BARU-BARU ini penyanyi Alif Aziz memuatkan gambarnya bersama pelakon
Anne Ngasri dalam laman sosial facebook dengan kata-kata: ‘Me with Ann
Ngasri ;) she‘s sweet huh? :).’
Kira-kira 2,858 peminat di laman sosial tersebut suka melihat mereka malah tidak kurang yang memberi komen positif.
Namun penyanyi yang popular dengan lagu Sayang Sayang tidak memberi
sebarang maklum balas dan lebih senang membiarkan para peminat
berteka-teki akan status hubungannya dengan Anne.
Bagaimanapun sewaktu Hits diundang oleh Penerbit Eksekutif NS Star
Sdn. Bhd., Nasreen Ngasri atau Darling untuk liputan penggambaran sitkom
Antara Kita di Taman Mastiara, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini,
kemesraan antara mereka dapat dilihat.
Kedua-duanya kelihatan serasi dan tidak kekok bersama biarpun
penggambaran sitkom arahan Kas Roshan itu baru bermula 6 Januari lalu.
Malah berdasarkan pandangan kasar, kemesraan antara mereka bukan sekadar teman artis tapi lebih daripada itu.
“Adakah percintaan antara Nurul dan Airil berterusan hingga ke luar
lokasi,” tanya Hits pada Anne yang memegang watak Nurul cuba mencungkil
rahsia.
Anne, 27, yang ketika itu sedang berehat, malu-malu untuk menjawab.
Sebaliknya meminta soalan itu diajukan kepada Airil yang dilakonkan oleh
Alif.
Alif, 21, yang kebetulan terdengar soalan Hits itu terus keluar dan
dengan gaya lelaki budiman berkata: “Saya selesa bekerjasama dengan
Anne. Setakat ini dia adalah kawan artis yang paling rapat dengan saya.
“Sebelum ini saya tidak berpeluang rapat dengan rakan artis lain
kerana sering berulang-alik antara Singapura dan Kuala Lumpur. Lainlah
dengan Aliff Satar yang saya sudah anggap seperti keluarga.
“Selepas tamat Perkhidmatan Negara, saya mengambil keputusan untuk menetap di Malaysia bagi meneruskan kerjaya seni.”
Biarpun jawapan yang diberi klise namun apa yang tersirat dalam hati
tiada siapa pun yang tahu kerana watak Airil dan Nurul merupakan
pasangan kekasih.
Alif nak jadi Romeo
Kata Alif, pada mulanya dia merasa kekok ketika di set penggambaran,
namun atas tunjuk ajar pengarah dan rakan artis, dia dapat menyesuaikan
diri dengan mudah.
“Ini merupakan pengalaman baru bagi saya kerana selama ini saya hanya
menyanyi sahaja. Saya terima tawaran berlakon kerana watak Airil yang
lurus bendul itu ada sedikit persamaan dengan diri saya.
“Sekarang ini saya ingin mencuba apa sahaja cabang seni bagi menguji kebolehan diri.
“Saya tidak kisah belajar daripada bawah kerana setiap bidang seni
yang saya ceburi itu dapat mengukuhkan lagi kedudukan saya sebagai
artis,” katanya terus terang.
Menurut Alif, Antara Kita bukan sekadar menguji kebolehannya berlakon
malah sitkom 13 episod itu turut memberi peluang kepada para pelakon
menyanyi.
Katanya, ada beberapa lagu yang memerlukan dia berduet dengan Anne kerana ia merupakan sebahagian daripada jalan cerita.
“Untuk menjiwai watak Airil saya merujuk kepada watak Joey Tribbiani
lakonan Matt LeBlanc dalam sitkom Friends. Apa pun saya bertuah kerana
mendapat tunjuk ajar daripada pelakon lain.
"Selepas ini jika ada tawaran berlakon, saya inginkan watak lelaki
romeo persis lakonan Farid Kamil dalam filem Lagenda Budak Setan,”
katanya.
Biarpun sudah memulakan langkah sebagai pelakon, namun dia tetap
mengutamakan kerjaya sebagai penyanyi dan sekarang sedang membuat
persiapan untuk menghasilkan album ketiga.
Untuk album ketiga yang dijangka berada di pasaran Mac ini, Alif
masih mengekalkan khidmat komposer Panji Sakti yang menghasilkan lagu
Kalau Cinta, duetnya bersama Joanna serta lagu ciptaan Zimie Sofarz.