Lagu Awan Nano nyanyian Hafiz AF7 dinobatkan Juara Anugerah Juara
Lagu edisi ke-26 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, malam
tadi. Dengan kemenangan itu, lagu ciptaan Datuk M Nasir dan lirik oleh
Buddhi Hekayat itu sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai
keseluruhan berjumlah RM35,000 dan trofi.
Manakala lagu
Beribu Sesalan (Jacklyn Victor, Ning Baizura dan Shila Amzah) mendapat
tempat kedua dan lagu Karma (Faizal Tahir) pula menduduki tempat ketiga.
Masing-masing meraih hadiah wang tunai, RM15,000 dan RM12,000 serta
trofi. Bagi kategori Vokal Terbaik, juri sebulat suara memilih Hafiz
menerusi lagu Awan Nano yang membolehkan dia menggondol wang tunai
RM10,000 serta trofi.
Sementara itu, persembahan mantap
Alyah ketika mendendangkan lagu Kisah Hati berjaya memikat juri sehingga
melayakkannya kategori Persembahan Terbaik dan membawa pulang wang
tunai RM10,000 dan trofi.
Lagu lain yang bertanding pada
AJL26 kali ini termasuklah Kalau Berpacaran nyanyian Shohaimi Mior
Hassan, Ana Raffali & Altimet, Penakut (Yuna), Sedetik Lebih
(Jaclyn Victor), Gadis Semasa (Yuna), Cinta Muka Buku (Najwa Latif),
Kekanda Adinda (Atilia, Monoloque), Wanita Seluruh Dunia (Projek
Pistol), Sungai Lui (Aizat) dan Kisah Hati (Alyah).
Buat kali pertamanya, acara gilang-gemilang itu diadili oleh 30
juri daripada pelbagai latar belakang dalam bidang muzik diketuai
komposer terkenal, Azmeer. Malah, Anugerah Juara Mobile yang diadili
berdasarkan lagu paling banyak dimuat turun dengan kerjasama Celcom
dimenangi lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim. Berbeza
dengan AJL pada tahun-tahun sebelumnya, acara kali ini hanya
menggandingkan Cheryl Samad dan Faizal Ismail sebagai hos tanpa Ally
Iskandar yang kini sedang bercuti selepas melangsungkan majlis
perkahwinannya.
Selain menyaksikan finalis yang bertanding,
AJL25 turut diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Raja Pop, Jamal
Abdillah; Raja Rock, Awie dan Ratu Jazz, Datuk Shiela Majid, manakala
interlude istimewa mengenai Sudirman, membabitkan Black, Hazama dan
Azlan The Typewriter. Acara pada malam itu disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta Hot FM selaku penyiar radio rasmi.
Upacara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi
Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar.