri apabila dikatakan dunia kian menuju hari-hari terakhirnya iaitu pada 12 Disember 2012 sebagai tarikh sakaratul dunia, atau lebih tepat kiamat.

Asalnya ia hanya momokan masyarakat barat kononnya mengikut perkiraan mereka, dunia kini hanya menanti detik dan waktu sahaja untuk musnah.

Apa yang dibimbangi barat itu merebak pada kadar yang perlahan namun berjaya menyakinkan orang ramai dalam pelbagai bentuk terutamanya buku, makalah dan lawan sesawang. Kemuncak momokan itu apabila filem blockbuster Hollywood berjudul 2012 yang menjadi hantu besar menakutkan manusia kepastian Kiamat pada 2012. Filem itu sebenarnya diilhamkan daripada kiraan kalendar kuno kaum Maya (Long Count Calendar) yang kononnya pada tarikh 12 Disember tahun hadapan, dunia akan hancur.

Akan berlaku malapetaka alam yang maha dahsyat, yang tidak pernah terfikir dan terbayangkan oleh manusia.

Ini termasuklah gelombang tsunami gergasi yang berpuluh kali ganda lebih dahsyat dan lebih ngeri berbanding melanda Aceh, Indonesia hingga menelan ratusan ribu nyawa tujuh tahun lalu.

Ia ditambah dengan hentaman-hentaman objek asing dari angkasa, terutamanya asteroid yang kekuatannya juga mengalahkan mana-mana ledakan bom nuklear.

Semua itu kononnya berlaku kesan daripada jajaran planet Pluto dan Bumi yang selari dalam pusingan orbit dan sebagainya yang kesemuanya bakal terjadi sekitar Disember 2012.

Walaupun semua ini sekadar ramalan yang didakwa disokong penemuan saintifik dan ilmiah, namun bukan sedikit kesannya kepada manusia.

Natijahnya, ramai daripada kita seolah-olah berada di persimpangan yang cukup memeningkan kepala. Antara mahu percaya atau tidak. Benarkah tahun 2012 akan berakhirlah jangka hayat bumi ini? Yang turut bermakna berakhirnya juga jangka hayat manusia?

Pendakwah terkenal, Dr. Danial Zainal Abidin bagaimanapun meminta umat Islam supaya tidak sedikit pun memberikan ruang di hati dan minda mereka untuk mempercayai ramalan tarikh kiamat yang jangkanya berlaku hanya setahun daripada sekarang.

"Jika percaya kepada semua itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat.

"Semua itu hanya sekadar ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya.

"Tidak sahaja dalam soal ramalan kiamat. Malah dalam apa juga ramalan-ramalan masa depan yang kononnya akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan manusia untuk berlaku," katanya.

Dalam Islam kata Dr. Danial, ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat.

Dua teks sama ada dari dalil al-Quran dan hadis Rasulullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.

Ayat berikut misalnya adalah satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-A'raaf: 187).

Sila baca selanjutnyaEdisi Agama! Ramalan tarikh kiamat jejas akidah!

Edisi Agama! Jauhi enam sifat mazmumah!

Oleh Kaki Wayang on

SECARA umumnya, manusia memiliki dua jenis keperibadian iaitu; positif dan negatif yang tercermin pada tingkah laku dalam setiap gerak geri kehidupan seharian. Sikap positif menjelma dalam tindakan kepatuhan, mencari kebenaran, muhasabah diri, bekerja dengan amanah dan bermuamalah dengan jujur dalam semua lapangan kehidupan.

Sikap negatif pula terlihat pada penentangan, cenderung kepada perbuatan maksiat, malas bekerja serta melakukan kerosakan terhadap diri sendiri, keluarga mahupun masyarakat. Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Ada enam perkara yang menyebabkan amal kebajikan menjadi sia-sia (tidak mendapat pahala); iaitu sibuk mencari keaiban orang lain, keras hati, terlalu cinta kepada dunia, kurang rasa malu, panjang angan-angan dan orang yang berterusan melakukan kezalimannya". (riwayat Dailami)

Pertama, orang yang lebih suka mencari dan menyebarkan keburukan yang terdapat pada orang lain lalu membesar-besarkannya, sementara aibnya sendiri tidak pernah diperiksanya sesuai dengan pepatah lama "Kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak."

Terdapat sebuah riwayat mengisahkan seorang khalifah yang melakukan rondaan dan lawatan terhadap rakyatnya pada waktu tengah malam, lalu dia menemui dalam sebuah rumah seorang lelaki dan wanita serta minuman khamar yang dihidangkan, dia masuk ke rumah itu dengan memanjat dinding, terus menerjah masuk dan terjadilah dialog.

