SEDARI awal lagi, nama penyanyi yang berasal dari Tottenham, England
ini disebut-sebut dan berpotensi besar untuk mendominasi senarai
pencalonan akhir Anugerah Grammy Ke-54. Apatah lagi dengan kejayaan album keduanya, 21 yang merupakan album
terlaris dengan penjualan melebihi empat juta salinan di Amerika
Syarikat.
Ternyata ramalan itu benar belaka apabila Adele menerima enam
pencalonan termasuk tiga kategori utama iaitu Rakaman, Lagu dan Album
Terbaik sewaktu pengumuman pada 30 November lalu. Dengan tercalon dalam tiga kategori utama dalam Anugerah Grammy itu,
Adele sememangnya kini merupakan calon utama untuk menang besar pada
malam itu nanti.
Menerusi lagu popularnya, Rolling In The Deep, Adele dicalonkan untuk
Rakaman dan Lagu Terbaik sementara album 21 pula bakal bersaing hebat
dengan empat calon lain bagi merebut gelaran Album Terbaik.
Namun, persoalan yang timbul apabila ada pihak yang seolah-olah
merasakan Adele bagaikan ‘dirompak’ apabila hanya menerima enam
pencalonan walhal sebenarnya dia mampu meraih lebih banyak pencalonan. Ini berbeza dengan penyanyi rap, Kanye West yang mengungguli senarai
pencalonan kali ini apabila menerima tujuh pencalonan tetapi tidak untuk
kategori Album dan Rakaman Terbaik.
Ada yang merasakan lagu-lagu di dalam album 21 tidak dipromosikan
sebaiknya dan hanya menumpukan kepada Rolling In The Deep sebagai
satu-satunya umpan untuk pencalonan Grammy kali ini. “Jika diperhatikan, genre yang diketengahkan oleh Adele menerusi 21
hanyalah pop semata-mata. Ini amat berbeza dengan penyanyi yang
mempertaruhkan genre hip hop atau R&B di mana mereka boleh bermain
dengan pelbagai warna agar ia dapat dicalonkan dalam kategori lain.
“Dalam konteks ini, Justin Timberlake adalah contoh terbaik. Dia
menghasilkan sebuah album pop tetapi dia menampilkan variasi menerusi
setiap lagu di dalamnya seperti rock dan muzik dance misalnya. “Jadi untuk Adele menerima enam pencalonan sudah dikira cukup baik
dan satu pencapaian yang seharusnya dibanggakan,” jelas wartawan muzik
berpengalaman, Phil Gallo kepada E! Online, baru-baru ini.
Selain tiga kategori utama, Adele turut dicalonkan dalam tiga
kategori lain termasuk Persembahan Solo Pop Terbaik bagi lagu Someone
Like You, Album Vokal Pop Terbaik (21) dan Muzik Video Pendek Terbaik
(Rolling In The Deep).
Adele sebenarnya bukanlah nama asing dalam anugerah berprestij itu
apabila dia pernah diiktiraf dengan dua trofi Grammy untuk Artis Baru
Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik bagi lagu Chasing
Pavements, dua tahun lalu.
Mengekori rapat Adele juga dengan enam pencalonan ialah Bruno Mars
dan Foo Fighters manakala penyanyi rap, Lil Wayne dan Skrillex
masing-masing menerima lima pencalonan. Penyanyi wanita seksi, Rihanna juga tidak kurang hebatnya apabila
menerima empat pencalonan termasuk Album Terbaik bagi albumnya, Loud
selain Lady Gaga untuk tiga kategori juga termasuk Album Terbaik untuk
Born This Way.
Juara American Idol musim keempat, Carrie Underwood masih lagi
menjadi pilihan juri apabila tersenarai dalam kategori Persembahan Solo
Country Terbaik dan bakal berdepan dengan saingan hebat daripada Jason
Aldean, Martina McBride, Blake Shelton dan Taylor Swift.
Satu yang pasti dan realiti yang harus dihadapi apabila Grammy
dilihat semakin mencabar ekoran perubahan syarat yang dilakukan oleh
pihak akademi rakaman Amerika Syarikat. Perubahan terbesar yang dilakukan bermula tahun ini apabila
penstrukturan kategori yang dipertandingkan hanyalah sebanyak 78
kategori sahaja berbanding 109 tahun lalu.
Untuk setiap genre, tiada lagi pembahagian kategori seperti lazimnya
di mana untuk persembahan solo misalnya, penyanyi lelaki dan wanita
disatukan dalam satu kategori. Sama juga dengan kolaborasi vokal dan persembahan vokal duo atau
berkumpulan disekalikan menjadi Persembahan Duo/Berkumpulan Terbaik.
Begitu juga dengan empat cabang muzik lain yang turut mengalami
perubahan dari segi pengkategorian iaitu teater muzikal kini menjadi
persembahan muzikal selain filem, televisyen atau visual media lain
ditukar kepada muzik untuk visual media). Dua yang lain termasuklah gospel yang kini berubah kepada gospel atau
muzik Kristian kontemporari dan kategori dance yang dahulunya berdiri
sendiri kini digabungkan bersama muzik elektronika lalu menjadi kategori
dance atau elektronika.
Terdapat juga beberapa kategori yang dimansuhkan dan kemudiannya
disekalikan dalam genre yang sama. Dalam konteks ini, kategori Album
R&B Terbaik misalnya, akan disatukan dengan genre kontemporari
R&B. Ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini apabila Album Kontemporari
R&B mempunyai kategori tersendiri. Perubahan ini juga melibatkan
muzik sejagat (world music), kanak-kanak, folk dan latin.
Anugerah Grammy Ke-54 akan berlangsung di Staples Centre, Los Angeles, Amerika Syarikat pada 12 Februari depan.