Untuk membayar bil diri, membuka akaun berasingan dengan akaun simpanan yang anda gunakan untuk menerima gaji adalah cara terbaik, malah lebih baik sekiranya ia tidak disertakan dengan kemudahan kad mesin juruwang automatik (ATM). Lebih baik juga sekiranya akaun simpanan itu dapat memberikan kadar pulangan dividen tinggi setiap tahun seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Tabung Haji.
Ini seolah-olah menunjukkan kita lebih menghargai pihak lain daripada diri sendiri. Kita rela memberikan duit itu kepada orang lain terlebih dulu berbanding untuk keperluan diri.
Maka, membuat simpanan adalah cara terbaik kita menghargai diri sendiri. Anggaplah duit yang kita gunakan sebagai simpanan itu adalah upah kepada diri. Setiap bulan, kita perlu membayar upah kepada diri kita dan anggaplah membayar upah diri itu sebagai satu bil yang perlu dijelaskan setiap bulan seperti bil lain.
Anggap saja simpanan berkenaan hangus seperti bil air, elektrik dan telefon yang dibayar setiap bulan. Kebiasaannya, godaan amat kuat akan berlaku pada bulan pertama sehingga bulan ketiga dari saat kita mula menyimpan. Tetapi, ia akan berkurangan dan kita mula berasa seronok kerana mula dapat melihat hasil penjimatan dan simpanan yang semakin meningkat.
Selain melakukan simpanan, apakah cara membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan? Antara perkara yang harus dipandang berat adalah pembelian majalah, cakera padat video (VCD) atau cakera padat (CD) penyanyi kegemaran dan berkaraoke di tempat berbayar.
Minat membaca memang sesuatu yang harus dipuji, namun ia tidak seharusnya menjadikan seseorang itu bankrap. Ia sama seperti membeli CD atau VCD, namun perlu dihadkan.
Kita juga boleh mengurangkan minat menonton wayang kerana setiap kali keluar menonton filem terbaru, pasti akan membabitkan perbelanjaan sampingan seperti pembelian makanan atau minuman ringan. Bagi mereka yang mempunyai tabiat merokok, harus menilai semula apa yang dilakukan kerana rokok menjadi antara perbelanjaan besar si perokok dan wang dikeluarkan hanya untuk merosakkan kesihatan.
Apakah cara lain yang boleh diguna pakai untuk mengelak perbelanjaan berlebihan setiap bulan? Hampir semua bank perdagangan kini menyediakan kemudahan perbankan Internet kepada pelanggan. Kita harus menggunakan perkhidmatan ini sebaiknya kerana ia dapat memberi penjimatan yang besar termasuk dari segi masa dan kos sampingan.
Perbankan Internet sememangnya amat memudahkan kehidupan kita dalam membuat urusan kewangan. Semua ini sudah pastinya dapat menjimatkan masa serta wang terutama kos petrol.