Khalifah: Hai musuh Allah, apakah kau menyangka bahawa Allah akan menutupi kesalahan kau ini?
Lelaki: Tuan sendiri jangan tergesa-gesa, tuan juga telah melakukan kesalahan.
Khalifah: Kesalahan apa yang saya perbuat?
 Lelaki: Kesalahan saya hanya satu iaitu apa yang Khalifah lihat sekarang, sedangkan tuan telah melakukan tiga kesalahan iaitu; mencari dan mendedahkan keburukan orang lain, padahal Allah melarang perbuatan itu, masuk ke dalam rumah orang dengan memanjat dinding, bukankah ada pintu yang harus dilalui dan masuk rumah tanpa izin tuan rumah.

Kedua, sikap keras hati bermaksud tidak mahu menerima pengajaran yang baik dan nasihat ke arah kebaikan ditolaknya. Dia tidak suka segala kesalahannya dikritik apatah lagi dipersalahkan, kerana dia yakin bahawa dialah yang paling benar, di samping itu hatinya pula tidak tersentuh oleh penderitaan dan kesedihan orang lain.

Sewaktu hayat Rasulullah SAW, terdapat suatu kejadian yang membuat semua sahabat bersedih kerana matinya seorang anggota keluarga daripada mereka.

Bahkan Nabi SAW pun menitiskan air matanya, sahabat-sahabat di sekitarnya pun berlinang air matanya, tetapi ada seorang sahabat nampak biasa-biasa saja, sedikitpun dia tidak tersentuh melihat kejadian itu. Lalu dia bertanya kepada Nabi SAW, maka Rasulullah SAW menjawab, "Itu tandanya hati yang keras."

Orang yang keras hati lebih cenderung bersifat ego, sombong, takbur dan tidak mahu menerima kebenaran, kerana hatinya telah keras dan tidak terbuka untuk menerima pengajaran yang benar.

Ketiga, kehidupan dunia hanyalah sementara dan kita sebenarnya adalah seorang musafir yang berada dalam perjalanan, lalu beristirehat pada sebuah tempat untuk sementara waktu. Namun tidak sedikit pun manusia yang beranggapan bahawa tempat istirehat yang sejenak itulah matlamat dan tujuan mereka sehingga lupa akan matlamat dan tujuan sebenar mereka akan kembali kepada Allah Yang Maha Esa.

Justeru, Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa pada suatu masa nanti, umat Islam akan ditindas dan dizalimi oleh umat lain sebagaimana mereka menghadapi makanan di atas meja, padahal jumlahnya ramai tetapi kekuatannya ibarat buih di atas lautan, mudah hancur. Saat itu umat dihinggapi penyakit yang bernama al-Wahn iaitu suatu penyakit yang meracuni umat ini sehingga mereka terlalu cinta kepada dunia dan takut akan kematian.

Keempat, orang yang tiada sifat malu ini, tidak akan malu-malu untuk berbuat apa pun menurut kemahuan hawa nafsunya. Oleh itu, perbuatan dosa dan maksiat adalah agenda utama kehidupan sehariannya, manakala benar dan salah tidak lagi menjadi suatu ukuran dalam hidupnya.

Bila sifat malu tiada, maka dia akan melakukan apa sahaja menurut kehendak nafsunya dan beranggapan bahawa dirinya lebih suci daripada orang lain. Menurut Abu Hasan Al Mawardi, sifat malu itu ada tiga jenis, iaitu;
1. Malu kepada Allah
2. Malu kepada manusia
3. Malu kepada diri sendiri.

Kelima, sifat panjang angan-angan pula menunjukkan kekerdilan manusia, kemahuannya lebih tinggi, tidak sesuai dengan kemampuannya yang sebenar, malah dia suka berkhayal dan berangan-angan. Ungkapan yang biasa bermain pada lidahnya ialah seandainya, andai kata, apabila, jika, kalau dan lain lain lagi.

Bahkan, dia banyak menghabiskan waktunya untuk berangan-angan dan berkhayal pada setiap masa, tetapi dia sama sekali tidak melakukan sesuatu. Ironinya, dia beranggapan bahawa khayalan itu benar, indah dan realistik. Orang yang bersikap demikian samalah dengan ibarat pungguk merindukan bulan atau katak ingin jadi kerbau.

Akhirnya, dengan kekuasaan dan kekuatan, manusia akan melakukan eksploitasi terhadap orang lain, memeras golongan bawahan dan menindas kelompok yang lemah. Jika perbuatan ini dilakukan secara berterusan, maka akibatnya orang pun terus menerus menanggung kezaliman dan penindasannya.

Demikianlah enam sifat mazmumah yang dapat menghancurkan nilai-nilai ibadah, ia ibarat air di daun keladi, amal yang dilakukan berpahala banyak tapi tertumpah tanpa meninggalkan sebarang bekas. Jika enam sifat tercela ini terdapat dalam peribadi seseorang, maka hendaklah dia berwaspada dan berhati-hati dalam segala tindak tanduknya selaras dengan peringatan Rasulullah SAW dalam hadis di atas.

Sila baca selanjutnyaEdisi Agama! Jauhi enam sifat mazmumah!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...