Penyanyi dan penulis lirik, Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai
Yuna tidak meletakkan harapan tinggi kepada album terbarunya yang bakal
dilancarkan di Amerika Syarikat tahun hadapan kerana sedar bahawa
banyak persaingan hebat di situ.
Dipetik daripada laporan mStar, penyanyi lagu "Penakut" ini tidak
bimbang sekiranya gagal kerana sekurang-kurangnya dia telah berusaha
membina nama di peringkat antarabangsa.
"Sehingga kini saya masih tidak percaya kerana berpeluang mengembangkan
bakat di sana dan bekerjasama dengan produser terkenal seperti Pharell
Williams.
"Proses rakaman hampir selesai dan insyaAllah single pertama saya akan
dilancarkan tidak lama lagi. Saya sangat teruja," ujar Yuna yang turut
memberitahu album pertamanya di Amerika Syarikat akan dilancarkan Mac
tahun hadapan.
Gadis berusia 25 tahun ini juga sanggup berulang alik dari Kuala Lumpur
ke Amerika Syarikat kerana tidak mahu meninggalkan industri tempatan
yang banyak membantunya membina karier sebagai penyanyi berjaya.